Siasatan Bukit Aman terhadap Albert cetus persoalan kredibiliti saksi utama kes rasuah bekas setpol Anwar
Albert Tei disiasat di bawah kesalahan 'jenayah fitnah' berhubung dakwaan Sofia Rini Buyong dalam sebuah rakaman video didedahkan dua bulan lalu.
Pihak berkuasa digesa menyatakan sama ada seorang wanita yang dinamakan sebagai saksi pendakwaan dalam kes rasuah terkait skandal di Pejabat Perdana Menteri tahun lalu boleh dipercayai, selepas pendedah maklumat terkenal Albert Tei disoal siasat oleh Unit Jenayah Terkelas di Bukit Aman hari ini.
Tei disiasat di bawah undang-undang kontroversi Seksyen 500 Kanun Keseksaan, berkait kesalahan jenayah fitnah, yang sering diguna pakai oleh ahli politik kerajaan terhadap pengkritik yang dituduh memfitnah mereka.
Perkembangan itu dua bulan selepas Tei mendedahkan petikan rakaman perbualannya dengan Sofia Rini Buyong, wanita yang dikenal pasti sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin, pemimpin PKR yang meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar Ibrahim sejurus selepas ahli perniagaan membongkar rasuah bernilai lebih RM600,000.
"Bagi saya, ini sesuatu yang amat menarik dan amat serius untuk dijelaskan kerajaan. Kamu tidak boleh anggap Sofia seorang saksi pendakwaan, pada masa sama mengganggap apa yang diucapkannya sebagai fitnah," kata peguam Tei, Mahajoth Singh.
Selain Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Tei turut disoal siasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyentuh penyalahgunaan rangkaian internet, berdasarkan laporan polis difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia berkait kenyataan oleh Sofia dalam video dirakamkan Tei, di mana wanita itu memberitahunya bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, turut sedia maklum mengenai rancangan Shamsul dan Anwar supaya Tei merakam video yang menunjukkan beberapa Adun Sabah mengaku menerima suapan sebagai balasan meluluskan lesen mineral.
Tei sebelum ini berkata ia merupakan usaha memeras ugut ahli politik yang terlibat supaya kekal menyokong kerajaan campuran Anwar.
Mahajoth mempersoalkan sama ada pihak berkuasa kini meragui Sofia, walaupun menamakannya sebagai saksi pendakwaan.
"Kerana orangnya sama. Jadi sama ada dia berbohong, atau dia tidak bercakap benar," katanya, sambil menambah adalah "tidak masuk akal" sekiranya kerajaan menuduh saksinya sendiri mengeluarkan kenyataan fitnah.
Pada 25 November lalu, Tei – yang sebelum ini membongkar skandal rasuah melibatkan 14 wakil rakyat kerajaan Sabah melalui bukti video – melakukan kejutan apabila mendedahkan beliau membelanjakan hampir RM630,000 untuk Shamsul dengan harapan orang kuat Anwar itu akan membantunya berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar Tei kepada beberapa ahli politik GRS.
Shamsul meletak jawatan pada hari sama.
Tei mengemukakan bukti pembayaran kos pengubahsuaian dan pelbagai kelengkapan untuk dua buah rumah, satu di Bangsar dan satu lagi di kediaman rasmi Shamsul di Putrajaya. Antara barangan yang dihadiahkan Tei kepada Shamsul ialah cerut mahal dan tempahan beberapa sut, di samping wang tunai berjumlah RM350,000.
Tei pada masa sama mendedahkan video perbualannya dengan Sofia yang dirakam secara rahsia.
Selain mengesahkan wang tunai dan hadiah yang diberikan kepada Shamsul, Sofia dalam video itu mendakwa Shamsul dan Anwar berpakat dan mengarahkan Tei merakam perbualannya dengan ahli politik Sabah, sambil berkata Azam turut sedia maklum mengenai rancangan tersebut.
Sofia kemudian menafikan semua kenyataan yang diakuinya dalam rakaman itu.
