- Iklan -
Berita

Tak nak guna Waze tetapi kecewa dengan TuJu? Cuba laman navigasi ini

Laman navigasi baharu itu dilancarkan seorang warga tempatan susulan kecaman orang ramai terhadap aplikasi yang disebut perdana menteri sebagai ganti kepada Waze.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang pembangun perisian tempatan melancarkan perkhidmatan navigasi untuk pengguna jalan raya di Malaysia, berikutan respons negatif terhadap TuJu, aplikasi yang dinamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pengganti Waze, yang menimbulkan kebimbangan berhubung kaitannya dengan Israel.

LAPAN Nav dibangunkan oleh Leslie Chan sebagai perkhidmatan navigasi percuma yang boleh diakses melalui laman web lapan-nav.com, dan tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi ke dalam peranti mereka.

“Buatan Malaysia. Navigasi yang memang menjadi,” demikian kenyataan perkhidmatan tersebut di laman webnya.

Menurut Chan, beliau mula membangunkan LAPAN Nav pada 23 Oktober.

“Saya membangunkannya secara bersendirian, dan ia terus ditambah baik setiap hari berdasarkan laporan daripada pemandu,” katanya kepada MalaysiaNow, sambil memaklumkan kos membangunkan aplikasi itu “hampir sifar”.

“Ia dibina menggunakan data percuma dan terbuka (OpenStreetMap serta sumber terbuka lain), dilengkapi sistem carian dan penetapan laluan tersendiri, dan beroperasi menggunakan perkhidmatan awan (cloud) dengan model bayaran mengikut penggunaan, yang dihadkan kepada bajet bulanan yang kecil.”

MalaysiaNow, yang menjalankan ujian ringkas terhadap beberapa ciri LAPAN Nav, boleh mengesahkan fungsi-fungsinya berjalan dengan baik dan memenuhi tugas utamanya, iaitu menyediakan arah perjalanan.

Ia berbeza dengan TuJu, aplikasi yang dibangunkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan firma swasta Prosignal Consortium Sdn Bhd, yang mencetuskan gelombang kritikan serta persoalan mengenai syarikat yang dipertanggungjawabkan membangunkannya.

Antara ciri LAPAN Nav, yang menurut Chan masih dalam peringkat penambahbaikan berterusan, ialah perancangan laluan berdasarkan keadaan trafik serta maklumat trafik masa nyata untuk menunjukkan kawasan kesesakan dan laluan alternatif yang lebih pantas.

Seperti Waze, pengguna boleh melaporkan kemalangan, kehadiran polis, bahaya di jalan raya, banjir, penutupan jalan dan kamera perangkap laju, sekali gus membolehkan sistem memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.

Ia turut menawarkan arahan suara dalam empat bahasa: Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina.

‘Waze memang bagus, tetapi ketahuilah siapa simpan data anda’

Satu kelebihan utama yang ditekankan Chan ialah LAPAN Nav diakses menggunakan pelayar web (browser) dan tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi.

“Sebab ia berjalan di dalam pelayar, ia terasing daripada bahagian lain telefon anda. Ia tak boleh baca SMS, aplikasi bank, kenalan atau gambar anda. Ia cuma guna apa yang anda benarkan – lokasi untuk navigasi dan mikrofon hanya semasa anda tahan butang cakap – dan anda boleh tutup akses ini bila-bila masa,” menurut laman webnya.

Mengenai keselamatan data, iaitu punca kerajaan menggesa peralihan daripada aplikasi Waze yang dimiliki Google, Chan mengakui kebimbangan tersebut.

“Waze ialah aplikasi yang sangat bagus. Kebimbangannya bukan pada aplikasi itu sendiri, tetapi pada pihak yang mengawal data tersebut: ke mana tujuan pemandu di Malaysia setiap hari. Nasihat saya: ketahuilah siapa yang menyimpan data lokasi anda dan di bawah undang-undang negara mana data itu tertakluk.”

Menurutnya, walaupun LAPAN Nav berkongsi data dengan beberapa syarikat yang disenaraikan di laman webnya, tiada satu pun daripada syarikat tersebut berpangkalan di Israel.

“Satu pengecualian, hanya jika anda menghantar maklum balas: kata-katanya (selepas e-mel, nombor telefon, nombor IC dan nombor plat dibuang) disusun oleh perkhidmatan Gemini percuma Google, yang tidak menjanjikan negara mana ia digunakan,” jelas laman webnya.