'Nak buka kedai handphone ke?' Ratu Naga bidas Fahmi, bos SKMM selepas dipanggil kerana kongsi berita diesel
Pempengaruh terkenal itu berkata Pengerusi SKMM Salim Fateh Din dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membazirkan masa agensi kerajaan yang sepatutnya memerangi jenayah 'scammer'.
Pengulas politik dan pempengaruh terkenal Syarul Ema Rena Abu Samah hari ini tampil dengan pembesar suara di luar ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh agensi yang mengawal internet itu berhubung sebuah perkongsian laporan berita.
Diiringi beberapa rakan aktivis di luar perkarangan SKMM di Putrajaya, beliau yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga memberi amaran kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi SKMM Salim Fateh Din, sambil berkata tindakan menghalangnya daripada terus bersuara tidak akan berjaya.
"Jadi setakat tiga tahun ini, apa Fahmi Fadzil dan Salim Fateh buat dalam tempoh ini yang boleh kita banggakan? Nothing!
"Kau ingat kalau kau terus buat macam ini, kami akan senyap? Kalau satu Ratu Naga hancur, seribu Ratu Naga akan muncul selepas ini," katanya selepas disoal siasat oleh SKMM.
"Nak buka kedai handphone ke? Berapa banyak handphone kau dah ambil?" tambahnya.
Ketika dihubungi MalaysiaNow, Ratu Naga mengesahkan telefon bimbitnya telah dirampas oleh SKMM, namun berkata beliau enggan memberikan kata laluannya kepada pegawai kerana ia mengandungi pelbagai maklumat peribadi.
Ini bukan kali pertama Ratu Naga, yang kerap memuat naik pelbagai komen lawak menyasarkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dipanggil oleh SKMM, malah agensi itu telah menyebabkan akaun TikToknya disekat berulang kali.
Bagaimanapun, kali ini beliau disoal siasat hanya kerana berkongsi petikan laporan berita yang diterbitkan agensi berita rasmi kerajaan Filipina, PNA.
Laporan itu menyatakan lebih 52 juta liter diesel dari Malaysia telah tiba di negara itu.
Namun, kandungan laporan bertarikh 11 April itu, di bawah tajuk "239k tong diesel dari Malaysia tiba di PH", dinafikan Putrajaya. Sebaliknya, ia menyatakan bahan api itu bukan berasal dari Malaysia tetapi dijual oleh sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.
Sejak akhir-akhir ini, kritikan atau ulasan mengenai isu bahan api dianggap sensitif bagi kerajaan Anwar, berikutan janji beliau selama lebih dua dekad sebagai ketua pembangkang untuk menurunkan harga minyak di Malaysia dengan mengambil kira status negara sebagai pengeksport minyak, sesuatu yang diulang pada hampir setiap pilihan raya umum.
Susulan penghapusan subsidi pukal diesel oleh kerajaannya pada 2024, diikuti langkah menghadkan subsidi petrol, kesan kenaikan harga kini dirasai rakyat Malaysia di sebalik perang AS-Israel ke atas Iran.
Pada pertengahan April, harga pam diesel mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.72 seliter, mencetuskan beberapa pengumuman kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Kesan emosi
Ratu Naga hari ini berkata pihak berkuasa memperalatkan agensi kerajaan yang sepatutnya dikerah untuk menangani jenayah dan penipuan dalam talian.
"Kalau saya cakap silap, saman saya, tapi apa yang kau buat, kau gunakan SKMM, kau gunakan polis untuk mengganggu hidup saya.
"Kau ingat polis dan SKMM tak ada kerja lain ke? Mereka pun ada kerja, nak pantau scammer, polis pula dengan jenayah yang tinggi," katanya.
Beliau mendedahkan tindakan berterusan oleh SKMM ke atasnya telah memberi kesan negatif terhadap dirinya.
Sambil menunjukkan laporan perubatan, beliau berkata tindakan berulang SKMM menyiasatnya dan merampas telefon bimbit telah menjejaskan kesihatan mental dan emosinya.
Ratu Naga turut mengumumkan pembentukan Gerakan Pembangkang Rakyat, yang akan diketuai Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.
Gerakan tersebut menyatukan aktivis dan pempengaruh itu bakal menganjurkan kempen memfailkan laporan polis di seluruh negara terhadap Anwar, dan mendesak agar perdana menteri disiasat di bawah Akta Hasutan.
Katanya, undang-undang itu digunakan terhadap seorang lagi pempengaruh media sosial baru-baru ini, dipercayai merujuk kepada TikToker Emeela Mat Sam atau Myla, yang direman selama tiga hari atas videonya yang mengkritik perdana menteri.
"Jadi kami harapkan siasatan sama juga dibuat terhadap Anwar kerana maki hamun rakyat," tambahnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
