Sepertimana Israel nafi kewujudan rakyat 'Palestin', Myanmar pula anggap tiada etnik 'Rohingya'
Pendirian itu diulangi ketika kerajaan Malaysia membantu mendapatkan pengiktirafan antarabangsa kepada rejim kejam itu.
Terkini
Rejim tentera Myanmar, yang kini menjalinkan hubungan rapat dengan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menolak penggunaan istilah “Rohingya”, pendirian yang menyerupai tindakan Zionis di Israel yang meneruskan usaha menghapuskan identiti rakyat Palestin.
Junta Myanmar mengulangi pendirian itu sebagai respons kepada Channel News Asia (CNA), susulan sebuah dokumentari terbitan saluran berita berpangkalan di Singapura itu mengenai nasib pelarian Rohingya di Malaysia, yang kini menjadi sasaran serangan xenofobia oleh kumpulan vigilante yang semakin berleluasa di sebalik sikap membisu Putrajaya.
Dalam kenyataannya, kedutaan Myanmar di Singapura berkata etnik Rohingya – komuniti Islam yang dilucutkan status kewarganegaraan sejak lebih empat dekad lalu sehingga mencetuskan salah satu krisis pelarian terburuk di dunia – “tidak pernah wujud” sebagai identiti tersendiri di negara itu.
“Myanmar secara tegas menolak istilah yang mendakwa kononnya terdapat identiti etnik yang dipanggil ‘Rohingya’; identiti sedemikian tidak pernah wujud di Myanmar. Istilah ‘Bengali’ memang wujud di Myanmar sebagaimana dibuktikan oleh rekod rasmi sejarah, termasuk bancian yang dijalankan semasa era penjajahan British. Oleh itu, kenyataan yang menggunakan istilah itu tidak boleh diterima,” menurut kenyataan itu seperti dipetik CNA.
Kenyataan tersebut mengulangi dakwaan lama pelampau perkauman di Myanmar bahawa etnik Rohingya berasal dari Bangladesh dan bukannya komuniti peribumi dengan asal-usul di Myanmar.
CNA menolak hujah tersebut sambil menyatakan bahawa penggunaan istilah “Rohingya” merupakan amalan kewartawanan yang diterima umum, termasuk digunakan oleh semua pertubuhan antarabangsa.
Program Insight terbitan CNA pada 15 Oktober lalu membincangkan nasib pelarian Rohingya di Malaysia, yang kini menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian yang semakin meningkat, dipacu oleh penggunaan bot dan akaun media sosial palsu.
Ia disiarkan seminggu selepas Anwar memberikan sambutan meriah kepada Min Aung Hlaing, presiden Myanmar yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang, ketika rejim tenteranya meningkatkan serangan udara terhadap kawasan penempatan Islam di negeri Arakan, yang membunuh ramai orang awam.
Selama beberapa dekad, pihak berkuasa Myanmar dan gerakan nasionalis yang dipimpin sami ekstremis Buddha cuba menggambarkan Rohingya sebagai orang asing yang tidak sepatutnya berada di negara itu. Mereka berulang kali dilabel sebagai pendatang haram berketurunan Bengali walaupun terdapat bukti lama mengenai kehadiran mereka di Arakan, yang kini dikenali sebagai Negeri Rakhine.
Pihak berkuasa Myanmar telah mewujudkan persepsi bahawa etnik Rohingya bukan komuniti peribumi yang mempunyai hak sah, sebaliknya kelompok asing yang kehadirannya dianggap sebagai ancaman kepada negara tersebut.
Dakwaan yang menafikan identiti Rohingya menyerupai retorik yang digunakan oleh pemimpin Zionis, yang menafikan kewujudan istilah Palestin sebagai satu kumpulan tersendiri.
Pada 1969, perdana menteri Israel ketika itu, Golda Meir, membuat kenyataan kontroversi bahawa “bangsa Palestin tidak wujud”.
Pada 2023, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menyifatkan gagasan bangsa Palestin sebagai sesuatu yang “direka-reka”.
Baru-baru ini, Ketua Rabbi Israel, David Yosef, menyatakan bahawa rakyat Palestin bukan satu bangsa dan oleh itu tidak mempunyai hak ke atas tanah.
Penghapusan etnik yang sudah lama dilakukan rejim Myanmar terhadap minoriti Rohingya bukan sahaja diinspirasikan oleh Israel, malah mendapat sokongan rejim Zionis itu.
Junta Myanmar merupakan salah satu sekutu paling rapat Israel di rantau ini. Malah, Myanmar (dahulunya Burma) merupakan negara pertama di Asia yang secara rasmi menjalinkan hubungan diplomatik dengan entiti Israel pada Julai 1953.
Sejak itu, hubungan politik dan ketenteraan berkembang, dan kedua-dua kerajaan saling bergantung ketika berdepan kecaman antarabangsa terhadap kempen genosid masing-masing.
Israel bukan sahaja membekalkan senjata kepada pasukan tentera Tatmadaw dari Myanmar yang bertanggungjawab melakukan genosid terhadap minoriti Islam di Rakhine, tetapi juga mengadakan perjanjian dua hala di mana kedua-dua negara bersetuju menulis semula sejarah mereka untuk menentukan cara mereka diwakili dalam buku dan penulisan.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
