Utamakan Melayu, titah Sultan Selangor ketika menteri Umno tampil bantah pengusiran di Kg Sungai Baru
Ia seminggu selepas ratusan anggota polis dan penguatkuasa hadir di perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya untuk memaksa penduduk berpindah.
Terkini
Sultan Selangor hari ini tampil meluahkan rasa prihatin dengan isu Kampung Sungai Baru, dengan memberi peringatan agar sebarang projek memajukan kawasan itu mengambil kira warisan sejarahnya dan kepentingan orang Melayu sejajar dengan status Penempatan Pertanian Melayu (MAS), kategori yang mengenakan syarat ketat terhadap sebarang aktiviti pembangunan.
"Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900. Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
"Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk masa ini dan juga untuk jangka masa panjang," menurut Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat DYMM Sultan Selangor hari ini.
Peringatan itu seminggu selepas ratusan pegawai polis dan penguatkuasa dikerah untuk membantu syarikat pemaju melaksanakan notis pengusiran ke atas sebilangan penduduk yang enggan mengosongkan kediaman mereka.
Pengusiran itu, yang dijalankan di bawah undang-undang kontroversi Akta Pengambilan Tanah, turut menyaksikan kekecohan sehingga menyebabkan kecederaan kepala ketua polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman di samping beberapa orang lain yang mengalami kecederaan ringan.
Sebelum ini, penduduk menuntut Pejabat Tanah dan Galian menjalankan siasatan terhadap status tanah milik mereka dengan menyerahkan dokumen dikeluarkan pentadbiran British yang membuktikan status kawasan itu sebagai tanah MAS.
Dokumen itu merupakan warta bertarikh 1932, yang menepis dakwaan beberapa menteri dan pemimpin kerajaan bahawa tanah tersebut berstatus pajakan (leasehold) 99 tahun, dakwaan yang dilihat sebagai percubaan menghalalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah.
Status MAS memberikan perlindungan kepada penduduk dengan meletakkan syarat ketat terhadap sebarang pengambilan tanah.
Peguam dan penasihat undang-undang penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran sebelum ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian itu, bermula dengan pengakuan bahawa tanah tersebut dikategorikan sebagai MAS dan dianggap tanah rizab Melayu.
Dalam kenyataannya hari ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa Kampung Baru adalah hadiah daripada nendanya, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah ibni Raja Muda Musa.
Tambahnya, tanah yang kini terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu menyimpan nilai sejarah yang perlu dipelihara.
Sambil mengimbas pengalamannya menghabiskan zaman kanak-kanak dan persekolahan di Kampung Baru, Sultan Sharafuddin turut menyenaraikan beberapa bangunan bersejarah di kawasan itu termasuk Kelab Sultan Sulaiman di mana Kongres Melayu pada 1946 diadakan, himpunan yang membawa kepada penubuhan Umno.
Menurut Sultan Sharafuddin, pembangunan kawasan itu tidak menjadi kesalahan "seiring dengan peredaran zaman", sebaliknya sebarang rancangan mesti mengutamakan orang Melayu di kawasan itu.
"Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira."
'Bekas Datuk Bandar jadi penasihat pemaju'
Ketika pelbagai pemimpin kerajaan cuba mempertahankan langkah pemaju mengusir penduduk, Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani, yang juga ahli Parlimen kawasan Titiwangsa yang meliputi Kampung Sungai Baru, dilihat mengambil pendirian berbeza dengan menyifatkan apa yang berlaku pada 11 September sebagai tidak adil kepada penduduk.
Beliau berkata kawasan itu sentiasa menjadi tarikan pemaju disebabkan nilai tanah yang tinggi, sesuai dengan lokasinya berdekatan Segi Tiga Emas, antara kawasan dengan nilai hartanah paling mahal di negara ini.
Johari berkata ketika penggal pertamanya sebagai wakil rakyat sebelum tewas pada pilihan raya umum 2018, beliau menentang syarikat pemaju dan menggesa penduduk menolak sebarang percubaan mengambil alih tanah mereka.
Selepas tidak lagi menjadi ahli Parlimen, kata Johari, syarikat pemaju berjaya memujuk ramai penduduk yang kebanyakannya miskin dan tidak mempunyai pemahaman mengenai isu itu, untuk menyerahkan tanah mereka dan menerima pampasan.
Johari turut menuduh seorang bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana membantu pemaju mengadakan libat urus bersama penduduk, di mana kesempatan itu diambil meyakinkan penduduk menerima pampasan di bawah harga pasaran.
"Masa dia jadi Datuk Bandar, dia bawa pemaju ini untuk libat urus dengan penduduk. Sekarang ini (dia) dah tak ada, jadi penasihat untuk syarikat. Masa saya jadi wakil rakyat, tidak ada seorang pun pindah," kata Johari yang tidak menamakan bekas Datuk Bandar yang dimaksudkan itu.
Johari berkata, selepas kalah pilihan raya 2018, pemaju meningkatkan usaha mengambil alih tanah, sehingga jumlah mereka yang bersetuju berpindah meningkat kepada 67%.
Memandangkan pembangunan masih tidak dapat dilakukan disebabkan bantahan penduduk lain, kerajaan kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mempercepatkan pengosongan kawasan itu, katanya.
"33% orang tak setuju, masih menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Ini adalah satu perkara yang sangat-sangat salah bagi saya. Atau mengambil peluang menekan orang-orang yang susah, orang-orang yang tak faham soal pembangunan semula.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
