- Iklan -
BeritaBaru Terbit

'Terima kasih pertemukan kami': Gambar cetus semula persoalan hubungan Anwar dan Farhash

Vacharaesorn Vivacharawongse, anak raja Thailand, merakamkan penghargaan kepada Farhash Wafa Salvador kerana mengatur pertemuan dengan perdana menteri dan menteri sumber manusia.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar dikongsi Vacharaesorn Vivacharawongse menunjukkan pertemuannya bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador dan Menteri Sumber Manusia R Ramanan.
Gambar dikongsi Vacharaesorn Vivacharawongse menunjukkan pertemuannya bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador dan Menteri Sumber Manusia R Ramanan.

Hantaran media sosial oleh salah seorang anak raja Thailand mencetuskan semula persoalan mengenai hubungan Anwar Ibrahim dengan Farhash Wafa Salvador, walaupun perdana menteri sebelum ini cuba menjauhkan diri daripada bekas setiausaha politiknya itu di sebalik dakwaan berhubung penglibatannya dalam dunia korporat, pengambilalihan kontroversi syarikat kritikal dan pemerolehan kontrak lumayan daripada kerajaan.

Beberapa gambar dikongsi oleh Vacharaesorn Vivacharawongse, anak kedua Raja Maha Vajiralongkorn yang dikatakan sedang dipertimbangkan untuk mengambil alih takhta di Thailand selepas sekian lama disisihkan ayahnya. Gambar itu turut memaparkan Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan, yang hanya beberapa bulan lalu terpalit tuduhan mengaitkannya dengan skandal "mafia korporat", di mana beliau didakwa menerima rasuah RM9.5 juta daripada Victor Chin, watak yang pernah dikaitkan dengan Farhash melalui pelaburan bertindih mereka dalam entiti korporat.

Dalam kiriman di beberapa platform media sosialnya, Vacharaesorn mengucapkan terima kasih kepada Farhash kerana mengatur pertemuan dengan Anwar dan Ramanan.

"Sembang mesra dengan Tuan Yang Terutama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kami berbual tentang hubungan unik antara negara kami yang berjiran. Kami merapatkan hubungan melalui pengalaman peribadi di luar tanah air kami," tulisnya.

"Turut sempat bersua dengan Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan, yang baik hati. Terima kasih sekali lagi kepada sahabat saya, Farhash, kerana mempertemukan kami."

Dalam catatan lain, Vacharaesorn memuat naik gambarnya bertemu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang pernah dikaitkan dengan HeiTech Padu.

Tidak lama dahulu, syarikat tersebut mendapat perhatian selepas ia disenarai pendek untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) bernilai RM1 bilion, yang menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Kontroversi meletus pada 2024 selepas Farhash mengambil alih 15.91% kepentingan dalam HeiTech Padu melalui Rosetta Partners Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki bersama dengan sultan Kelantan.

Pembelian HeiTech Padu berlaku hanya sehari selepas penyedia perkhidmatan e-kerajaan, MyEG Services Bhd, memperoleh kepentingan ekuiti 14.4% dalam syarikat itu dengan harga RM31.25 juta pada 11 Mac 2024.

Pada hari yang sama, HeiTech Padu mengumumkan pelanjutan kontrak penyelenggaraan MyIMM selama setahun.

Bulan berikutnya, HeiTech Padu dianugerahkan kontrak RM190 juta oleh Kementerian Pengangkutan, mencetuskan kritikan yang mengaitkan keputusan itu dengan hubungan Farhash dan Anwar. 

Beberapa hari kemudian, Farhash dilaporkan tidak lagi menjadi pemegang saham utama HeiTech Padu.

Pengambilalihan saham oleh Farhash mencetuskan gesaan supaya beliau disiasat mengenai hubungan politiknya, kontrak kerajaan dan dakwaan kronisme.

Lima bulan kemudian, pada September 2024, Bloomberg melaporkan Anwar mengarahkan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Azam Baki, supaya tidak menyiasat Farhash berhubung pembelian saham kontroversi tersebut.

Kedua-dua Anwar dan SPRM menafikan dakwaan itu, diikuti Jabatan Peguam Negara yang menyatakan "tiada tindakan lanjut" akan diambil susulan siasatan polis mengenai kandungan laporan Bloomberg.

"Kalau ada kes, itu disiasat oleh SPRM dan saya tidak langsung menutupnya," Anwar memberitahu Dewan Rakyat pada Oktober 2024.

"Saya tidak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu yang bagi saya remeh, melibatkan individu. Kerana kebetulan dia pernah empat ke lima tahun lalu menjadi staf, maka ia dibangkitkan. Tetapi untuk terus kaitkan saya hanya kerana dia pernah jadi staf saya, saya rasa itu kurang adil."

Sementara itu, hantaran Vacharaesorn mengundang pelbagai komen mengenai hubungan antara Anwar, Farhash dan Ramanan.

"Farhash dan Ramanan orang kanan Nuar (Anwar) sekarang ini," tulis seorang pengguna Instagram.

"Orang bukan politik mempertemukan perdana menteri... wow," tulis seorang lagi, mempersoalkan dakwaan Farhash sebelum ini bahawa beliau tidak lagi aktif dalam politik dan fokus sepenuhnya dalam dunia perniagaan dan korporat.

"Farhash, Ramanan dan Anwar disebut... hmmm," tulis Kamarulzaini Zainal.

Pada Mac, Ramanan mendapat perhatian media susulan dakwaan beliau menerima sogokan RM9.5 juta daripada Victor Chin, pemain pasaran yang disiasat atas kesalahan pengubahan wang dan kemudiannya menjadi tumpuan skandal "mafia korporat".

Chin menafikan dakwaan terhadapnya, sebaliknya berkata beliau sendiri menjadi mangsa mafia korporat yang memaksanya melepaskan pegangannya dalam NexG Bhd, syarikat yang dianugerahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion untuk membekalkan pasport dan kad pengenalan Malaysia.

Pada Mac 2025, NexG menjadi pemegang saham utama MMAG Holdings. Sehari sebelumnya, Farhash membeli 20% pegangan dalam MMAG Holdings selepas memperoleh 462 juta saham pada harga diskaun, menurut Bloomberg.

Enam bulan kemudian, NexG memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM733 juta untuk membekalkan MyKad kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

NexG turut menerima satu lagi kontrak bernilai RM1.73 bilion untuk membekalkan pasport Malaysia selama tempoh enam tahun.

Awal tahun ini, Farhash dilaporkan menjual 20% pegangannya dalam MMAG pada harga premium yang tinggi, sebelum meletak jawatan sebagai pengerusinya.

Saham MMAG dilaporkan jatuh mendadak antara 29 Oktober dan 7 November tahun lalu, menyebabkan Bursa Malaysia membangkitkan isu aktiviti pasaran luar biasa (UMA).