- Iklan -
Berita

Pesta 'rave' antara tarikan pelancongan dan salah arah dasar

Kajian pelancongan secara konsisten menunjukkan pembezaan destinasi merupakan pemacu utama kecekapan persaingan jangka panjang, bukan peniruan atau imitasi.

MalaysiaNow
5 minit bacaan
Kongsi

Rain Rave Water Musical Festival di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei lepas telah dibingkaikan sebagai inovasi pelancongan yang berani. 

Namun di sebalik kerlip cahaya dan bingit muzik yang dipertontonkan, tersorok kebimbangan dan kemusykilan yang lebih dalam - sama ada kita sedang menyaksikan penemuan strategik yang menjanjikan kejayaan besar baharu atau telah melakukan salah langkah dasar dengan akibat jangka panjang yang lebih merugikan?

Ini tidak bermakna kita menolak inovasi, tetapi bertujuan memastikan dasar-dasar berkait pelancongan, keselamatan awam dan identiti nasional tidak dikompromi dalam kesungguhan negara mengejar gemerlap semusim.

Identiti lawan imitasi

Dari sudut persaingan pelancongan, kekuatan Malaysia sejak sekian lama bergantung pada aset-aset budaya yang tulen: warisan, makanan, kepelbagaian dan alam. Konsep festival Rain Rave, bagaimanapun, sangat menyerupai festival-festival berkait perayaan Songkran di Thailand, terutamanya model festival S2O yang kini tersebar ke serata dunia.

Kajian pelancongan secara konsisten menunjukkan bahawa pembezaan destinasi (destination differentiation) merupakan pemacu utama kecekapan persaingan jangka panjang, bukan peniruan atau imitasi. 

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi PBB (OECD) misalnya menegaskan bahawa strategi pelancongan hendaklah berakar pada identiti setempat dan modal unik budaya (place-based identity and unique cultural capital), bukan peniruan atau replikasi.

Kajian dalam Journal of Sustainable Tourism mendapati pelancongan yang terhasil daripada peniruan akan menjatuhkan nilai jenama dan menghakis kesetiaan destinasi. 

Perayaan Songkran di Thailand telah berevolusi selama berdekad-dekad secara organik dan berakar pada kepercayaan dan budaya tulen masyarakatnya. Sebarang percubaan untuk meniru atau mengadaptasi versi komersial perayaan tersebut berisiko menempatkan Malaysia di posisi pengikut trend, bukan pemimpin idea dan inovasi.

Kejayaan ekonomi tanpa ketelusan

Banyak dakwaan dibuat tentang kejayaan ekonomi festival Rain Rave dengan angka-angka seperti anggaran pendapatan sehingga RM200 juta dan kehadiran sehingga 180,000 pengunjung disebarkan secara meluas. 

Namun dakwaan-dakwaan ini mencetuskan kemusyikalan metodologi yang serius berhubung cara ia diperolehi.

Sehingga kini tidak wujud pembezaan yang jelas antara perbelanjaan kasar dengan perolehan ekonomi bersih yang mengiringi angka-angka tersebut. Selain itu, tidak juga terdapat bukti perakaunan melibatkan kos awam yang dibelanjakan sepanjang festival berkenaan - kos keselamatan, pembersihan, gangguan perniagaan, lalu lintas dan lain-lain.

Kedua-dua Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) dan OECD menyebut bahawa taksiran pelancongan yang berwibawa memerlukan model input-output yang telus, verifikasi bebas dan pemisahan jelas antara impak langsung, tidak langsung dan didorong (induced).

Kajian-kajian akademik seterusnya memberi amaran bahawa impak ekonomi sesebuah acara kerap dilebih-lebihkan. Penyelidikan autoritatif oleh Victor Matheson (2019) menunjukkan kesan pengganda acara-acara mega kerap dibesarkan (inflated) kerana kesan penggantian dan ketirisan.

Suruhanjaya Eropah (European Commission) mendapati bahawa perbelanjaan tempatan semasa acara kerap membayangkan pengagihan semula (redistribution), bukan aktiviti ekonomi baharu. Tanpa ketelusan, angka-angkat tersebut berisiko menjadi alat naratif, bukan bukti kejayaan dasar. 

