- Iklan -
Berita

TikTok sekat video MalaysiaNow mengenai pendedahan Bloomberg di sebalik tekanan terhadap Azam Baki

Tindakan itu menandakan kawalan kerajaan terhadap kandungan dalam talian susulan langkah pelesenan untuk platform media sosial.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Sebuah klip video TikTok terbitan MalaysiaNow, berdasarkan pendedahan mengejutkan oleh Bloomberg semalam mengenai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, didapati disekat kepada pengguna tempatan, menandakan kawalan kerajaan terhadap platform video popular itu yang tertakluk kepada pelesenan sejak awal tahun ini.

Video berbahasa Melayu berdurasi empat setengah minit itu, di bawah tajuk "Bloomberg bongkar Azam Baki dan mafia korporat", telah meraih lebih 300,000 tontonan ketika laporan ini ditulis, dan turut mendapat sambutan tinggi di platform lain seperti YouTube, Facebook dan Instagram.

Ia merumuskan laporan terperinci Bloomberg mengenai Azam dan SPRM yang diterbitkan semalam, berdasarkan dokumentari asal agensi berita kewangan itu yang memuatkan temu bual dengan saksi dan mangsa ahli perniagaan penyangak yang didakwa bersekongkol dengan pegawai SPRM untuk merampas pemilikan syarikat awam tersenarai.

Sekatan video tersebut kepada pengguna TikTok di Malaysia mengesahkan kebimbangan pengkritik bahawa langkah Putrajaya melesenkan platform media sosial lebih menjurus kepada menghalang kandungan yang mengkritik kerajaan, walaupun alasan yang diberikan ialah melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan kandungan internet.

TikTok merupakan salah satu daripada hanya tiga platform media sosial – selain WeChat dan Telegram – yang bersetuju memohon lesen dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengawal selia internet yang dipengerusikan ahli korporat Mohamad Salim Fateh Din.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki (kiri) dan Salim Fateh Din, pengerusi SKMM yang juga mempengerusikan sebuah panel penasihat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki (kiri) dan Salim Fateh Din, pengerusi SKMM yang juga mempengerusikan sebuah panel penasihat SPRM.

Salim, yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, sebuah jawatankuasa yang menasihati SPRM, secara terbuka mempertahankan Azam ekoran pendedahan Bloomberg mengenai pemilikan berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Salim antara lain mendakwa Azam sudah mematuhi "kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa", sambil menambah SPRM tidak boleh dihakimi melalui "tohmahan atau naratif mengelirukan yang tidak berasaskan fakta".

Azam, yang menuduh Bloomberg menerbitkan laporan berniat jahat tentang pemilikan sahamnya, telah mengancam saluran berita berpangkalan di AS itu dengan saman fitnah.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pernah membeli 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd pada tahun lepas, ketika masih menjawat ketua pesuruhjaya SPRM.

Pekeliling kerajaan 2024 melarang penjawat awam daripada membeli saham melebihi nilai RM100,000 dan mewajibkan pembelian seperti itu diisytiharkan.

Sementara itu, video MalaysiaNow masih boleh diakses di Facebook Instagram dan YouTube, platform yang sebelum ini kerap menolak permintaan kerajaan Malaysia untuk menurunkan kandungan yang mengkritik pemimpin kerajaan.

Tidak lama selepas mengambil alih kuasa pada November 2022, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengancam mengambil tindakan terhadap TikTok susulan penggunaannya yang meluas oleh penyokong pembangkang, terutamanya sepanjang kempen pilihan raya umum tahun itu.

Pada 2024, Putrajaya mengaku membuat permintaan kepada platform seperti TikTok untuk menurunkan video yang tidak disenangi kerajaan.

Pada Ogos 2023, TikTok mengeluarkan video dimuat naik MalaysiaNow, yang meringkaskan laporan berita mengenai blok kaya hasil minyak Ambalat di luar pantai Sabah, wilayah pertikaian antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut TikTok, video itu diturunkan atas faktor "integriti dan ketulenan", tanpa memberikan sebab khusus lain.

Pada tahun yang sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang mengawal SKMM, dikecam kumpulan wartawan dan hak asasi selepas laman web MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

SKMM masih tidak memberikan penjelasan mengenai insiden itu.