Maszlee, orang kuat Anwar yang dihantui sejarah lama dalam kempen lawan Muda di Puteri Wangsa
Bekas ahli akademik yang dikritik meluas atas prestasinya sebagai menteri pendidikan paling singkat itu mungkin menuju satu lagi kekalahan teruk.
Terkini
Daripada memperkenalkan pelbagai dasar tidak menentu ketika tempoh singkat memegang jawatan menteri pendidikan, menjadi jurucakap sebuah jenama makanan segera yang kemudiannya menjadi sasaran kempen boikot anti-Israel, sehinggalah penampilannya sebagai pelakon drama Melayu yang mengucapkan dialog berunsur lucah – pelbagai episod silam Maszlee Malik menemaninya ketika beliau cuba kembali ke gelanggang politik menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.
Maszlee, yang berkhidmat selama kira-kira 20 bulan dalam penggal kedua pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelum dipaksa meletak jawatan oleh pemimpin veteran itu yang kecewa dengan prestasinya, merupakan antara lima calon yang merebut Puteri Wangsa, sebuah kerusi negeri yang bilangan pengundinya lebih besar daripada banyak kerusi Parlimen di seluruh negara.
Sejak meninggalkan dunia akademik, dan meskipun mengalami kegagalan dalam kerjaya politiknya yang bermula dengan penyertaannya dalam Bersatu pimpinan Mahathir dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum 2018, Maszlee nampaknya masih bertekad untuk menjenamakan semula dirinya.
Satu-satunya kejayaan politik Maszlee adalah ketika seluruh negara dilanda keterujaan apabila Mahathir kembali ke tampuk kuasa pada 2018, ketika beliau memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Selepas meletak jawatan sebagai menteri, beliau tidak mengambil masa lama untuk menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, malah menjadi salah seorang penyokong paling setia pengerusi Pakatan Harapan itu.
Walaupun tumbang di kedua-dua kerusi Simpang Renggam dan DUN Layang-Layang pada PRU 2022, kesetiaan Maszlee tidak dilupakan, dan dibalas dengan ganjaran jawatan.
Kini, menjelang hari pengundian di Johor pada 11 Julai, sukar untuk menyifatkan sama ada keputusan Anwar untuk meletakkan Maszlee sebagai calon PH merupakan ganjaran, atau usaha menenggelamkannya terus dalam dunia politik.
Maszlee, 51, berdepan kekalahan, dengan pelbagai isyarat menunjukkan kemenangan berpihak kepada calon Muda, Rashifa Aljunied, wanita berusia 26 tahun yang biasa berinteraksi dengan penduduk tempatan sebagai pembantu khas kepada penyandang Amira Aisya Abd Aziz, yang juga presiden partinya.
Calon Barisan Nasional dari MCA, Teow Chia Ling, 42, Nicholas Paul Vincent dari Bersama, 35, dan seorang calon Bebas berusia 49 tahun, rata-rata tidak dilihat sebagai ancaman kepada Muda dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut.
Keadaan ini ditambah dengan keputusan Perikatan Nasional untuk tidak bertanding di kawasan itu, menjadikannya seakan-akan perlawanan satu lawan satu antara PH dan Muda di Puteri Wangsa, kerusi di mana 35% pengundi berumur di bawah 30 tahun.
Tidak jelas apa yang mendorong PH untuk meletakkan calon seperti Maszlee bertanding di kerusi yang mana kaum Cina mewakili 50% pengundi.
Ketika memegang jawatan menteri pendidikan, Maszlee menjadi sasaran kritikan kumpulan pendidikan Cina kerana memperkenalkan silibus tulisan khat dalam kurikulum sekolah, langkah yang dilihat mengenepikan pembaharuan lain yang lebih mendesak dalam sektor pendidikan.
Prestasinya akhirnya menyebabkan Mahathir sendiri mengambil alih portfolio itu daripada Maszlee selepas menyingkirkannya.