Tanpa melepasi tapisan metodologi yang teliti dan audit yang telus dan bebas, dakwaan-dakwaan yang tersebar ini, hatta dalam kalangan pemimpin politik, hanyalah unjuran optimistik para pemegang taruh dan golongan berkepentingan untuk memposisikan acara berkenaan sebagai kejayaan sempena kempen Tahun Malawat Malaysia 2026.

Festival EDM dan risiko dadah

Format festival Rain Rave, iaitu terbuka, jalanan dan kawalan rendah, menimbulkan kebimbangan keselamatan yang serius. 

Kajian antarabangsa mengenai festival EDM (electronic dance music) secara konsisten mendapati peratus penggunaan dadah rekreasi yang tinggi dan meluas, risiko dehidrasi dan strok haba, kemudaratan kerana kesesakan serta kesukaran penguatkuasaan undang-undang dan respons kecemasan adalah tinggi dalam persekitaran acara yang sama.

Pusat Pemantauan Dadah dan Penagihan Dadah Eropah (EMCDDA) melaporkan bahawa persekitaran festival merupakan kerangka berisiko tinggi (high risk setting) bagi penggunaan dadah perangsang dan dadah sintetik. 

Kajian pelbagai negara yang diterbitkan dalam International Journal of Drug Policy mendapati kadar penggunaan dadah yang signifikan lebih tinggi dalam acara EDM, berbanding kerangka hiburan malam (nightlife) yang umum atau biasa.

Dalam kajian berkait acara EDM di Belgium, dadah sintetik seperti MDMA (52.28%), halusinogen sintetik lain (53.8%), ketamin (42.13%), amphetamine (40.42%) dan alkyl nitrit (32.76%) lebih kerap digunakan, manakala di kelab malam biasa penggunaan kokain (32.29%) adalah lebih tinggi berbanding halusinogen sintetik (15.79%). 

Kajian yang diterajui oleh Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia (AIHW) mendapati festival terbuka juga menyukarkan respons pengurangan kemudaratan (harm reduction) dan kecemasan. 

Reka bentuk tempat (venue) sangat kritikal. Festival terkawal, misalnya di stadium atau dewan, membolehkan berlakunya tapisan kemasukan, penyediaan zon perubatan dan kecemasan serta pengurusan aliran kehadiran dan khalayak yang berkesan. Persekitaran terbuka di Bukit Bintang semasa festival berlangsung jelas melemahkan kawalan perimeter, membolehkan aliran keluar-masuk tidak terkawal berlaku, selain menambah bilangan titik buta keselamatan.

Ini bukanlah semata-mata isu pengendalian operasi, tetapi merupakan kecacatan reka bentuk keselamatan awam yang serius.

Kegagalan urus tadbir

Penglibatan langsung badan pelancongan kerajaan dalam penganjuran festival menimbulkan persoalan governans dan tadbir urus yang fundamental - bolehkah pengawal selia mengawal selia dirinya sendiri secara efektif?

Amalan terbaik pentadbiran awam menuntut pemisahan institusi. Kerangka governans Bank Dunia misalnya menekankan pengasingan jelas antara peranan penyeliaan dengan pelaksanaan. Transparency International (TI) memberi amaran bahawa pemisahan peranan yang kabur meningkatkan risiko jebakan kawal selia (regulatory capture) dan memperluas jurang akauntabiliti.

Apabila entiti yang sama mempromosi, mendanai dan mengawasi sesebuah acara, maka fungsi penguatkuasaan menjadi lemah, penilaian berisiko dikompromi, sementara peranan akauntibiliti pula mencair. 

Ilusi kejayaan: Hasil jangka pendek lwn kos jangka panjang

Walaupun perniagaan mungkin mengalami lonjakan sementara, namun kajian mendapati perbelanjaan semasa acara berlangsung sebenarnya membayangkan berlakunya peralihan pemasaan (timing shift), bukannya perolehan bersih pendapatan. Manfaat atau perolehan lazimnya terbahagi secara tidak sekata, dengan kos - perkhidmatan awam, kepolisan, pembersihan - kerap diketepikan daripada penyataan angka tajuk utama.

