‘Selepas ini, Netanyahu boleh lawat Malaysia’: Gelombang kecaman selepas Anwar jabat tangan 'berlumuran darah' pemimpin Myanmar
Ratusan komen membanjiri media sosial meluahkan kekecewaan terhadap sambutan mesra yang diberikan kepada Min Aung Hlaing ketika pemimpin junta itu meneruskan serangan kejam di negaranya.
Terkini
Sambutan meriah Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Min Aung Hlaing, pemimpin tentera Myanmar yang disebut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah kemanusiaan, mengundang gelombang kecaman, termasuk sindiran bahawa ia merintis jalan untuk Malaysia meraikan Benjamin Netanyahu yang turut berdepan tuduhan jenayah perang.
Hari ini, Anwar bersalaman dengan Min Aung Hlaing dalam majlis mengalu-alukan pemimpin junta itu, kali pertama kerajaan Malaysia meraikan seorang ketua negara yang dikehendaki atas tuduhan jenayah perang dalam satu lawatan rasmi.
Laman media sosial perdana menteri dibanjiri komen daripada rakyat Malaysia dan komuniti diaspora Myanmar di rantau Asia Tenggara, dengan ramai mempersoalkan kewajaran tindakan Anwar berurusan dengan Min Aung Hlaing, lebih-lebih lagi ketika rejim beliau giat melancarkan serangan udara paling dahsyat sejak beberapa tahun terhadap orang awam dengan alasan memerangi militan.
“Berjabat tangan dengan penjenayah bukanlah perkara yang baik,” kata Htoo Htoo Naing, salah satu daripada ribuan komen yang terpapar ketika sidang media bersama Anwar dan diktator Myanmar itu distrim secara langsung melalui Facebook.
“Selamat datang ketua pembunuh,” kata T Tay Gyi.
“Jika kamu memberi salam kepada seseorang dengan tangan yang najis, kamu adalah kumpulan yang najis,” tulis seorang lagi.
Rata-rata, pengguna melemparkan kata-kata kesat terhadap Min Aung Hlaing sambil mempersoalkan Anwar.
“Insya-Allah, setan-yahu akan melawat Malaysia tidak lama lagi,” kata seorang lagi pengguna, merujuk kepada Netanyahu, perdana menteri Israel yang berdepan waran tangkap oleh ICC susulan kempen genosida di Gaza yang telah mengorbankan 100,000 nyawa.
Angka kematian yang serupa juga dicatat di Myanmar, di mana lebih 100,000 orang terbunuh sejak Min Aung Hlaing mengambil alih kerajaan melalui rampasan kuasa tentera pada 2021, sementara lebih 3.5 juta orang melarikan diri ke negara-negara jiran, termasuk kira-kira 200,000 orang ke Malaysia.
Baru-baru ini, rejim tersebut meningkatkan serangan udara ke atas bandar dan kawasan awam di negeri Rakhine (Arakan), tanah air umat Islam Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan empat dekad lalu sehingga menyebabkan krisis pelarian paling buruk di dunia, menurut pelbagai agensi PBB.
Saluran berita hal ehwal semasa Myanmar, The Irrawaddy, hari ini melaporkan bahawa junta tentera semakin kehilangan sebahagian besar wilayah yang pernah dikuasainya di Arakan, lalu mula menyerang tempat awam termasuk pasar, hospital, sekolah, kampung dan kem pelarian.
“Peningkatan jumlah korban menunjukkan bahawa serangan udara menjadi salah satu kaedah utama junta untuk mempamerkan kekuatan di kawasan yang tidak lagi dapat dikawal secara berkesan di lapangan,” menurut laporan itu.
Lawatan Min Aung Hlaing ke Malaysia dilihat mengalihkan tumpuan rejim itu daripada berdepan kecaman antarabangsa terhadap kempen pembunuhan yang diperhebat baru-baru ini.
Ia juga berlaku di tengah-tengah kempen kebencian dalam talian yang cuba mempengaruhi umat Islam Malaysia, yang selama ini bersimpati dengan nasib umat Islam Rohingya.
Semakan mendapati sebahagian besar kandungan tersebut dipacu oleh bot dan akaun palsu yang menggunakan ratusan video dijana teknologi AI dengan matlamat menyemai kebencian terhadap komuniti pelarian dan migran.
Ahli politik di kedua-dua belah pihak bagaimanapun kebanyakannya berdiam diri terhadap kempen kebencian itu, bimbang akan tindak balas negatif daripada sebahagian segmen pengundi mereka.
Malah kempen tersebut dilihat mendapat persetujuan tersirat daripada sebahagian ahli politik Malaysia.
Ia menunjukkan bagaimana tekanan yang direkayasa secara dalam talian sedikit sebanyak menggalakkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelarian, yang kemudian terserlah melalui pengumuman mengejut Anwar mengenai perjanjian yang dicapai dengan Myanmar untuk menghantar pulang beribu-ribu pelarian.
Namun sejak kebelakangan ini, beberapa aktivis Islam mula tampil menegur kalangan umat Islam yang menyokong kempen kebencian terhadap Rohingya.
Antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), gabungan yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara, yang menggesa penubuhan sebuah pasukan petugas khas bagi memerangi kebencian digital dan penyebaran maklumat palsu.
“Adakah kita sedang berhadapan dengan penyebaran kebencian secara spontan, atau terdapat rangkaian akaun yang sengaja memanipulasi sentimen masyarakat?” soal Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid. “Jangan biarkan algoritma media sosial menentukan siapa yang rakyat Malaysia patut benci.”
Dalam kenyataannya hari ini, Azmi mengingatkan pentadbiran Anwar supaya tidak mengabaikan prinsip kemanusiaan ketika berunding dengan pimpinan Myanmar.
“Dalam keadaan Myanmar masih bergelut dengan konflik dan krisis kemanusiaan, Malaysia perlu memastikan bahawa protokol diplomatik tidak menghasilkan persepsi bahawa segala persoalan mengenai tindakan pihak berkuasa Myanmar telah selesai.
“Malaysia perlu menegaskan bahawa ‘libat urus tidak bermakna pengiktirafan’,” katanya, sambil menambah bahawa Putrajaya “tidak perlu memilih antara prinsip dan diplomasi”.
Sementara itu, salah satu komen di Facebook dalam bentuk nasihat kepada Anwar merumuskan kekecewaan ramai rakyat Myanmar.
“Setiap tindakan yang diambil hari ini akan menjadi sejarah untuk hari esok. Malah selepas kita mati, ia akan kekal tercatat dalam lipatan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
“Janganlah hidup untuk kehidupan ini semata-mata; hiduplah hari ini demi legasi yang bakal anda tinggalkan,” tulis Kyaw Kyaw.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
