Ketika Bahrain yang 'mesra Zionis' bawa F1, Malaysia digesa pantau kemasukan warga Israel
Negara membangun yang menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf dunia pernah berdepan tekanan kerana melaksanakan dasar imigresen mereka.
Terkini
Menjelang perlumbaan Formula 1 Grand Prix yang dibawa masuk kerajaan Bahrain pada Oktober ini, pelbagai pihak menimbulkan persoalan sama ada Putrajaya akan terus berpegang kepada dasar melarang kehadiran warga Israel di negara ini.
Media sosial dipenuhi perbincangan mengenai spekulasi kehadiran Yael Shelbia, warga Israel yang merupakan teman wanita pemandu pasukan Aston Martin dari Kanada, Lance Stroll.
Ramai merujuk kepada sejarah Shelbia yang pernah berkhidmat dalam tentera udara Israel sambil menggesa kerajaan Malaysia mengharamkan kemasukannya sekiranya beliau memilih untuk menemani teman lelakinya ke Sepang pada Oktober nanti.
“Nasib tak baik dia tak boleh masuk, tapi mungkin kali ini Lance akhirnya boleh naik pentas tanpa teman wanitanya,” tulis seorang pengguna di platform X.
“Dia mungkin dapat masuk guna pasport Kanada,” celah seorang lagi.
Berita Formula 1 dipindahkan ke Malaysia muncul kurang dua minggu selepas pihak berkuasa di Johor menutup sebuah “pemukiman teknologi” di negeri itu susulan kontroversi mengenai kehadiran warga Israel serta sikap pro-Israel oleh pengasasnya, Balaji Srinivasan.
Sebelum itu, pihak imigresen melakukan pemeriksaan ke atas ratusan warga asing yang menetap di Network School yang ditubuhkan Balaji di Forest City dan mendapati tidak ada kehadiran warga Israel.
Bagaimanapun, ramai berpandangan pihak berkuasa tidak dapat mengusir warga Israel yang memiliki dua kerakyatan dan memasuki Malaysia menggunakan pasport Amerika Syarikat.
Susulan kontroversi itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang selama ini berusaha mengubah imej beliau yang dikatakan tidak tegas terhadap Israel sebagaimana pemimpin sebelumnya, berkata warga Israel tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia.
“Kita siasat dan tidak izinkan (rakyat Israel ke Malaysia) kerana kita tidak iktiraf (Israel). Mereka akan diusir segera,” katanya.
Keputusan Bahrain memindahkan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia dibuat selepas negara kecil Teluk itu – yang menjadi antara tuan rumah utama kepada kehadiran tentera Amerika Syarikat di Asia Barat – menjadi sasaran serangan peluru berpandu Iran sebagai balasan terhadap serangan AS-Israel.
Pada masa sama, kemarahan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Bahrain yang majoritinya umat Islam Syiah terhadap sokongan kerajaan mereka kepada perang yang dicetuskan AS dan Israel.
Bahrain mula menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 lebih dua dekad lalu.
Malaysia pula pertama kali menganjurkan Formula 1 pada 1999, hasil usaha bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika pentadbirannya menyaksikan pembinaan pelbagai mercu tanda negara termasuk Litar Antarabangsa Sepang, yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ketika itu baru dibuka, di samping Putrajaya sebagai pusat pentadbiran.
Pada 2017, kos yang semakin meningkat dan pulangan yang semakin berkurangan menyebabkan perdana menteri ketika itu Najib Razak mengumumkan Malaysia tidak lagi akan menganjurkan perlumbaan tersebut. Pengumuman itu dibuat ketika hubungan beliau dengan Mahathir semakin tegang.
Keputusan menamatkan penganjuran perlumbaan yang memakan belanja RM300 juta setahun itu dilihat tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi ekonomi Malaysia terkesan akibat kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.
Namun kali ini, Bahrain bersetuju menanggung sebahagian besar kos penganjuran perlumbaan tersebut.
Ia menjadikan perlumbaan Formula 1 di Sepang sebagai sebuah acara anjuran kerajaan Bahrain, di bawah penyeliaan Fédération Internationale de l’Automobile (FIA), badan pentadbir sukan permotoran dunia.
Pemindahan acara itu menimbulkan persoalan sama ada Malaysia akan mengeluarkan visa kepada semua pasukan dan pegawai tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk warga Israel yang dilarang memasuki negara ini.
Walaupun tidak ada pasukan Israel yang menyertai Formula 1, warga dan entiti Israel mempunyai penglibatan melalui kerjasama korporat.
Keakraban Bahrain-Israel
Bahrain merupakan satu daripada empat negara Arab yang bersetuju mengiktiraf Israel menerusi Perjanjian Abraham tajaan Presiden Donald Trump.
Tahun lalu, di sebalik kemarahan rakyatnya terhadap kempen pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza, pemimpin Bahrain mengalu-alukan ketibaan duta pertama Israel ke negara itu.
Sejak itu, kedua-dua kerajaan secara terbuka membincangkan usaha memperkukuh hubungan ekonomi, termasuk dalam sektor pelancongan.
“Kami percaya pelancongan dari Israel adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk menggalakkan sektor pelancongan di Bahrain,” kata Khalid Ebrahim Humaidan, ketua Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain kepada akhbar Times of Israel pada 2023.
Tahun lalu, peminat Formula 1 dari Israel merupakan antara lebih 12,000 penonton luar negara yang menghadiri perlumbaan Formula 1 Bahrain.
Walaupun badan sukan global lazimnya tidak mencampuri urusan negara tuan rumah dalam hal imigresen, negara membangun sering menerima tekanan apabila menguatkuasakan dasar imigresen mereka.
Tahun lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggesa persekutuan sukan di seluruh dunia supaya tidak menganjurkan kejohanan di Indonesia selepas Jakarta menghalang atlet Israel daripada menyertai kejohanan gimnastik.
Pada 2023, FIFA membatalkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun selepas kerajaan tempatan di Bali mengumumkan Israel tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan itu.
Pada 2015, Malaysia dikritik kerana menolak kemasukan pasukan Israel yang ingin menyertai Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa di Langkawi. Pada 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia selepas kerajaan enggan mengeluarkan visa kepada atlet Israel.
Fragomen, firma guaman berpangkalan di New York yang dilantik untuk memberi khidmat nasihat kepada penganjur Formula 1 dalam mengurus hal imigresen, mengklasifikasikan negara mengikut tahap kesukaran mendapatkan visa untuk peserta.
Tahun lalu, firma itu menamakan Bahrain sebagai antara negara dengan dasar imigresen “paling longgar” yang menurutnya memudahkan urusan penganjuran.
Menjelang perlumbaan Formula 1 pada Oktober ini, masih belum jelas sama ada Bahrain sebagai penaja utama akan mempunyai pengaruh dalam soal imigresen yang melibatkan peserta dan pegawai.
Walaupun ramai pengguna media sosial mengingatkan Putrajaya supaya bertegas dengan dasar melarang kemasukan warga Israel, ada juga yang meluahkan keraguan terutama dalam isu melibatkan teman wanita Stroll.
“Raja Bahrain mungkin akan campur tangan untuk mendapatkan pengecualian khas untuk dia. Malaysia sebenarnya beberapa kali pernah memberikan pengecualian kepada warga Israel untuk memasuki negara ini menggunakan pasport Israel,” kata seorang pengguna X, Khairul.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