Seperti dibuktikan oleh Matheson dan penyelidik lain, manfaat ekonomi bersih acara-acara sedemikian lazimnya adalah marginal, malah negatif. Tanpa pemeriksaan dan audit yang teliti dan telus, Malaysia berisiko membesar-besarkan manfaat, tetapi pada masa sama mengabaikan atau memandang kecil kos yang ditanggung.

Dalam pada itu, Bukit Bintang bukanlah tapak festival yang kosong, ia sebaliknya merupakan kawasan komersial paling sibuk di Kuala Lumpur dengan aktiviti runcit berkepadatan tinggi, koridor pelancongan utama dan hub pengangkutan serta pejalan kaki yang kritikal.

UN-Habitat misalnya menekankan bahawa acara di kota-kota besar dan zon komersial yang padat mestilah sejajar dengan kapasiti spatial dan daya tahan infrastruktur sedia ada. Kajian dalam perancangan bandar mendapati penempatan acara di lokasi yang tidak sesuai boleh menyebabkan kelumpuhan lalu lintas, gangguan perniagaan serta rungutan awam. 

Laporan mengenai kesesakan, ketidaklancaran perniagaan dan ketidakselesaan awam sepanjang festival adalah gambaran sebenar risiko yang dihadapi, selain merupakan kos sosial dan ekonomi yang perlu dibayar dan diambil kira.

Kesesuaian sosial, sensitiviti budaya

Dasar pelancongan tidak wujud dalam vakum, ia mesti sejajar dengan norma dan jangkaan masyarakat. Bantahan meluas terhadap festival Rain Rave, termasuk dalam kalangan pemimpin dan agensi kerajaan sendiri, memaparkan kebimbangan mengenai moral dan kesopanan awam, persoalan mengenai ruang bandar yang dikongsi bersama, selain pergeseran antara hiburan komersial dengan nilai-nilai komuniti.

Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) secara eksplisit menyebut bahawa pelancongan mampan wajib menghormati ketulenan sosio-budaya dan nilai-nilai komuniti tuan rumah atau tempatan. Pengabaian prinsip ini berisiko mencetuskan pergeseran sosial dan kemusnahan reputasi.

Debat berterusan di ruang awam, terutama di media sosial, berkait acara yang berakhir hampir seminggu lepas merupakan bukti nyata yang tidak boleh dipandang ringan berikutan kegagalan kerajaan, terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan, dalam mematuhi prinsip-prinsip utama pelancongan yang sedia dimaklumi melalui pengalaman kementerian sendiri, kajian-kajian autoritatif penyelidik dan badan-badan dunia, mahupun kepekaan biasa terhadap citra dan personaliti umum masyarakat Malaysia.

Kaji semula dasar pelancongan negara

Festival Rain Rave bukanlah sebuah acara semata-mata, sebaliknya ia merupakan kes ujian mengenai arah tuju dasar pelancongan negara. 

Ia mendedahkan isu-isu dasar yang serius, termasuk peralihan kecenderungan ke arah pelancongan pacuan persembahan memukau yang diimport, kelemahan dalam pentadbiran dan kewibawaan kawal selia, jurang dalam reka bentuk kawalan keselamatan awam, pergantungan pada naratif ekonomi dan sosial yang tidak diaudit atau disahkan, ketidakpekaan terhadap persekitaran, aspirasi serta kepentingan tempatan dan nasional dan ketidakpatuhan kepada panduan berguna sedia ada, baik dari sudut pelancongan, mahupun kebijakan pentadbiran dan pengurusan biasa.  

Malaysia tidak harus menjadi pentas ujian untuk idea-idea liar, pinjaman atau diimport, sebaliknya ia harus setia kepada keunikan berzaman yang sudah teruji, sekali gus menjadi destinasi pilihan mengikut takrifannya sendiri.