- Iklan -
Berita

Maszlee tarik diri daripada Pejuang

Ahli Parlimen Simpang Rengam itu menarik diri sebagai ahli jawatankuasa penaja penubuhan parti itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik. Gambar: Facebook

Teka-teki mengenai status ahli Parlimen Simpang Renggam akhirnya terjawab apabila Maszlee Malik mengesahkan dirinya tidak lagi bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), selepas menarik diri sebagai ahli jawatan kuasa penaja penubuhan parti itu hari ini.

Maszlee dalam satu kenyataan berkata, beliau tampil menjelaskan keadaan terkini dirinya selepas timbul spekulasi mengenai kenyataan media Pejuang semalam yang tidak mempunyai namanya.

“Saya ingin menumpahkan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di Simpang Renggam dan umumnya di seluruh Malaysia,” kata kenyataan itu.

Persoalan timbul sama ada bekas menteri Pendidikan itu, masih bersama Pejuang, kerana nama ahli Parlimen Simpang Rengam itu tidak bersama-sama menandatangani satu kenyataan dikeluarkan Pejuang semalam, parti baru diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Bulan lepas MalaysiaNow mendedahkan Maszlee menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Langkah itu dilihat mengeruhkan lagi hubungan Maszlee dengan Mahathir yang sebelum ini memintanya meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan, dua bulan sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Maszlee menambah, beliau akan meneruskan usaha dalam perubahan pendidikan sebagai ahli Parlimen bebas.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis dan rakyat mahu ahli politik yang fokus berkhidmat serta benar-benar menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang ini,” katanya.