- Iklan -
Berita

Lagi video MalaysiaNow mengenai skandal Azam hilang di TikTok

Ia merupakan video kedua tentang pendedahan berkaitan ketua SPRM yang disekat oleh platform itu dalam tempoh sebulan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Video berdurasi enam minit mengenai pengumuman parti Muda dan Pejuang untuk menjalankan sebuah kempen mendesak penangkapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, didapati disekat di saluran TikTok MalaysiaNow, menandakan tindakan penapisan berterusan ke atas platform yang bersetuju dilesenkan oleh Putrajaya sejak awal tahun ini.

Klip yang diterbitkan pada Isnin itu memaparkan sidang akhbar bersama pemimpin Muda, Ainie Haziqah dan Amira Aisya Abdul Aziz, serta Mukhriz Mahathir dan Rafique Rashid dari Pejuang.

Mereka mengumumkan kempen jelajah untuk memberitahu orang ramai tentang kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi, khususnya selepas dua laporan Bloomberg bulan lalu mengenai Azam dan SPRM.

Kedua-dua parti politik itu turut memberi amaran terhadap sebarang percubaan mengekalkan jawatan Azam di SPRM.

Klip tersebut merupakan video kedua oleh MalaysiaNow mengenai Azam yang dikeluarkan oleh TikTok tanpa penjelasan.

Pada 13 Februari, video berdurasi empat setengah minit bertajuk "Bloomberg bongkar Azam Baki dan mafia korporat" didapati hilang dari TikTok.

Video tersebut merumuskan laporan terperinci Bloomberg sehari sebelumnya mengenai Azam dan SPRM, berdasarkan dokumentari asal agensi berita kewangan itu yang memuatkan temu bual dengan saksi dan mangsa ahli perniagaan penyangak yang didakwa bersekongkol dengan pegawai SPRM untuk merampas pemilikan syarikat awam tersenarai.

Kedua-dua video itu masih boleh diakses di YouTube dan platform lain.

Sekatan video tersebut kepada pengguna TikTok di Malaysia mengesahkan kebimbangan pengkritik bahawa langkah Putrajaya melesenkan platform media sosial lebih menjurus kepada menghalang kandungan yang mengkritik kerajaan, walaupun alasan yang diberikan ialah melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan kandungan internet.

TikTok merupakan salah satu daripada hanya tiga platform media sosial – selain WeChat dan Telegram – yang bersetuju memohon lesen dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengawal selia internet yang dipengerusikan ahli korporat Mohamad Salim Fateh Din.

Salim, yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, sebuah jawatankuasa yang menasihati SPRM, secara terbuka mempertahankan Azam ekoran pendedahan Bloomberg mengenai pemilikan berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Salim antara lain mendakwa Azam sudah mematuhi "kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa", sambil menambah SPRM tidak boleh dihakimi melalui "tohmahan atau naratif mengelirukan yang tidak berasaskan fakta".

Semalam, kerajaan berkata sebuah jawatankuasa dipengerusikan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokthar telah melengkapkan siasatan terhadap Azam, tetapi tidak membutirkan penemuannya.