- Iklan -
Rencana

Keberanian luar biasa Azam Baki

Adakah beliau akan diambil tindakan kerana langgar pekeliling mengenai milikan saham, atau apakah undang-undang dikenakan pilih bulu?

Rafique Rashid
2 minit bacaan
Kongsi

Sudah tiga kali tambahan masa atas nasihat perdana menteri, dan Azam Baki masih ketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Sebelum ini "tangkap", sekarang tambah kontrak.

Bulan Mei tahun lalu, perdana menteri berkata tiada siapa yang berani seperti Azam Baki. Maka keberanian luar biasa itu amat perlu bila Madani lawan rasuah.

Azam ini juga yang kini dijulang tinggi oleh penyokong kerajaan. Kata mereka, Azam dan SPRM yang bertaring amat digeruni oleh pembangkang. Logik mereka adalah bahawa pembangkang dan pengkritik amat takut kes mereka dihidu oleh Azam dan SPRM, maka kerana itu kerajaan diserang.

Dulu mereka sendiri ke jalanraya bawak poster #tangkapazambaki. Kini, mana mereka?

Hari ini, tular Bloomberg dengan dakwaan baharu. Azam miliki lagi saham, RM800,000 nilainya kalau ikut laporan.

Bloomberg juga nampaknya telah buat kerja rumah dengan jelas nyatakan carian rekod sahkan pegangan tersebut. 17.7 juta saham nilaian RM800,000.

Perlu diingat penjawat awam tidak boleh miliki saham lebih dari RM100,000. Ini pekeliling kerajaan yang ada sekarang. Ia mengikat penjawat awam.

Maka sangat tepat sekali bila perdana menteri berkata, Azam punyai keberanian luar biasa.

Seperti biasa kita akan lihat isu ini tenggelam. Adakah kontrak Azam disambung? Adakah perdana menteri akan nasihat kepada Agong untuk sambung kontrak? 

Adakah langgar pekeliling akan diambil tindakan? Atau adakah undang-undang dikenakan pilih bulu?

Ramai penjawat awam, kalau kes begini, akan terus dikenakan tindakan. Ironinya adalah setiap jabatan akan ada bahagian integriti. Bagaimana isu ini tidak diketahui, lebih-lebih lagi Bloomberg menulis jelas ianya ketua pesuruhjaya SPRM.

Rakyat mesti bangkit. Rasuah musuh negara. Salah guna kuasa mesti dilawan.

Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.