- Iklan -
Berita

TikTok sekat video himpunan bantah jenayah perang Israel, laporan bedah siasat insiden polis Melaka

Tindakan terbaru itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap penapisan kerajaan, tetapi juga perubahan dasar TikTok yang dilihat semakin pro-Israel selepas pengambilalihan operasi di AS.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Dua klip video oleh MalaysiaNow mengenai protes di luar Parlimen pada 6 Julai (kiri) dan satu lagi mengenai sidang akhbar oleh peguam mewakili tiga pemuda yang ditembak mati polis, dipadamkan oleh TikTok tanpa penjelasan.
Dua klip video oleh MalaysiaNow mengenai protes di luar Parlimen pada 6 Julai (kiri) dan satu lagi mengenai sidang akhbar oleh peguam mewakili tiga pemuda yang ditembak mati polis, dipadamkan oleh TikTok tanpa penjelasan.

Dua klip video terbitan MalaysiaNow minggu ini di TikTok didapati dipadamkan, mencetuskan kebimbangan wujudnya usaha menapis kandungan yang tidak memihak kepada kerajaan, di samping sikap platform itu yang dilihat semakin pro-Israel berikutan perubahan terhadap pemilikannya di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pada 6 Julai, MalaysiaNow menerbitkan laporan enam minit mengenai perhimpunan dianjurkan aktivis global Greenpeace dan beberapa pertubuhan tempatan lain bagi mendesak kerajaan menggantung operasi syarikat Australia Lynas susulan persetujuannya membekalkan nadir bumi kepada Pentagon, yang mencetuskan kebimbangan bahan itu akan digunakan untuk pembuatan senjata, sekali gus mengakibatkan Putrajaya terpalit dengan jenayah perang AS dan Israel.

Sehari selepas itu, sebuah lagi klip merumuskan sidang akhbar oleh sekumpulan peguam mewakili tiga belia yang ditembak mati oleh polis, di mana butiran bedah siasat didedahkan untuk menunjukkan kemungkinan pembunuhan dilakukan bukan untuk mempertahankan diri seperti didakwa polis sebelum ini.

Kedua-dua klip dikenakan “shadow ban”, yang bermaksud ia diturunkan secara senyap oleh TikTok.

Ia menyebabkan alasan sebenar di sebalik tindakan menurunkan klip tersebut masih tidak diketahui.


Tonton di YouTube:


Ini merupakan kali ketiga tahun ini video MalaysiaNow diturunkan di TikTok tanpa sebarang penjelasan.

Pada 13 Februari, video berdurasi empat setengah minit bertajuk “Bloomberg bongkar Azam Baki dan mafia korporat”, mengenai pendedahan Bloomberg melibatkan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, dipadamkan daripada TikTok.

Pada Mac, video berdurasi enam minit mengenai pengumuman parti pembangkang Muda dan Pejuang untuk melancarkan kempen menangkap Azam, juga didapati hilang daripada platform TikTok.

Siri sekatan itu berlaku susulan peraturan kontroversi yang berkuat kuasa awal tahun ini untuk melesenkan platform media sosial, di mana TikTok merupakan salah satu platform yang bersetuju dilesenkan, mewajibkannya untuk mematuhi peraturan penapisan kandungan oleh Putrajaya.

Sementara itu, video yang diturunkan TikTok masih kekal di Facebook, Instagram dan YouTube, platform yang kerap menolak permintaan pihak berkuasa Malaysia untuk menurunkan kandungan yang mengkritik ahli politik kerajaan.

Tindakan menurunkan video protes 6 Julai, di mana aktivis melaungkan slogan mengutuk pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, berkemungkinan ada kaitan dengan peningkatan usaha memadam kandungan pro-Palestin susulan pengambilalihan operasi TikTok di AS tahun lalu.

Di bawah perjanjian AS$14 bilion yang didalangi Presiden Donald Trump, pemilik TikTok dari China, ByteDance, terpaksa menyerahkan operasi AS kepada sebuah entiti berasingan yang dikawal konsortium beberapa taikun AS yang pro-Israel termasuk sebuah dana yang dikawal keluarga diraja Abu Dhabi.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Sedunia yang dikeluarkan tahun ini, di mana Malaysia jatuh dari anak tangga ke-88 tahun lalu kepada 95.

Bagaimanapun, Anwar berkata tindakan memadam kandungan dilakukan oleh platform media sosial sendiri.

Beliau mendakwa kerajaan tiada kuasa mengarahkan kandungan dipadamkan.

“Ada perkara yang kita anggap tidak wajar, tetapi keputusan akhir masih bergantung kepada platform,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa, sambil memberi contoh kandungan berkaitan Hamas yang dinaikkan beliau pernah dipadamkan.

Tidak lama selepas mengambil alih kuasa pada November 2022, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengancam mengambil tindakan terhadap TikTok susulan penggunaannya yang meluas oleh penyokong pembangkang, terutamanya sepanjang kempen pilihan raya umum tahun itu.

Pada 2024, Putrajaya mengaku membuat permintaan kepada platform seperti TikTok untuk menurunkan video yang tidak disenangi kerajaan.

Pada Ogos 2023, TikTok mengeluarkan video dimuat naik MalaysiaNow yang meringkaskan laporan berita mengenai blok kaya hasil minyak Ambalat di luar pantai Sabah, wilayah pertikaian antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut TikTok, video itu diturunkan atas faktor “integriti dan ketulenan”, tanpa memberikan sebab khusus lain.

Pada tahun yang sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang mengawal SKMM, dikecam kumpulan wartawan dan hak asasi selepas laman web MalaysiaNow disekat selama 48 jam.