Harga RON95 dan diesel melonjak: Adakah rakyat Malaysia tertipu?
Walaupun harga minyak mentah dunia turun, kerajaan tetap menaikkan harga RON95 dan diesel Euro5 secara mendadak.
Berdasarkan data Trading Economics, pada 6 Jun 2022, paras harga minyak mentah Brent dunia adalah sekitar AS$118.20 setong.
Pada 24 Mac 2026, harganya adalah sekitar AS$103.00 setong. Sejak Jun 2022, harganya pernah turun sehingga ke paras terendah, AS$60.80 setong.
Malangnya sejak Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional memerintah pada 24 November 2022, tiada penurunan harga minyak diumumkan.
Hanya pada 30 September 2025 baru ada pengumuman penurunan harga, itupun hanya sebanyak 6 sen bagi pengguna individu dan dengan had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.
Harga bagi pengguna lain, bukan individu naik sebenarnya daripada RM2.05 seliter kepada RM2.60 seliter, iaitu naik sebanyak 55 sen seliter.
Adakah rakyat Malaysia tertipu?
Jika dilihat secara objektif, trend harga minyak dunia tidak menyokong kenaikan harga domestik yang ketara:
1. Pada Jun 2022, harga minyak mentah Brent: adalah AS$118.20, iaitu sekitar RM501/setong (berdasarkan kadar tukaran semasa ketika itu AS$1 = RM4.24)
2. Pada Disember 2025 (paras paling rendah), harga minyak mentah Brent adalah AS$60.80, iaitu sekitar RM249/setong (tukaran semasa AS$1 = RM4.09). Harga minyak mentah Brent turun hampir -50%.
3. Pada 24 Mac 2026, harga minyak mentah Brent adalah AS$103, iaitu sekitar RM408/setong (tukaran semasa AS$1= RM3.96). Harga ini masih lebih rendah sebanyak -18% berbanding Jun 2022
Namun dalam tempoh yang sama:
1. Harga RON95 meningkat daripada RM2.05 kepada RM3.87 (+89%)
2. Harga diesel meningkat daripada RM2.15 kepada RM5.52 (+156%)
Ini menunjukkan jurang besar antara harga global dan harga yang ditetapkan oleh kerajaan campuran PH-BN.
Walaupun harga minyak mentah dunia turun, kerajaan tetap menaikkan harga RON95 dan diesel Euro5 secara mendadak. Ini adalah satu kontradiksi dasar yang sangat jelas dan rakyat dipaksa membayar lebih mahal berbanding sebelumnya.
Sudahlah terpaksa membayar lebih mahal biarpun harga minyak mentah dunia turun, lebih menyakitkan hati, harga minyak di Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Anwar dan PH selama ini sebagai negara pengeksport minyak (net exporter) kini adalah setara atau lebih tinggi berbanding negara jiran yang merupakan net importer.
Perbandingan harga (pada 26 Mac 2026)
1. Malaysia:
• RON95: RM3.87
• Diesel: RM5.52
2. Indonesia (Pertamina):
• RON95 (Pertamax Green 95): RM3.04 (IDR 12,900)
• Diesel (Pertamina Dex): RM3.41 (IDR 14,500)
3. Thailand:
• RON95 (Standard Gasohol 95): RM4.25 (THB 41.05)
• Diesel S/B7: RM4.72 (THB 38.94)
Secara perbandingan, harga RON95 di Malaysia lebih mahal daripada Indonesia. Manakala harga diesel di Malaysia jauh lebih mahal daripada Indonesia dan Thailand.
Lebih tidak masuk akal adalah rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia dipaksa membayar sekitar 157% lebih tinggi untuk diesel berbanding golongan T20, towkey balak dan perniagaan/korporat di Sabah dan Sarawak.
Sejak September 2022 hingga Disember 2025, walaupun harga minyak mentah, arang batu dan gas asli global turun - minyak mentah Brent turun sebanyak 32%, arang batu turun sebanyak 77% dan gas asli turun sebanyak 58% - harga minyak dan tarif elektrik/ICPT tetap tidak turun, malah dinaikkan.
Dasar Anwar dan kerajaan PH-BN ini telah mengakibatkan beban berganda kepada rakyat. Dalam tempoh yang sama:
• Harga barang meningkat
• ICPT dan tarif elektrik dinaikkan
• Kos perniagaan melonjak
• Cukai meningkat dan bertambah
• Subsidi dikurangkan secara besar-besaran
Hari ini, apabila harga minyak RON95 dan diesel melonjak tinggi, rakyat dan perniagaan bukan sahaja membayar harga yang lebih tinggi untuk minyak, tetapi juga menanggung kesan berantai kepada keseluruhan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan.
Apa yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan perniagaan di Malaysia hari ini bukan sekadar kesan kenaikan harga minyak global, tetapi kegagalan dasar PM10 dan kerajaan campuran PH-BN yang mengakibatkan rakyat dan perniagaan dipaksa membayar lebih mahal daripada sepatutnya.
Tun Faisal Ismail Aziz ialah ketua penerangan Bersatu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
