- Iklan -
Berita

'Bercakap bohong, lama-lama tak jadi menteri': Khairy sindir menteri nafi kerajaan terlibat majlis hidang arak

Bekas menteri kesihatan itu memuat naik notis jemputan yang menunjukkan majlis makan malam gala yang menghidangkan minuman keras adalah anjuran Tourism Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Khairy Jamaluddin hari ini memuat naik sindiran tajam menyasarkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing susulan dakwaannya bahawa sebuah majlis makan malam gala yang menghidangkan arak tidak dianjurkan kerajaan.

Bekas menteri kesihatan itu memaparkan tangkap layar notis jemputan yang menyatakan Tourism Malaysia, agensi di bawah kementerian Tiong, merupakan penganjur majlis makan malam gala itu, yang telah mengundang kritikan daripada ahli politik pembangkang.

KJ_Tiong_instagram_051025"Siakap senohong, gelama ikan duri. Bercakap bohong, lama-lama tak jadi menteri," tulis Khairy dalam Instagram Story.

Tiong, yang bukan kali pertama terlibat dengan kontroversi berkait arak, diserang Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin selepas tular klip video menunjukkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam gala itu sehingga menimbulkan rasa kurang selesa tetamu Islam yang bertindak keluar awal.

alcohol_tourismMalaysiaMas Ermieyati berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Tiong mahu meminum arak di majlis bukan rasmi.

"Kalau bukan program rasmi, lantak pi lah YB menteri nak tunggang terbalik mabuk. Itu YB menteri punya pasal, saya tak nak masuk campur," katanya.

Bagaimanapun, menghidangkan arak di majlis anjuran kerajaan adalah bukan sahaja bertentangan dengan sensitiviti Islam tetapi juga dengan statusnya sebagai agama persekutuan.

Tiong kemudian mendakwa program tersebut, Global Travel Meet, adalah berasingan daripada majlis makan malam gala tersebut.

Tiong King Sing.
Tiong King Sing.

Menurutnya, walaupun Tourism Malaysia bertanggungjawab menganjurkan Global Travel Meet, majlis makan malam itu adalah "inisiatif pihak industri dan sektor swasta".

"Mereka begitu teruja kerana buat julung kalinya kita mengambil inisiatif menganjurkan acara global sebegini, dan atas semangat tersebut, mereka berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam tersebut," kata Tiong, yang juga ahli Parlimen GPS dari Bintulu, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, menurut notis jemputan seperti mana dikongsi Khairy, majlis makan malam itu dianjurkan Tourism Malaysia.

Pada 2023, Tiong menjadi sasaran selepas gelagatnya menari sambil minum arak di khalayak ramai.

"Saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya?" jawab Tiong.