- Iklan -
Berita

Di sebalik nasihat Sultan fahami Rukun Negara, pemimpin DAP cetus kecaman persoal status 'titah diraja'

Ia susulan teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada dua ahli politik DAP yang tidak setuju dengan pengharaman industri penternakan babi di Selangor.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Tony Pua berpandangan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara tidak meliputi titah diraja, susulan teguran Sultan Selangor agar Adun negeri itu mendalami Rukun Negara dengan mengunjungi sebuah monumen yang baru dibina di Shah Alam.
Tony Pua berpandangan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara tidak meliputi titah diraja, susulan teguran Sultan Selangor agar Adun negeri itu mendalami Rukun Negara dengan mengunjungi sebuah monumen yang baru dibina di Shah Alam.

Seorang pemimpin kanan DAP menjadi sasaran kecaman di media sosial susulan kenyataannya yang menganggap titah sultan tidak mempunyai tempat dalam kerangka perlembagaan, sambil menyatakan kuasa raja-raja Melayu terbatas kepada peranan tertentu.

Tony Pua, pengerusi lembaga disiplin DAP yang pada 2022 dilantik sebagai penasihat dasar kepada Setiausaha Agung Anthony Loke, memuat naik pandangannya beberapa jam selepas Sultan Selangor mengingatkan ahli politik negeri itu mengenai prinsip Rukun Negara, khususnya kesetiaan kepada institusi diraja.

Menurut Pua, raja-raja Melayu merupakan  raja berperlembagaan dengan kuasa yang terhad kepada soal adat resam Melayu, agama Islam, serta peranan seperti pelantikan menteri besar dan pembubaran dewan undangan negeri.

"Ya, saya setia kepada Raja dan Negara, akan mematuhi Kedaulatan Undang-undang berdasarkan Perlembagaan kita yang agung. Bukan titah," kata Pua dalam kenyataan yang dilihat sebagai mempertahankan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, dan bekas exco Selangor, Ronnie Liu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menujukan tegurannya khusus kepada Wong dan Liu, sambil menggesa wakil rakyat Selangor mendalami pemahaman mereka tentang Rukun Negara dengan kerap melawat Dataran Selangor di Shah Alam, tempat terletaknya Plak Monumen Rukun Negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah di Plak Monumen Rukun Negara, Shah Alam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah di Plak Monumen Rukun Negara, Shah Alam.

Sultan Sharafuddin menyatakan semua Adun perlu melakukan lawatan dua kali sebulan ke dataran tersebut, sambil menambah Wong dan Liu perlu berkunjung sekali seminggu "untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk menghormati Institusi Raja dan menjaga adab dan kesucian".

Kedua-dua mereka menjadi sasaran selepas dilihat tidak bersetuju dengan titah sultan awal tahun ini untuk mengharamkan industri penternakan babi di seluruh Selangor berikutan aduan orang ramai tentang pencemaran alam sekitar.

Sebaliknya, Sultan Sharafuddin mencadangkan daging babi diimport untuk memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.

Pada 22 April, Wong mencadangkan penternakan babi di negeri ini boleh diteruskan sekiranya kaedah penternakan moden dan tertutup dilaksanakan.

Berikutan itu, pada 7 Mei, Sultan Sharafuddin sekali lagi menegaskan pendiriannya tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi.

Ini disusuli dengan Liu, yang sebelum ini mengkritik kepimpinan DAP Selangor kerana berdiam diri terhadap pengharaman itu, menggesa penternak babi memfailkan semakan kehakiman, sambil menyatakan hak mereka dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

rally_ShahAlam_Fullstop_16026_FB_PAS_SelangorKenyataan itu mencetuskan reaksi marah daripada pemimpin Melayu merentas parti politik, yang seterusnya menyaksikan perhimpunan besar dianjurkan Perikatan Nasional dan kumpulan Melayu di Shah Alam pada Sabtu lalu bagi menyatakan solidariti kepada Sultan Selangor.

Liu hari ini kelihatan akur dengan titah Sultan Sharafuddin, sambil berkata beliau menjunjung kasih dengan "penuh rendah diri dan setinggi-tinggi penghargaan".

Bagaimanapun, Pua berkata sistem di Malaysia tidak membenarkan seorang raja "mengeluarkan titah yang mengikat semua aspek kehidupan kita".

"Kita mempunyai Parlimen dan dewan undangan negeri, yang terdiri daripada wakil yang dipilih rakyat untuk menggubal undang-undang dan peraturan," katanya.

Kenyataan itu mencetuskan ledakan kritikan di Facebook Pua, termasuk tuduhan tidak menghormati institusi diraja, sementara penyokong DAP pula mempertahankan beliau.

"Sindiran sebegini agak biadab terhadap Raja-Raja Melayu," tulis Zaimal Md Jamal.

Seorang lagi pengguna menuduh Pua bersikap selektif dalam mematuhi Rukun Negara.

"'Kesetiaan kepada Raja dan Negara' tiba-tiba menjadi pilihan apabila pandangan raja tidak menepati naratif politik tertentu... sesuatu titah diraja membawa kuasa moral dan nasional yang besar. Demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan bertujuan saling melengkapi, bukan dianggap sebagai berlawanan," kata JZ Juzai.

"Menarik. Raja berperlembagaan hanya apabila kuasa Tuanku tidak disenangi, tetapi hikmah perlembagaan apabila kerajaan Madani dibentuk selepas PRU15. Prinsip yang sangat berubah-ubah. Aksi silat perlembagaan peringkat Olimpik yang sebenar," tulis Yew Seng Wei.

Ffj Hana pula menambah: "Keterbatasan hak Sultan adalah biasa ketika era penjajahan British dan Jepun. Ia berbeza sekarang. Sultan menjalankan peranan semak dan imbang yang kritikal melalui hak perlembagaannya untuk menasihati, menegur, dan memberikan perkenan diraja kepada dasar-dasar negeri."