- Iklan -
Berita

Laporan kami yang membentuk perbincangan nasional

MalaysiaNow menerbitkan pelbagai berita menarik 2020 sepanjang 100 hari lepas yang membentuk perbincangan nasional.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Penghujung 2020 juga menandakan lebih kurang 100 hari selepas MalaysiaNow memulakan penerbitan dalam talian pada 20 September lepas.

Dalam jangka masa pendek tersebut, kami berjaya melaporkan sesetengah daripada berita besar yang mencetuskan kontroversi dan perdebatan di peringkat nasional seperti ikrar kami untuk melangkaui tajuk dan berita terkini isu semasa rakyat Malaysia.

Berikut adalah sebahagian daripada laporan eksklusif kami yang menjadi tajuk utama dan membentuk perbincangan nasional.

Rahsia Zahid-Najib

Pada Oktober, kami mendedahkan surat dihantar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak ke Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Selepas beberapa siri penafian daripada penyokong kedua-dua pemimpin itu, Najib secara terbuka menggesa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar.

Baca seterusnya:

Pendedahan: Najib, Zahid tulis surat ke Istana untuk sokong Anwar

Najib sahkan kerjasama dengan Anwar

PM pilihan Maszlee

Kami turut mendedahkan seorang ahli Parlimen yang bersekutu dengan Dr Mahathir Mohamad menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong rancangan kudeta Anwar.

Beberapa hari selepas kami mendedahkan sokongan Maszlee Malik terhadap Anwar, bekas menteri itu mengumumkan beliau tidak lagi bersama blok Pejuang pimpinan Mahathir.

Baca seterusnya:

Pendedahan: Ahli Parlimen ‘tunggal’ tandatangani SD sokong rampasan kuasa Anwar

Maszlee tarik diri daripada Pejuang

Ketegangan di rumah Muhyiddin

Selepas kejutan berhubung surat oleh Zahid-Najib ke Istana Negara, kami mendedahkan pula cerita dalaman mesyuarat pemimpin tertinggi di rumah Muhyiddin dengan perincian perbualan sulit selepas perdana menteri mendapat salinan surat itu.

Baca seterusnya:

Pendedahan: Kisah di sebalik surat Zahid kepada Agong

‘Kemarahan’ di ibu pejabat Umno

Selepas pendedahan mengenai surat tersebut, pemimpin tertinggi Umno bermesyuarat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Kami melakukan penyamaran untuk melaporkan apa yang berlaku dalam mesyuarat itu di mana ramai pemimpin menyatakan kemarahan terhadap presiden mereka kerana menyokong Anwar tanpa mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu.

Baca seterusnya:

Kemarahan, ketegangan dalam mesyuarat 4 jam Umno paksa Zahid buat ‘pusingan U’

Panduan’ untuk menolak belanjawan?

Dengan belanjawan menjadi senjata untuk menjatuhkan kerajaan, kami mendedahkan “dokumen ringkas” disediakan seorang ahli Parlimen yang menerangkan bagaimana untuk menolak undi belanjawan bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk, langkah yang bertentangan dengan titah Agong agar politik diketepikan bagi memastikan peruntukan belanjawan diluluskan.

Baca seterusnya:

Dokumen bocor dedah rancangan gagalkan belanjawan, guling kerajaan

Perbualan sulit mempertikaikan Anwar

Pada Disember kami mendedahkan transkrip perbualan sulit pemimpin PKR, di mana mereka bergilir-gilir mengkritik presiden mereka, Anwar berhubung dakwaan mempunyai angka untuk menubuhkan kerajaan.

Baca seterusnya:

Tular perbualan pemimpin kanan PKR hilang kepercayaan terhadap Anwar

Kek ‘Merry Christmas’ Jakim

Sehari sebelum sambutan Krismas, kami mendedahkan syarat pelik dikenakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila melaporkan pengalaman seorang pelanggan yang diberitahu kek ditempahnya tidak boleh mempunyai ucapan “Merry Christmas” di atasnya.

Jakim kemudiannya mengakui Krismas atau “sambutan keagamaan” selain Islam tidak dibenarkan untuk dipromosikan di premis atau kedai yang mempunyai logo halal, menyebabkan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Baca seterusnya:

Kedai tak benar ucapan ‘Merry Christmas’ di kek kerana sijil halal

Ucapan ‘Merry Christmas’ boleh jejaskan penganugerahan sijil halal, kata Jakim

‘Merry Christmas’, kedai kek dan Islam ala Malaysia

Bekas KP Ikim kata Jakim jauh tersasar daripada objektif halal