Adab ke laut: Kisah pandir rasis terjah pelarian Rohingya
Perbuatan merendahkan dan memprovokasi manusia dijadikan bahan tontonan sehingga lupa batas adab.
Terkini
Dah tengok video ini? Macam biasa, geng-geng pergi menerjah imigran Rohingya yang ada di jalanan.
Cuma dalam video ini, mereka silap sergah. Silap satu hal, kemudian koyak pula apabila dimuat naik di media sosial. Apalah ke pandir mereka ini.
Orang yang mereka terjah, seperti biasa, orang Rohingya. Muhammad namanya, 30 tahun tinggal di Malaysia. Pakaian pun seperti orang Malaysia, kemeja lengan panjang warna putih, baju masuk ke dalam seluar slack bertali pinggang dan kemas.
Pakcik Muhammad menceritakan mengapa sampai 30 tahun dia tinggal di sini.
Katanya, di kampungnya di Myanmar terlalu banyak hal (baca: masalah); isterinya dibunuh, kampungnya dibakar. Maka dia datang ke Malaysia hanya kerana Malaysia negara Islam.
Ketika ini kedengaran suara beberapa geng Surplus: “Rakyat Malaysia, tengoklah sendiri. Cara dia sendiri pun macam dia ada hak, dia ada kuasa di sini” – padahal tidak ada satu pun kenyataan Muhammad yang menunjukkan dia ada hak dan kuasa di Malaysia.
Lalu, salah seorang geng Surplus berkata:
“Sekarang you berkuasa ke apa?”
Muhammad: “Saya kuasa tak ada.”
Ini bukti bahawa sebenarnya saudara Rohingya kita ini “berkadar” dan “sedar diri”. Cerita yang mereka nak berkuasa di Malaysia ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sangkaan jahat dan hasad.
Di penghujung video, geng Surplus tanya lagi, mengapa datang ke Malaysia sedangkan ada banyak lagi negara lain di dunia ini.
Jawab Muhammad: “Malaysia negara Islam, (maka saya) sampailah.”
Begitulah, jika kita sendiri ditekan, kepada siapa lagi kita mahu berpaut, tidak lain dan tidak bukan kepada mereka yang sama agama dan akidah dengan kita. Benarlah apa yang Muhammad cakapkan.
Cuma yang sedih, apabila salah seorang daripada geng Surplus ini berkata: “Sekarang kita tidak mahu kamu. Kita mahu bunuh kamu (macam Myanmar buat pada orang Rohingya). Itu macam kah?”
Seorang manusia sedang bercerita tentang isterinya dibunuh dan kampungnya dibakar. Kemudian perkataan “bunuh” pula dibawa ke hadapannya untuk mempersoalkan keberadaannya di sini.
Pada saya, itu kejam.
Walaupun disebut dalam bentuk soalan, perkataan itu membawa unsur menakut-nakutkan. Sangat tidak wajar kemungkinan membunuh seseorang dijadikan bahan provokasi supaya dia pergi.
Apa jawab Muhammad?
“Ini Islam negeri. Tak boleh, tak boleh (tak boleh bunuh orang). Islam tak suka.”
Dalam keadaan begitu, dia masih mengingatkan orang di hadapannya bahawa Islam tidak menyukai perbuatan tersebut. Dia juga berulang kali menyebut Malaysia banyak mengasihani dan menolongnya.
Penghargaan itu masih disebut, walaupun dia sedang dilayan begitu.
Saya semakin bimbang apabila perbuatan menerjah, merendahkan dan memprovokasi manusia dijadikan bahan tontonan. Lebih membimbangkan apabila ada yang menganggap layanan sebegini patut diterima seseorang hanya kerana dia Rohingya.
Persoalan imigresen perlu diurus melalui saluran yang sah. Tiada sesiapa ada lesen untuk menghina atau menakut-nakutkan manusia lain.
Itulah, sibuk mempersoalkan kuasa seorang pelarian, sampai terlupa batas kuasa diri sendiri.
Muhammad ada maruah untuk dipertahankan. Kita pula ada akhlak yang wajib dijaga.
Salman Al Farisi Muhammad ialah aktivis kemanusiaan, dakwah dan pendidikan di Pahang. Penulisan ini diadaptasi daripada hantaran di Facebook.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