Sebuah lagi projek Maszlee – penukaran warna kasut murid sekolah daripada putih kepada hitam – juga antara isu yang sering mencetuskan komen sinis, termasuk daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang menyifatkannya sebagai contoh reformasi pendidikan yang tidak membawa sebarang kesan bermakna.
“Dia perkenalkan kasut hitam tetapi akhirnya dia dikambinghitamkan,” sindir Najib susulan peletakan jawatan Maszlee pada 2020.
Begitu juga, kredibiliti Maszlee turut merosot sebagai ahli Parlimen Simpang Renggam dari 2018 hingga 2022, apabila ramai penduduk tempatan menganggap tidak banyak perubahan dibawa beliau selain membawa masuk sebuah cawangan McDonald's.
Pada Oktober 2020, Maszlee menzahirkan rasa syukur kerana berjaya membawa jenama makanan segera itu ke Simpang Renggam, sambil berkata ia mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Bagaimanapun, tiga tahun kemudian, ketika McDonald's dan pelbagai jenama Barat lain menjadi sasaran gerakan boikot anti-Israel, sumbangan Maszlee ini dilihat sia-sia, terutama dalam kalangan pengundi Melayu dan beragama Islam.
Tidak cukup dengan itu, pengguna media sosial kini mula menaikkan semula petikan daripada sebuah drama Melayu yang menampilkan Maszlee, di mana beliau mengucapkan skrip berbaur lucah dan menghina wanita.
Dua bulan selepas Maszlee memohon maaf atas kontroversi “apam basah” itu, beliau dilantik sebagai pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), sebuah badan pemikir Islam tajaan kerajaan yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, namun kini diisi dengan orang kuat Anwar.
Maszlee juga merangkap penasihat kepada perdana menteri dalam "hal ehwal Islam global", yang menyaksikan beliau cuba mempromosikan Anwar sebagai pemimpin dunia Islam. Hanya dua minggu selepas AS-Israel melancarkan perang ke atas Iran, Maszlee menulis artikel dengan pujian melambung kepada Anwar, sambil menyifatkan pemimpin PKR itu sebagai pemimpin “pendamaian antara umat Islam pasca perang”.
Menjelang kempen pilihan raya Puteri Wangsa yang semakin rancak, Maszlee cuba menangkis dakwaan beliau tidak memberikan apa-apa sumbangan ketika menjadi wakil rakyat Simpang Renggam.
Sejak akhir-akhir ini, beliau dilihat bersungguh-sungguh cuba menampilkan dirinya sebagai pemimpin berjiwa rakyat melalui video TikTok, termasuk sebuah klip yang memaparkan beliau memandu kereta Perodua Myvi untuk memeriksa jalan berlubang di sebuah kawasan kejiranan di Puteri Wangsa.
Maszlee turut menyiarkan ratusan gambar beliau menyantuni penduduk dan menghadiri program setempat, yang kebanyakannya diambil ketika kempen PRU 2022 lalu.
Kali ini, janji pilihan rayanya ialah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik rakyat tempatan kembali bekerja di Johor, di samping berjanji menjadikan pembelian rumah lebih mampu milik.
Bagi Rashifa pula, janjinya lebih spesifik dan mencerminkan jangkaan yang lebih realistik tentang apa yang boleh dilakukan seorang Adun.
Antaranya ialah janji menjadikan sesi “townhall” sebagai medium berinteraksi secara langsung dengan penduduk, memastikan penyelesaian kepada kejadian banjir di kawasan itu, dan menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar sekolah.
Keputusan Muda untuk meletakkan Rashifa sebagai calon adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Daripada seorang sukarelawan masyarakat yang pernah membantu kempen pilihan raya Amira pada 2022, beliau kemudian dilantik menjadi pegawai khasnya pada usia 22 tahun.
Amira, yang bakal bertanding untuk kerusi parlimen pada PRU akan datang, kini aktif turun berkempen untuk penggantinya.
“Rashifa kerja pagi, petang, siang dan malam untuk rakyat di sini. Saya yakin dan percaya, Rashifa akan terus memberikan yang terbaik untuk Puteri Wangsa.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
