Malaysia antara 51 negara terlibat dalam rantaian bekalan ketenteraan Israel, menurut siasatan Al Jazeera.
Walaupun keterlibatan Malaysia sangat kecil nilainya, ia menimbulkan beberapa persoalan yang dibangkitkan kumpulan pro-Palestin tidak lama dulu.
Terkini
Malaysia dinamakan antara 51 negara yang barangannya termasuk dalam rantaian bekalan ketenteraan kepada Israel sejak awal 2024, sekali gus melanggar amaran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya semua negara mematuhi piagam konvensyen mencegah genosid, jenayah yang menyebabkan lebih 70,000 rakyat Palestin terkorban sejak 2022.
Pendedahan tersebut merupakan hasil siasatan saluran berita Qatar, Al Jazeera, yang menganalisis rekod kastam dan data rasmi cukai import Israel antara 2022 dan 2025, iaitu tempoh di mana rejim Zionis menjalankan kempen pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden sehingga mengakibatkan kemusnahan bandar dan kehilangan tempat tinggal yang menjejaskan kehidupan berjuta-juta rakyat Palestin.
Siasatan itu mengesan rantaian bekalan ketenteraan yang melibatkan negara-negara yang menandatangani Konvensyen mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948, yang turut melibatkan negara yang tidak menjalinkan hubungan dengan Israel atau mengiktiraf negara Zionis itu, serta negara yang mengumumkan sekatan jualan senjata.
Walaupun jumlah melibatkan Malaysia hanya mewakili bahagian sangat kecil daripada barangan import bernilai lebih AS$885 juta berupa peluru, bahan letupan, alat ganti senjata dan komponen kenderaan berperisai untuk Israel antara Oktober 2023 dan Oktober 2025, ia menimbulkan persoalan sama ada terdapat kekurangan usaha serius untuk menyekat perdagangan langsung atau tidak langsung dengan Israel.
Ia juga mencetuskan kebimbangan mengenai kewujudan syarikat tempatan yang terlibat dalam urusan perniagaan sedemikian.
Semakan Al Jazeera dengan data Lembaga Cukai Israel (ITA) mendapati 91% daripada jualan kepada Israel berlaku selepas penemuan ICJ pada Januari 2024 bahawa ada bukti jenayah genosid berlaku di Gaza, disusuli amaran kepada 153 negara yang menandatangani konvensyen genosid mengenai tanggungjawab mereka.
Seperti dijangkakan, Amerika Syarikat menduduki tempat pertama dalam senarai itu, dengan nilai jualan kepada Israel kira-kira AS$370 juta.
Ia diikuti India, yang membekalkan 26% daripada jumlah import barangan ketenteraan Israel, disusuli Romania (8%), Taiwan (4%) dan Republik Czech (3%).
Sementara itu, Singapura, sekutu kuat Israel di Asia Tenggara - yang kebelakangan ini mendapat perhatian ahli politik Malaysia susulan beberapa kenyataan mengenai serangan AS-Israel terhadap Iran - telah membekalkan barangan berkait ketenteraan kepada Israel berjumlah AS$5.6 juta. Sebanyak 88% daripada transaksi direkodkan selepas keputusan ICJ, menurut Al Jazeera yang memetik data pihak berkuasa cukai Israel.
Dalam kes Malaysia, hanya AS$326 import direkodkan pada Ogos 2024, menurut laporan itu.
Jumlah tersebut sangat kecil, namun tidak jelas bentuk barangan yang terlibat dan bagaimana ia dibekalkan.
Ini bukan kali pertama Malaysia berdepan dakwaan menjalankan aktiviti perdagangan dengan Israel, di sebalik dasar kerajaan selama beberapa dekad untuk tidak mengiktiraf negara Zionis itu.
Pendedahan terkini ini mengimbau kembali bantahan kumpulan pro-Palestin di Malaysia pada September 2024, atas dakwaan sebuah syarikat tempatan terlibat dalam penghantaran lapan kontena bahan letupan ke Israel.
Pada 13 September 2024, sayap tempatan gerakan anti-Israel Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) membuat laporan polis terhadap United O7 Asia Sdn Bhd, dengan mendakwa beberapa kontena yang membawa bahan letupan dimuat naik di atas kapal kargo MV Kathrin, yang berlayar dari Vietnam ke Singapura sebelum berlabuh di Slovenia dan seterusnya melakukan perjalanan darat ke Israel.
Sebuah syarikat Denmark yang merupakan rakan kongsi United O7 Asia Sdn Bhd menafikan dakwaan tersebut. Bagaimanapun, status laporan polis itu masih belum diketahui.
Menurut BDS, terdapat lapan kontena bahan letupan RDX yang dijadualkan berlepas di sebuah pelabuhan di Laut Adriatik dan kemudian dihantar melalui cara lain ke destinasi terakhir di Israel, di mana ia akan diproses untuk pembuatan bom dan peluru berpandu.
BDS turut menegaskan ia mempunyai dokumentasi untuk membuktikan dakwaannya.
MalaysiaNow sedang cuba menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan maklum balas mengenai pendedahan Al Jazeera.
Sebelum ini, sebarang dakwaan mengenai kewujudan apa-apa bentuk hubungan antara Malaysia dan Israel mengundang kemarahan awam.
Bantahan orang ramai berlaku ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi lampu hijau kepada sebuah syarikat milik BlackRock untuk menyertai konsortium mengambil alih Malaysia Airports (MAHB), firma milik kerajaan yang menguruskan lapangan terbang di seluruh negara.
Keputusan itu dibuat walaupun BlackRock berdepan dakwaan ia terpalit dengan jenayah perang Israel.
Pada Jun 2024, sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menamakan BlackRock antara puluhan entiti, pengeluar senjata dan institusi kewangan yang bertanggungjawab kerana terlibat dalam jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
