- Iklan -
Rencana

Mojtaba Khamenei: Yakini janji Allah yang pasti dan muktamad

Teks penuh perutusan pertama Ayatollah Seyed Mojtaba Hosseini Khamenei, pemimpin tertinggi Revolusi Islam Iran.

Seyed Mojtaba Hosseini Khamenei
4 minit bacaan
Kongsi

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1. Rakaman takziah atas kesyahidan Almarhum Pemimpin

Sebagai mukadimah bicara, saya wajib menzahirkan ucapan takziah kepada Imam Al-Mahdi, semoga Allah SWT menyegerakan kemunculannya bersempena kesyahidan Pemimpin Agung Revolusi, Ayatollah Khamenei yang dikasihi dan bijaksana. Saya memohon doanya buat setiap rakyat Iran dan pastinya buat seluruh umat Islam di seluruh dunia, serta sekalian penegak Islam dan Revolusi, buat para pejuang yang berkorban, waris-waris syuhada gerakan Islam dan terutamanya buat diri saya yang fakir ini.

2. Perutusan buat bangsa Iran yang agung

Saya, Seyed Mojtaba Hosseini Khamenei, seiring dengan kalian dan melalui siaran televisyen Republik Islam Iran, sedia maklum akan keputusan undian Majlis Pakar yang dihormati. Buat diri ini, memikul amanah di kedudukan yang pernah disandang oleh dua pemimpin agung, Almarhum Khomeini dan Alsyahid Khamenei merupakan tugas yang getir. Kerusi ini pernah diduduki oleh sosok yang selama lebih 60 tahun berjuang di jalan Allah dengan mengetepikan segala kenikmatan dan keselesaan lantas muncul sebagai mutiara yang gemilang serta tokoh terbilang, bukan sahaja buat era kini, malahan merentasi lipatan sejarah para pemimpin negara ini. Kehidupan mahupun cara pemergian kedua-duanya sarat dengan keagungan dan kemuliaan yang berakar-umbikan kebergantungan kepada mereka pada Kebenaran.

Peranan rakyat dalam sistem Islam

Antara seni kepimpinan Alsyahid Khamenei Pemimpin berserta pendahulunya adalah penglibatan mereka dengan rakyat dalam semua bidang dan secara berterusan menyemai wawasan serta kesedaran dalam diri mereka. Secara praktisnya, mereka sangat bergantung pada kekuatan rakyat. Kesan nyata hal ini dapat disaksikan sepanjang beberapa hari tatkala negara kehilangan sosok Pemimpin dan Panglima Tertinggi. Kebijaksanaan dan kecerdasan bangsa besar Iran dalam kemelut baru-baru ini dan keteguhan, keberanian serta kebangkitannya menerbitkan rasa kagum dalam kalangan sahabat dan rasa gerun di pihak musuh. Kalianlah, rakyat sekalian yang telah menakhodai negara dan mendukung kedaulatannya.

Empat amanat penting buat bangsa

a. Tumpuan kepada zikrullah, bertawakal kepadaNya, serta munajat kepada kesucian para Auliyaa dan Maksumin (selawat dan salam ke atas mereka semuanya). Ini menjadi jaminan bagi semua bentuk penyelesaian dan kemenangan muktamad ke atas musuh.

b. Memelihara kepaduan dalam kalangan semua individu dan lapisan masyarakat: Perkara ini lazimnya menzahirkan rupanya pada saat-saat sukar. Ia akan tercapai dengan menghindari persengketan.

c. Keterlibatan berkesan di lapangan: Sama ada menerusi cara yang telah kalian tunjukkan pada siang dan malam fasa peperangan ini, mahupun dalam bentuk pelbagai peranan berkesan di ranah sosial, politik, pendidikan, kebudayaan, malahan bidang keselamatan.

d. Saling membantu dan menyokong antara satu sama lain: Segala puji bagi Allah, sifat ini senantiasa menjadi jati diri sebahagian besar rakyat Iran dan adalah diharapkan nilai ini akan lebih cemerlang pada hari-hari yang khusus, yang tabiatnya pasti menyuguhkan cabaran yang lebih getir buat sesetengah pihak berbanding yang lain.

3. Amanat buat para pejuang

Wahai saudara-saudara pejuang sekalian! Tuntutan segenap lapisan rakyat adalah pertahanan yang ampuh dan menempiaskan penyesalan buat musuh. Pastinya tuas penutupan Selat Hormuz harus terus digerakkan. Beberapa siri kajian telah digarap berhubung pembukaan medan tempur baharu di mana musuh ketandusan pengalaman dan bakal terdedah kepada kelumpuhan teruk. Pengaktifannya akan dikerahkan seandainya kemelut peperangan ini berlarutan berlandaskan pemeliharaan kemaslahatan bersama.

