- Iklan -
Berita

Bekas pemimpin DAP anggap Anwar dijangkiti 'amnesia moral' kerana puji Trump

Kua Kia Soong berkata pujian Anwar Ibrahim kepada Donald Trump adalah penghinaan terhadap setiap anak kecil yang ditemui mati di bawah runtuhan di Gaza.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen DAP, Kua Kia Soong (dua dari kiri), bersama beberapa aktivis pro-Palestin.
Bekas ahli Parlimen DAP, Kua Kia Soong (dua dari kiri), bersama beberapa aktivis pro-Palestin.

Seorang aktivis dan bekas ahli Parlimen DAP menyuarakan rasa terkilan terhadap tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji Donald Trump, menyifatkannya sebagai satu bentuk "amnesia moral" dan pengabaian terhadap penderitaan rakyat Palestin di bawah pentadbiran presiden Amerika Syarikat itu.

Kua Kia Soong berkata ucapan Anwar pada Sidang Kemuncak Asean yang menyifatkan Trump sebagai "pendamai" kerana kononnya berjaya mencapai keamanan antara Kemboja dan Thailand, merupakan contoh amnesia moral "yang memalukan".

"Menggelar Trump sebagai pendamai bukan sekadar mengubah sejarah, ia adalah pengkhianatan terhadap perkara yang benar.

"Tembak-menembak di sempadan Kemboja dan Thailand berhubung tapak kuil Preah Vihear sudah tentu menyedihkan, tetapi ia dapat diselesaikan melalui diplomasi Asean dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, bukan melalui apa-apa perjanjian 'oren' oleh presiden Amerika Syarikat,” katanya dalam sebuah rencana yang menyelar sikap perdana menteri meraikan Trump Ahad lalu.

Kua, yang merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 dan kini mengetuai kumpulan hak asasi manusia Suaram, mengingatkan di bawah Trump, dasar pro-Israel dilakukan secara lebih terbuka seperti memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, memotong bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin.

Di samping itu, Kua berkata Trump turut membekalkan senjata bernilai berbilion dolar kepada Arab Saudi bagi meneruskan perang di Yaman sebelum ini.

"Peranan yang kononnya dimainkan Trump (dalam perjanjian damai Kemboja-Thailand) hanyalah mitos yang direka egonya sendiri. Pujian Anwar lebih berkait lakonan politik daripada hakikat sejarah."

Kua berkata kempen Trump memburu Hadiah Nobel Keamanan sebagai tingkah laku menjijikkan dalam erti kata kepimpinan negara. 

"Malah pegawainya mengeluarkan sijil Nobel palsu bagi menenangkan egonya yang tercalar. Ketika seorang ahli Parlimen sayap kanan dari Norway mencalonkannya, Trump tampil megah di hadapan kamera sambil berkata, 'Semua orang kata saya layak menerimanya',” tulis Kua.

Ulasannya menyusul di tengah-tengah ledakan kritikan dan kecaman terhadap Anwar atas cara sambutan yang diberikan kepada Trump, yang ramai anggap berlebihan dan tidak sensitif dengan kemarahan terhadap pemimpin AS itu yang digelar "sahabat terbaik Israel" oleh Benjamin Netanyahu.

Antaranya Setiausaha Agung PAS, Takiyuddinn Hassan, yang menyamakan sambutan besar-besaran untuk Trump di KLIA sebagai "menabur garam pada luka rakyat Gaza yang masih berdarah".

Bagi Kua, pujian Anwar kepada Trump adalah penghinaan terhadap setiap anak kecil yang ditemui mati di bawah runtuhan di Gaza. 

"Sejarah tidak akan mengingati Trump sebagai pendamai, tetapi sebagai presiden yang menghalalkan apartheid, memperlengkapkan penindasan, dan menggagalkan setiap usaha menuju perdamaian sejati di Palestin.

"Dan jika Anwar terus mengulangi delusi itu, sejarah mungkin akan menilainya sebagai bersubahat bukan dalam membina keamanan, tetapi dalam menghapuskan kebenaran," tambahnya.