Kerajaan digesa campur tangan segera bela nasib Kg Sungai Baru dengan 'tawaran baru dan adil'
Peguam mewakili penduduk yang sedang berjuang menyelamatkan rumah mereka daripada perobohan berkata kerajaan persekutuan perlu terlebih dahulu membetulkan kesilapannya.
Terkini
Penduduk Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, yang kini berdepan pengusiran daripada gandingan pihak pemaju dan kerajaan, menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengakui kesilapannya dalam langkah mengambil alih tanah mereka dan menggunakan kuasanya untuk memberikan "tawaran baru dan lebih adil".
N Surendran, penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru yang mengetuai bantahan terhadap pihak berkuasa dan pemaju selama beberapa tahun, berkata campur tangan kerajaan merupakan satu-satunya cara menyelesaikan kebuntuan ketika ini, sambil menambah penduduk merupakan mangsa pengambilan tanah secara paksa, tadbir urus lemah dan tindakan salah kerajaan.

"Kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk mencari penyelesaian," kata Surendran yang juga sebahagian daripada kumpulan peguam Lawyers for Liberty, yang menyokong pendirian penduduk bahawa kawasan tersebut ialah sebahagian daripada Tanah Rizab Melayu disebabkan statusnya sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) sejak zaman penjajah.
Surendran sekali lagi mengingatkan kerajaan bahawa penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah menyalahi undang-undang.
Menurutnya, Putrajaya boleh menebus kesalahannya dengan beberapa langkah pembetulan, bermula dengan mengakui Kampung Sungai Baru memiliki status MAS.
"Pengiktirafan sedemikian penting untuk bergerak ke hadapan dalam menyelesaikan perkara ini. Penentuan status tanah akan menentukan cara dan kaedah yang boleh digunakan kerajaan dalam mencapai penyelesaian," katanya sambil menambah bahawa status MAS untuk Kampung Sungai Baru disokong oleh bukti "dokumen yang tidak dicabar".

Beliau memetik dokumen dikeluarkan Residen Selangor pada 1932 yang secara jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada MAS.
"Ia merangkumi seluruh Kampung Sungai Baru dan digambarkan dengan tepat iaitu 'tebing kanan Sungai Klang di hilir, sehingga ke sudut paling selatan peruntukan 401, peruntukan 43 dan 57, tebing kanan Sungai Klang di hilir dan Jalan Campbell'," katanya merujuk Warta No 1550 bertarikh 16 Februari 1932.
Beliau berkata geran tanah dikeluarkan kepada penduduk silap apabila menyatakan pemilikan itu sebagai pajakan 99 tahun.
Tambahnya, kesilapan tersebut bermakna keseluruhan proses pengambilan adalah terbatal dan tidak sah.
Surendran berkata kawasan itu kekal sebagai Tanah Rizab Melayu kerana status itu tidak dibatalkan sama ada melalui persetujuan dua pertiga Parlimen ataupun dokumen pembatalan yang dikemukakan kepada pejabat tanah.
"Di bawah Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan, pelucutan sebarang harta tidak boleh dilakukan 'kecuali mengikut undang-undang'. Proses pengambilan milik di Kampung Sungai Baru tidak mengikut undang-undang kerana ia atas asas yang salah iaitu tanah pegangan pajak."
Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.
Mereka enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Surendran mengulangi hak penduduk mendapatkan rumah ganti yang lebih baik dan pampasan pada nilai pasaran yang bersesuaian dengan lokasi kawasan itu di tengah-tengah bandar raya.
Beliau mencadangkan Putrajaya melantik agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang merupakan pemegang asal hak milik induk (master title) untuk rumah hak milik strata sebelum dipindahkan kepada pemaju sekarang.
"Kami dengan ini menyeru kerajaan persekutuan, dengan mengambil kira fakta-fakta ini, untuk melaksanakan kewajipan dengan campur tangan serta-merta dengan semua kuasa yang ada padanya ke arah merundingkan Tawaran Baru dan Lebih Adil untuk Kampung Sungai Baru."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.