Dua hari selepas pendedahan itu, sepasukan pegawai SPRM yang lengkap bersenjata dan bertopeng menyerbu kediaman Tei, sebelum membawa keluar barangan yang boleh membuktikan dakwaannya bahawa senjata diacukan kepadanya dan ahli keluarganya semasa rumahnya digeledah.
Mahajoth memberitahu, laporan polis oleh SPRM terhadap Tei berhubung kenyataan Sofia dibuat hanya dua hari sebelum serbuan tersebut.
"Laporan itu dibuat pada 26 November. Dia diserang hendap pada 28hb. Saya percaya ada kaitan di sini," tambahnya.
Kedua-dua Tei dan Shamsul dihadapkan pertuduhan menawarkan dan menerima suapan berjumlah RM176,829.03, manakala Sofia pula dinamakan sebagai saksi pendakwaan.
Tei: 'Sofia sebut Anwar, mana laporan polis?'
Tei turut mempersoalkan mengapa dia disiasat sedangkan Sofia yang membuat dakwaan terhadap Azam.
Dia mencabar polis supaya turut menyoal siasat Azam.
"Nama Azam Baki turut disebut. Sepatutnya polis dan pegawai penyiasat panggil Azam Baki.
"Azam menafikan, itu saja. Setelah dia nafikan, saya pula disiasat. Tanya dan siasat dia, adakah semua ini benar?
"Jadi, sekarang ini, kerajaan (dan) polis menyampaikan satu isyarat kepada seluruh masyarakat Malaysia: orang berprofil tinggi, pegawai tertinggi, pegawai kerajaan yang duduk di atas, tak boleh sentuh, tak boleh siasat. Mereka ini seolah-olah kebal undang-undang," kata Tei.
Tei pada masa sama mencabar Anwar untuk membuat laporan polis atas dakwaan serupa yang dikeluarkan Sofia dalam video itu.
Katanya, dakwaan dibuat Sofia, bersama-sama dengan kenyataan lain yang dibuatnya berhubung wang dan hadiah yang diberikan kepada Shamsul, semuanya terkandung dalam video yang sama.
"Adakah Anwar Ibrahim sudah disiasat? Dan kenapa Anwar belum buat lagi laporan polis bahawa ini fitnah? Azam Baki sudah buat laporan polis fitnah. Sekarang saya tunggu.
"Saya cabar dia (Anwar), buat laporan polis fitnah!" tambahnya.
Sementara itu, peguam N Surendran membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang mengubah pendirian mengenai penggunaan undang-undang "fitnah jenayah" bagi menutup mulut pengkritik.
"Jika Azam Baki merasakan difitnah, maka ada proses di mahkamah sivil untuk failkan saman fitnah.
"Seperti rakyat lain di negara ini, failkan saman sivil fitnah dan samanlah pihak yang didakwa memfitnah anda. Tapi janganlah gunakan undang-undang jenayah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan cuba tangkap orang atau penjarakan orang kerana merasakan diri anda difitnah."
Surendran berkata rakyat biasa memfailkan saman, melantik peguam dan membayar yuran guaman apabila berdepan dakwaan fitnah terhadap mereka.
"Mengapa pula pegawai tertinggi kerajaan atau menteri tak perlu menggunakan saman fitnah? Sebaliknya mereka minta polis siasat. Apakah ini keadaannya di negara ini sekarang?"
Surendran, bekas ahli Parlimen PKR yang sebelum ini sebahagian daripada pasukan guaman Anwar ketika berada di pihak pembangkang, mengingatkan pimpinan PH mengenai bantahan mereka terhadap penggunaan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
"Hari ini, mereka berkuasa dan mereka pula melakukan perkara sama yang mereka janji tidak akan lakukan.
"Bukankah memalukan apabila kerajaan sekarang melakukan sesuatu yang mereka pernah berjanji tidak akan lakukan ketika menjadi pembangkang dulu, ketika berada di jalanan?"
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.