- Iklan -
Berita

Bimbang keselamatan diri, Yusoff Rawther mohon suaka di UK

Peguam berharap mahkamah membenarkan perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran pemuda itu secara fizikal.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther merengkok selama sembilan bulan dalam penjara selepas serbuan polis ke atas keretanya, sehingga mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan memiliki dadah dan senjata api. Dia menegaskan barang-barang itu diletakkan sebagai perangkap oleh individu berkuasa.
Yusoff Rawther merengkok selama sembilan bulan dalam penjara selepas serbuan polis ke atas keretanya, sehingga mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan memiliki dadah dan senjata api. Dia menegaskan barang-barang itu diletakkan sebagai perangkap oleh individu berkuasa.

Muhammed Yusoff Rawther, pemuda yang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyerangnya secara seksual, telah memohon suaka di United Kingdom kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, kata peguam Rafique Rashid.

"Dia benar-benar berada dalam ketakutan, benar-benar risau tentang keselamatan diri dia dan beliau risau akan diapa-apakan.

"Ketakutan ini adalah kerana Yusoff telah melalui satu proses yang amat menakutkan dan amat menyakitkan dan amat merisaukan," kata Rafique, merujuk kepada insiden serbuan penuh kontroversi dilakukan polis ke atas anak guamnya pada September 2024, yang menyebabkan beliau dipenjarakan selama sembilan bulan sebelum dilepaskan pada Jun 2025.

Peguam Rafique Rashid menunjukkan dokumen permohonan Yusoff Rawther untuk mendapatkan suakan daripada kerajaan United Kingdom.
Peguam Rafique Rashid menunjukkan dokumen permohonan Yusoff Rawther untuk mendapatkan suakan daripada kerajaan United Kingdom.

Rafique berkata proses permohonan suaka di UK memerlukan Yusoff menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa, di samping tidak meninggalkan negara itu.

Menurutnya, perkara itu dirahsiakan daripada orang ramai atas dasar keselamatan, sambil memetik beberapa kejadian yang masih belum selesai seperti kehilangan wanita bernama Pamela Ling ketika menuju ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu, dan "kematian misteri" seorang pegawai Perbendaharaan yang dijumpai mati di pejabatnya.

"Apabila ada senario begini, dia rasa dirinya tidak selamat."

"Yusoff bukan melarikan diri," kata Rafique. 

Mahkamah Rayuan akan bersidang pada 15 Jun untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun 2025 membebaskan Yusoff daripada pertuduhan memiliki senjata dan dadah.

"Yusoff juga tidak memohon supaya rayuannya ditangguhkan dan dibatalkan tanpa melalui proses pendengaran. Yusoff  menyatakan mahu jalankan rayuan tersebut dan kita akan hadir ke mahkamah pada 15 Jun 2026."

Rafique berkata beliau telah menulis kepada peguam negara dan juga presiden Mahkamah Rayuan mengenai situasi Yusoff, dan berharap anak guamnya dibenarkan tidak perlu hadir pada perbicaraan rayuan itu, seperti mana diperuntukkan Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah.

'Apa jadi laporan polis terhadap Farhash, Anwar?'

Sementara itu, Rafique sekali lagi mengulangi gesaannya terhadap Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengenai status laporan polis Yusoff yang menamakan beberapa individu yang menurutnya bertanggungjawab memerangkapnya dengan senjata dan dadah pada September 2025.

Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador dinamakan oleh Yusoff Rawther sebagai individu yang bertanggungjawab memerangkapnya dengan pertuduhan dadah dan senjata api.
Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador dinamakan oleh Yusoff Rawther sebagai individu yang bertanggungjawab memerangkapnya dengan pertuduhan dadah dan senjata api.

Antara individu itu termasuk Anwar dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.

"Banyak kali dah kita minta, apa jadi dengan laporan polis Yusoff?"

Yusoff pertama kali menuduh Anwar dalam satu akuan berkanun pada November 2019, diikuti laporan polis.

Dalam samannya, Yusoff, yang pernah bertugas di pejabat banglo Anwar di Petaling Jaya, mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada 2 Oktober 2018, beberapa hari sebelum beliau memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.

Ia disusuli siasatan polis yang menyaksikan Bukit Aman menjalankan ujian poligraf terhadap Yusoff, manakala Anwar memilih untuk menolak ujian pengesan pembohongan itu dengan alasan tuduhan terhadapnya tidak berasas.

Pada 6 September 2024, polis mendakwa menemui dadah dan senjata dalam kenderaan milik Yusoff di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis.

Serbuan itu berlaku seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar.

Yusoff, cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris, bertegas beliau menjadi mangsa "orang berkuasa" yang mahu memerangkapnya sebagai balas dendam terhadap saman serangan seksual terhadap Anwar.

Pada 12 Jun 2025, mahkamah membebaskan Yusoff daripada tuduhan tersebut, selepas perbicaraan yang menyaksikan saksi pendakwaan membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas, sekali gus menguatkan spekulasi beliau merupakan mangsa konspirasi oleh individu yang mempunyai hubungan politik.