- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Anwar membisu selepas ICJ sabitkan Myanmar dengan genosid Rohingya, ‘pelan Turkiye’ cetus tanda tanya

Perdana menteri sebelum ini meraikan individu sama yang dinamakan oleh ICJ sebagai panglima tentera yang bertanggungjawab mewujudkan keadaan menjurus kepada genosid.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim meraikan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, orang yang dinamakan oleh Presiden ICJ, Yuji Iwasawa (kanan), sebagai panglima tentera yang bertanggungjawab menyemai kebencian yang mendorong pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Rohingya.
Anwar Ibrahim meraikan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, orang yang dinamakan oleh Presiden ICJ, Yuji Iwasawa (kanan), sebagai panglima tentera yang bertanggungjawab menyemai kebencian yang mendorong pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Rohingya.

Ketika laporan ini diterbitkan, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih belum mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap rejim Myanmar, meskipun beberapa negara lain menyambut baik keputusan itu dan menggesa tindakan diambil terhadap junta tentera bagi menamatkan penindasan berpanjangan ke atas umat Islam Rohingya.

Sikap membisu itu dilihat berlawanan dengan respons pantas kerajaan sebelum ini terhadap usaha mengheret Israel atas tuduhan genosid dua tahun lalu, sekali gus mencetuskan kritikan mengenai sikap tidak konsisten dalam menangani isu genosid apabila ia berlaku dalam kejiranan Malaysia sendiri.

Keputusan 19 November itu disambut baik kerajaan di seluruh dunia, termasuk Bangladesh, negara yang paling terkesan dengan krisis pelarian yang tercetus susulan serangan berterusan junta Myanmar di Arakan, yang memaksa jutaan umat Islam Rohingya mencari perlindungan di negara-negara jiran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bersama blok antarabangsa seperti Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mengulangi kecaman mereka terhadap penindasan junta Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.

Sementara itu, United Kingdom bertindak mengusir seorang atase pertahanan Myanmar di kedutaannya di London sebagai langkah awal melaksanakan keputusan ICJ itu.

Malah pentadbiran Amerika Syarikat yang kini bermusuh dengan ICJ turut menyatakan solidaritinya terhadap nasib etnik Rohingya.

“Kami menyatakan sokongan kami kepada rakyat Burma dan berkongsi kebimbangan yang amat mendalam terhadap pencabulan hak asasi manusia yang berterusan ke atas umat Islam Rohingya serta kumpulan minoriti lain,” kata seorang jurucakap kerajaan AS yang dipetik Al Jazeera.

Di pihak Malaysia pula, tiada sebarang kenyataan solidariti diutarakan terhadap etnik Rohingya, yang kini diiktiraf di peringkat global sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai, atau genosid.

Rohingya_turkiyeDi sebalik sikap membisu itu, suatu kenyataan luar biasa secara tiba-tiba dikeluarkan Putrajaya apabila ia mengumumkan rancangan latihan kemahiran dan penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye, negara yang jaraknya 8,000 km.

Bagaimanapun, kenyataan yang dimuat naik semalam di laman Facebook Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi itu diturunkan tanpa sebarang penjelasan. Kerajaan Turkiye juga masih belum memberikan sebarang ulasan.

Tindakan itu mencetuskan spekulasi sama ada pengumuman tersebut dibuat terlalu awal tanpa mendapat persetujuan Turkiye, atau sekadar sengaja direka bagi menenangkan anasir xenofobia, yang kini lantang mengganggu pelarian Islam Rohingya di Malaysia untuk menekan pihak berkuasa mengusir mereka.

Sikap berdiam diri Anwar mengenai keputusan ICJ selari dengan langkah drastik beliau membelakangi dasar kerajaan yang sekian lama berpegang kepada prinsip solidariti dengan umat Islam Rohingya, yang berdepan diskriminasi dan keganasan sistematik daripada junta di Myanmar.

Bulan lalu, di sebalik kebimbangan disuarakan oleh pelbagai pihak, Anwar memilih untuk meraikan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing – individu yang dinamakan oleh ICJ sebagai jeneral kanan yang bertanggungjawab menyemai kebencian terhadap etnik Rohingya semasa kempen ketenteraan pada 2016-2017.

“Mahkamah menyatakan bahawa ucapan kebencian yang diatur dan disebarkan oleh tentera Myanmar, sebelum dan semasa operasi pembersihan tersebut, menggambarkan etnik Rohingya sebagai golongan yang bukan manusia (subhuman) serta sebagai ancaman keganasan, dan keadaan ini mewujudkan suasana yang membolehkan sesuatu kelompok menjadi sasaran untuk dihapuskan,” menurut penghakiman ICJ itu.

Kempen kebencian anti-Rohingya yang serupa kini berulang di Malaysia, malah dibiarkan merebak oleh pentadbiran Anwar.

Wajah-wajah yang menyemai kebencian: antara individu yang bergerak dalam kumpulan untuk mengganggu komuniti migran dan kemudian memuat naik aktiviti itu ke media sosial.
Wajah-wajah yang menyemai kebencian: antara individu yang bergerak dalam kumpulan untuk mengganggu komuniti migran dan kemudian memuat naik aktiviti itu ke media sosial.

Sejak beberapa bulan lalu, sentimen permusuhan terhadap pelarian Rohingya semakin diperhebat, termasuk menerusi kempen media sosial yang sarat dengan ucapan kebencian, kumpulan vigilante yang berkeliaran di kawasan bandar untuk mengganggu pelarian, serta desakan supaya mereka diusir pulang walaupun ia bermakna kembali ke tangan junta Myanmar yang terbukti melakukan genosid.

Anwar dan sebilangan kecil ahli politik dilihat bersetuju dengan naratif yang melabelkan pelarian Rohingya sebagai golongan yang mencetuskan kekacauan.

Pada September, Anwar mengulangi naratif yang melabelkan pelarian Islam Rohingya sebagai golongan yang menimbulkan kekacauan, dengan mendakwa mereka “melanggar kampung, melanggar peraturan, buat perhimpunan haram dan mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia”, tuduhan yang tidak disokong sebarang bukti.

Ini disusuli dengan tindakan beliau mengubah pendirian Malaysia yang sekian lama melindungi pelarian Islam, dengan melancarkan program penghantaran pulang pelarian walaupun dikecam pelbagai kumpulan hak asasi.

Langkah Anwar untuk berbaik-baik dengan rejim Myanmar tidak mendapat sokongan Asean, blok serantau yang dianggotai 10 negara dan pernah dipengerusikan beliau tahun lalu. Sehari sebelum keputusan ICJ diumumkan, Sidang Kemuncak Asean di Manila bertindak melanjutkan larangan terhadap pemimpin Myanmar daripada menghadiri mesyuarat blok tersebut atas kegagalan rejim itu melaksanakan pelan damai “Konsensus Lima Perkara” (5PC) yang bertujuan menamatkan keganasan di Myanmar serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.