Kg Sungai Baru: Selepas guna akta, Zaliha dan kerajaan jangan cuci tangan
Bukannya mahkamah yang merampas hartanah penduduk secara paksa, tetapi kerajaan yang melakukannya.
Terkini
Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat semalam oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, bahawa penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan pengusiran mesti berunding terus dengan pemaju bagi menghentikan proses pengusiran, kerana ia bukan keputusan kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.
Kenyataan menteri tersebut amat mengejutkan, tidak boleh diterima dan merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab serta cubaan untuk melepaskan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang terkesan di Kampung Sungai Baru.
Bukannya mahkamah yang merampas hartanah penduduk secara paksa. Sebaliknya, kerajaan yang melakukannya.
Mahkamah tidak mempunyai pilihan setelah kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2021, menyebelahi pihak pemaju.
Tindakan ini menyebabkan tanah penduduk yang tidak bersetuju dengan tawaran pemaju diambil, sekaligus mencetuskan kontroversi nasional mengenai pengusiran penduduk yang sedang berlaku.
Pengambilan paksa ini merupakan tindakan drastik oleh kerajaan yang menggunakan kuasa luar biasa untuk mengambil rumah dan tanah penduduk secara paksa dan menyerahkannya kepada pemaju. Walaupun pampasan telah diberikan (walau dipertikai), ia tidak mengubah hakikat bahawa rumah dan tanah telah diperolehi tanpa kerelaan pemilik.
Mengapa kerajaan tidak membenarkan penduduk untuk berunding sendiri dengan pemaju dan mencapai persetujuan yang adil tanpa sebarang pengambilan secara paksa? Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi ia merupakan satu proses yang adil dan berdasarkan persetujuan semua pihak terlibat.
Setelah kerajaan menggunakan kuasa drastik seperti ini, Zaliha tidak boleh sekadar melepaskan tanggungjawab dan mengalihkan tanggunjawab kepada mahkamah atau pemaju.
Mahkamah mahupun pemaju tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tanah secara paksa – hanya kerajaan yang mempunyai kuasa itu, dan kerajaan telah menggunakannya.
Adalah amat ketara bahawa semalam Zaliha tidak langsung menyentuh isu pengambilan paksa tanah Kampung Sungai Baru oleh kerajaan pada 2021. Mengapa beliau berdiam diri? Adakah kerana beliau tidak dapat mempertahankan tindakan pengambilan rumah dan tanah rakyat hanya untuk tujuan pembangunan semula?
Penggunaan kuasa pengambilan paksa oleh kerajaan seharusnya hanya digunakan untuk tujuan yang benar-benar penting dan kritikal bagi negara. Ia tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya untuk projek pembangunan komersial seperti yang dirancang di Kampung Sungai Baru.
Rampasan tanah oleh kerajaan tidak seharusnya membawa keuntungan besar kepada pemaju sambil merugikan pemilik rumah; ia hanya wajar digunakan dalam keadaan yang benar-benar perlu demi kepentingan awam.
Zaliha juga mendakwa bahawa 28% penduduk yang membantah cadangan pembangunan sedang melakukan "kezaliman minoriti" (tyranny of the minority) ke atas 72% penduduk lain yang bersetuju. Dakwaan ini adalah salah dari segi moral dan undang-undang.
Penduduk minoriti tersebut adalah pemilik sah rumah dan tanah. Mereka mempunyai hak di bawah undang-undang untuk menerima atau menolak tawaran pemaju. Hak terhadap pemilikan harta adalah hak asas yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana mungkin tindakan mereka mempertahankan hak ini dikatakan sebagai “kezaliman minoriti”?
Nampaknya menteri tidak memahami maksud sebenar ungkapan “kezaliman minority”.
Zaliha juga mendakwa kononnya bahawa penduduk yang membantah berbuat demikian kerana "tidak berpuas hati dengan pampasan".
Ini adalah satu tuduhan yang tidak benar. Bantahan sebenar penduduk adalah terhadap tindakan kerajaan mengambil tanah mereka secara paksa dan menyerahkannya kepada pemaju.
Perlu diingati juga bahawa menteri sebenarnya tidak mempunyai sebarang autoriti untuk bercakap bagi pihak penduduk yang membantah.
Kami menggesa Zaliha selaku menteri Wilayah Persekutuan, perdana menteri dan kerajaan supaya tidak "lepas tangan" dalam perkara ini dan menyerahkannya kepada pemaju dan pihak penguat kuasa.
Itu adalah satu tindakan yang amat tidak adil kerana pengambilan paksa dilakukan oleh kerajaan; maka kerajaan tidak boleh "cuci tangan".
Kami mendesak agar kerajaan segera campur tangan untuk menghentikan pengusiran yang sedang berlangsung dan menyelesaikan pertikaian ini secara adil dan saksama.
N Surendran ialah penasihat undang-undang Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
