- Iklan -
Berita

Hujan berterusan, apakah banjir besar Selangor bakal berulang?

Pakar beri penjelasan sains mengapa tidak perlu bimbang akan berulangnya banjir 2021 yang menyebabkan kematian dan kemusnahan besar di Selangor.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk meredah banjir di Padang Jawa, Klang, pada 24 Nov, 2025.
Penduduk meredah banjir di Padang Jawa, Klang, pada 24 Nov, 2025.

Hujan berterusan yang melanda negara sejak beberapa hari lalu tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengulangi insiden banjir besar seperti di Shah Alam dan beberapa bandar di Selangor pada 2021, di mana pakar menegaskan keadaan atmosfera kali ini jauh berbeza.

Menurut pakar oseanografi Azizan Samah, sistem tekanan rendah yang muncul sejak 21 November di utara Selat Melaka telah bertahan sehingga 25 November dan  memberi kesan lebih ketara kepada negeri-negeri utara Semenanjung.

“Untuk sistem tekanan rendah yang timbul semenjak 21 November di utara Selat Melaka, sistem ini telah bertahan sehingga 25 November. 

"Kesan teruknya lebih ke utara pantai barat Semenanjung dan luruan monsun pula juga terkesan di utara pantai Timur. Jadi tumpuan hujan berterusan lebih ke negeri-negeri di utara dan juga selatan Thailand,” katanya kepada MalaysiaNow.

Justeru itu Azizan menjelaskan bahawa Selangor berada di luar zon tumpuan hujan kali ini, tidak semasa 2021, di mana pusat tekanan rendah berada di Selangor

“Ini kerana pusat tekanan rendah lebih ke utara Semenanjung, jadi Selangor kena sipi-sipi saja, bukan hujan berintensiti lebat dan berterusan.

“Pusat tekanan rendah kini dekat Perak dan Pulau Pinang,” katanya.

Minggu ini, beberapa kawasan di Shah Alam ditutup selepas paras air meningkat susulan hujan lebat berterusan.

Hujan lebat juga menyaksikan beberapa kawasan perumahan ditenggelami air antaranya di Sungai Buloh di mana penduduk meluahkan kebimbangan banjir besar yang berlaku di Selangor pada 2021 akan berulang.

Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, ketika kawasan itu paling teruk mengalami kemusnahan akibat banjir besar Selangor pada 2021.
Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, ketika kawasan itu paling teruk mengalami kemusnahan akibat banjir besar Selangor pada 2021.

Pada tahun itu, Selangor antara negeri yang dilanda banjir terburuk sejak berdekad, menyebabkan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda dan Hulu Langat tenggelam apabila paras air mencecah setinggi bumbung rumah penduduk.

Selain mengalami kerugian hingga jutaan ringgit, bencana itu turut meragut hampir 50 nyawa di seluruh negara, dengan Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi.

Setakat jam 6.00 pagi tadi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan lebih 24,000 mangsa banjir dipindahkan, di mana Kelantan mencatatkan angka tertinggi seramai 9,525 mangsa, Perlis (5,968), Perak (4,184), Selangor (2,964), Kedah (2,043), Pulau Pinang (50) dan Terengganu (131).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan keadaan cuaca di kawasan pantai barat Semenanjung dijangka bertambah baik kerana sistem cuaca tekanan rendah tersebut mula menjauhi perairan negara.

Walau bagaimanapun, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 27 November yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri timur serta utara Semenanjung.

Sementara itu pakar alam sekitar dari Universiti Putra Malaysia, 
Haliza Abdul Rahman, turut bersetuju bahawa pola cuaca minggu ini tidak menyamai keadaan yang mencetuskan banjir besar 2021, yang digerakkan oleh sistem cuaca luar biasa kuat.

Menurutnya, banjir besar pada tahun tersebut berlaku kerana gabungan beberapa faktor serentak iaitu hujan ekstrem luar biasa, kapasiti sungai yang terhad limpahan air dari kawasan tadahan, serta fenomena air pasang besar.

Sebaliknya hujan kali ini walaupun tinggi, berada dalam kategori monsun aktif dengan pengaruh La Nina lemah.

“Hujan minggu ini lebih kepada episod berulang dan panjang, bukan lonjakan ekstrem yang turun ratusan milimeter dalam masa singkat seperti pada 2021.

"Ringkasnya, cuaca sekarang menghasilkan hujan lebat berulang tetapi tidak mempunyai komponen badai tropika yang luar biasa kuat seperti yang menyebabkan bencana besar pada 2021,” katanya.