‘Mu nok gi mane?’ Di sebalik sapaan mesra, aplikasi TuJu undang kecaman
Lama sebelum pengumuman mengejut kerajaan mengenai ancaman keselamatan Waze, ramai sudah meluahkan kekecewaan terhadap aplikasi yang kononnya alternatif kepada pengguna jalan raya.
Terkini
Panduan arah yang bercelaru, paparan CCTV yang tidak kunjung tiba, masalah carian lokasi, kehilangan isyarat GPS dan aplikasi yang kerap tersekat.
Itu antara kelemahan TuJu, aplikasi navigasi GPS milik kerajaan Malaysia yang dilancarkan tahun lalu selepas tiga tahun dibangunkan.
TuJu dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat swasta Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Tidak ramai yang tahu kewujudan aplikasi tersebut, jauh sekali menggunakannya, disebabkan rata-rata rakyat Malaysia sudah biasa dengan aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk pemanduan harian.
Semua itu berubah susulan pengumuman mengejut kerajaan yang menggesa orang ramai beralih kepada TuJu.
Ini kerana Majlis Keselamatan Negara mendapati Waze – yang mempunyai asal-usul Israel dan masih tertakluk kepada undang-undang negara Zionis itu – membawa risiko keselamatan data, di samping mendedahkan lokasi serta corak pergerakan penggunanya.
“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Pengumuman itu disusuli larangan terhadap penjawat awam menggunakan Waze dan gesaan supaya rakyat Malaysia beralih kepada TuJu.
Ekoran pengumuman tersebut, rakyat Malaysia mula memuat turun aplikasi itu melalui Google Play Store dan Apple App Store.
Sebaik dibuka, TuJu memaparkan mesej mencuit hati dalam pelbagai dialek: “Mu nak gi mano?” – antara ungkapan dalam dialek Kelantan yang menyambut pengguna.
Namun, ia gagal meredakan kemarahan pengguna yang majoritinya kecewa dengan pengalaman menggunakan TuJu.
Di Google Play Store, TuJu menerima penarafan rendah, iaitu 2.1 daripada 5 bintang.
Rungutan utama pengguna menyentuh sebab asal mereka memuat turun TuJu: panduan arah jalan.
“Ia tidak dapat menemui lokasi yang dicari dan tidak dapat menunjukkan lokasi tepat pada peta; bagaimana saya hendak sampai ke destinasi?” soal Mazlan MS dalam komen di Play Store pada Ogos, lama sebelum pengumuman kerajaan.
Di App Store pula, seorang pengguna menyatakan aplikasi tersebut tidak memaparkan keadaan lalu lintas dengan mencukupi, manakala petanya tidak jelas.
“Ia tidak dengan tepat menunjukkan keadaan trafik; pada asasnya, ia hanya memaparkan laluan pada peta,” tulis Nadia Gonzales pada 30 Julai lalu.
Nadia memberi amaran, memandangkan aplikasi itu sangat perlahan, pengguna jalan raya mungkin terlepas memasuki simpang sementara menunggu peta mengemas kini lokasi.
MonstazI, seorang lagi pengguna yang kecewa, pada mulanya teruja untuk menunjukkan semangat patriotik.
“Saya benar-benar mahu menyokong produk tempatan, tetapi jika hasilnya ialah pengalaman buruk, saya berharap pembangun dapat mempertimbangkan penambahbaikan melalui ciri baharu dan fungsi lain yang lebih berguna,” tulis beliau dalam ulasan di App Store.
Hasil ujian laman SoyaCincau, yang kerap mengulas gajet dan produk IT, mendapati TuJu diselubungi pelbagai kecacatan, seperti arahan navigasi yang mengelirukan, ketiadaan panduan lorong di persimpangan, serta ketiadaan Android Auto dan Apple CarPlay.
“Keadaannya lebih teruk ketika memandu di jalan raya yang rumit di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, di mana terdapat banyak susur keluar lebuh raya yang dekat antara satu sama lain,” menurut laporan itu.
“Kami berdepan situasi di mana kami perlu berada di lorong paling kiri untuk mengambil susur keluar yang betul, namun TuJu mengarahkan kami untuk terus bergerak lurus.”
Satu aduan yang kerap dibangkitkan ialah mengenai paparan CCTV lebuh raya, yang membantu pengguna jalan raya memastikan keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan.
“Entah siapa yang bangunkan dan selenggara aplikasi ini, mereka sangat tidak cekap, terutamanya berkaitan CCTV lebuh raya,” menurut pengguna Raffi Alwi di Play Store, yang turut menambah bahawa masalah itu tidak timbul di aplikasi lain.
RenE AWP, yang memberikan penarafan satu bintang, berkata paparan CCTV gagal dimuatkan pada waktu pagi: “Teruk sangat... paparan langsung tak muncul pada waktu pagi. Bagaimana nak rancang perjalanan pagi saya?”
Pihak yang membangunkan TuJu mendakwa ia menggunakan maklumat daripada LLM, pengendali lebuh raya dan pengguna awam, serta sumber data lain untuk menyediakan kemas kini trafik.
Kejayaan aplikasi tempatan di negara lain
Malaysia bukanlah negara pertama yang membangkitkan isu keselamatan dan data Waze.
Sejak sekian lama, banyak negara sudah membangunkan alternatif sendiri, dan populariti aplikasi tempatan itu dalam kalangan rakyat masing-masing menjadi bukti kejayaan mereka.
Di negara yang membangunkan infrastruktur IT sendiri untuk membebaskan diri daripada cengkaman teknologi syarikat gergasi Barat, aplikasi tempatan lebih menonjol berbanding Waze dan Google Maps.
Di China, aplikasi seperti Gaode Map (milik Alibaba) merupakan antara yang paling popular, di samping aplikasi lain seperti Baidu dan Tencent.
Di Rusia, Yandex dianggap sebagai peneraju, mengatasi Google Maps dan Waze. Ia lengkap dengan direktori bandar yang terperinci serta aplikasi peta luar talian, malah mampu menunjukkan lokasi pintu masuk bangunan dengan tepat.
Begitu juga di Iran, di mana aplikasi Neshan dan Balad mendapat penilaian yang tinggi, dan menawarkan data trafik secara real-time, amaran kamera had laju dan sekatan polis. Ciri ini juga diintegrasikan dengan aplikasi perkhidmatan e-hailing seperti Snapp dan Tapsi.
Di Play Store, Neshan mencatatkan penilaian 4.8, manakala Balad memperoleh penarafan penuh 5 bintang.
Sementara itu, di Malaysia, walaupun berdepan lambakan aduan selama berbulan-bulan di platform Google dan Apple, LLM dan Prosignal Consortium tidak memberikan respons kepada pengguna.
Kini, setelah aduan mula membanjiri media sosial, LLM mengeluarkan kenyataan rasmi.
“LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna. LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd, sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.
“Dalam masa yang sama, LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi,” katanya.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