Setulus penghargaan turut saya titipkan buat para pejuang Paksi Penentangan. Kami melihat negara-negara Paksi Penentangan sebagai sahabat kami yang paling akrab, manakala wacana penentangan serta Paksi Penentangan itu sendiri merupakan juzuk bernilai Revolusi Islam yang tidak terpisahkan.

4. Perutusan buat golongan yang terkesan akibat peperangan

Hal yang memperkuat, malah mempermudahkan nilai kesabaran sewaktu mendepani musibah adalah tumpuan mutlak kepada janji-janji Allah yang pasti dan muktamad, iaitu ganjaran agung buat golongan yang sabar. Lantaran itu kita wajib bersabar di samping menyandarkan setinggi-tinggi harapan dan tawakal pada limpah kurnia serta inayah Allah Yang Maha Esa.

Tiga iltizam utama

a. Menuntut bela atas darah para syuhada: Kita sekali-kali tidak akan meminggirkan tuntutan bela ke atas darah para syuhada. Setiap anggota bangsa yang gugur syahid di tangan musuh dengan sendirinya mengisi fail balasan dendam yang muktamad.

b. Rawatan perubatan buat yang tercedera: Para pejuang yang cedera akibat serangan, wajib menerima khidmat perubatan yang wajar secara percuma dan menikmati pelbagai keistimewaan lain.

c. Pampasan atas kerugian kewangan: Setakat mana yang diizinkan oleh situasi semasa, langkah-langkah yang tuntas wajib digariskan dan direalisasikan demi menampung kerosakan kewangan yang menimpa harta dan aset peribadi.

Tuntutan ganti rugi daripada musuh

Walau dalam apa jua keadaan sekalipun, kita tetap akan menuntut ganti rugi daripada pihak musuh. Seandainya mereka berkeras enggan, kita akan merampas aset-aset mereka ke tahap wajar. Seandainya langkah sedemikian mustahil dilaksanakan, kita akan membinasakan aset mereka pada timbangan yang sama.

5. Perutusan buat negara-negara serantau

Kita mempunyai 15 buah negara jiran yang bersempadan darat mahupun perairan. Kita senantiasa serta kekal cenderung untuk menjalin hubungan yang erat dan konstruktif dengan kesemuanya. Namun begitu, sejak sekian lama, pihak musuh secara berperingkat telah menanam pasak pangkalan mereka, baik dari sudut ketenteraan mahupun kewangan, di sebahagian negara-negara ini bagi menanam penguasaannya ke atas rantau ini.

Saya mengesyorkan agar pangkalan-pangkalan tersebut ditutup dengan kadar segera. Ini kerana, pada detik ini, mereka tentunya telah menyedari bahawa janji dan jaminan Amerika Syarikat berhubung pembentukan rantau yang aman dan damai tidak lain hanyalah pendustaan semata-mata.

6. Bicara buat Almarhum Pemimpin

Wahai Pemimpinku! Pemergianmu telah memahat parut duka yang dalam di lubuk hati setiap insan. Dikau senantiasa merindui pengakhiran sebegini sehinggalah akhirnya Allah Yang Maha Esa menganugerahkannya kepadamu tatkala lidahmu basah membaca ayat suci al-Quran pada hening pagi 10 Ramadan yang penuh barakah.

Kami memeterai janji setia bersamamu untuk berjuang dengan segenap kudrat bagi menjulang panji-panji ini, yang merupakan wajihah utama haluan kebenaran dan untuk melunaskan cita-cita suci yang kerananya dikau mengorbankan nyawamu.

7. Rakaman penghargaan dan sanjungan

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat sekalian tokoh mulia yang telah mendukung saya, meliputi para maraji' taklid, pelbagai personaliti kebudayaan, politik dan sosial berserta rakyat jelata yang membanjiri perhimpunan-perhimpunan besar demi menzahirkan pembaharuan ikrar taat setia terhadap sistem ini. Kalungan terima kasih turut saya titipkan buat para pegawai daripada tiga cabang kerajaan serta Majlis Kepimpinan Sementara atas kelangsungan tadbir urus dan tindakan cemerlang mereka.

8. Titipan doa buat bangsa Iran

Akhir kalam, saya bermohon agar Allah SWT menyegerakan kemunculan semula Imam al-Mahdi dan pada sisa-sisa malam dan hari al-Qadar pada bulan Ramadan yang mulia ini, kita pohonkan ke hadrat Allah Yang Maha Esa buat bangsa kita, iaitu sebuah kemenangan muktamad ke atas musuh, selain kemuliaan, kemakmuran dan kesejahteraan, manakala buat ruh-ruh yang telah Kembali, dikurniakan darjat yang tinggi serta kesejahteraan di negeri abadi.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Seyed Mojtaba Hosseini Khamenei
22 Ramadan 1447 Hijrah.

Terjemahan oleh MalaysiaNow.