- Iklan -
BeritaDikemas Kini

Anwar masih bergelut meraih sokongan Melayu, di belakang Khairy dan Muhyiddin dalam kaji selidik terkini

Ia muncul ketika penjajaran semula politik ekoran perpecahan dalaman kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Sokongan orang Melayu dilihat masih sukar untuk Anwar Ibrahim, lebih tiga tahun selepas beliau mengambil alih kuasa melalui kerajaan campuran yang didominasi DAP, menurut kaji selidik terkini.

Tinjauan oleh Merdeka Center meletakkan perdana menteri di tempat ketiga dalam penilaian sokongan di kalangan pengundi Melayu yang dianggap kritikal dalam masa depan kuasa politik negara, di belakang bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Namun, sokongan kuat daripada bukan Melayu membolehkan pengerusi Pakatan Harapan itu mengatasi pemimpin lain, dengan penerimaan keseluruhan 52%.

Kaji selidik tersebut melibatkan 1,209 pengundi layak di 14 negeri dengan komposisi kaum yang mencerminkan populasi negara, dijalankan melalui telefon antara 12 Mac dan 9 April tahun ini, ketika parti pembangkang dan kerajaan mengalami perpecahan dalaman sehingga membawa kepada pembentukan parti serpihan.

Ia mendapati walaupun Anwar menerima 59% sokongan pengundi bukan Melayu – kumpulan yang dalam hampir setiap pilihan raya menjadi tulang belakang kemenangan PH – hanya 45% orang Melayu berpuas hati dengan prestasi beliau.

Ini berbeza dengan sokongan Melayu sebanyak 62% kepada Khairy, diikuti 49% kepada Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar (48%), dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (41%).

Khairy Jamaluddin, Muhyiddin Yassin dan Ahmad Samsuri Mokhtar mengatasi Anwar Ibrahim dalam sokongan Melayu.
Khairy Jamaluddin, Muhyiddin Yassin dan Ahmad Samsuri Mokhtar mengatasi Anwar Ibrahim dalam sokongan Melayu.

Sementara itu, orang Melayu nampaknya menolak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada sebarang kemungkinan diangkat sebagai perdana menteri, sekaligus memberi petanda bahawa kebangkitan semula Umno menjelang pilihan raya akan datang mungkin terhalang oleh rasa tidak puas hati yang berlarutan terhadap kepimpinan tertinggi sejak kejatuhan bekas pemimpin Najib Razak.

Sokongan Melayu untuk Khairy – satu-satunya ahli politik yang tidak menyandang kerusi Parlimen dalam senarai itu – mungkin hasil penjenamaan semula selama tiga tahun melalui penampilan di podcast dan program radio pada waktu puncak, di mana beliau dilihat kerap cuba menjauhkan diri daripada imej politik yang dibawanya  pada masa lampau.

Namun, responden bukan Melayu masih tidak yakin dengan Khairy, yang satu ketika dulu pantas menaiki tampuk kuasa Umno dan akhirnya membina semula politiknya atas platform melawan pucuk pimpinan parti. Kaji selidik mendapati hanya 31% bukan Melayu berpuas hati dengan beliau, manakala 44% sebaliknya.

Prestasi itu jauh lebih baik berbanding penolakan bukan Melayu terhadap pemimpin Melayu lain: Hadi (81%), Muhyiddin (80%), dan Zahid (71%).

Sementara itu, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli meraih 31% sokongan bukan Melayu, jauh ditinggalkan bekas bosnya yang masih menikmati sokongan bukan Melayu sebanyak 59%, meskipun terdapat trend kemerosotan sokongan Cina kepada PH seperti yang dilihat dalam pilihan raya Sabah.

Bukan Melayu juga nampaknya tidak pasti tentang watak baharu seperti Samsuri, yang menerima sokongan 6%, penolakan 39%, dan selebihnya 55% tanpa pendirian mengenai beliau.

Walaupun mendahului, penilaian keseluruhan Anwar kekal lebih rendah berbanding tinjauan kaji selidik lalu, tetapi jauh lebih baik berbanding tahun lepas, apabila hanya 43% menyokong kepimpinannya.

Sokongan itu, bagaimanapun, tidak diterjemahkan kepada sokongan terhadap cara kerajaannya menguruskan ekonomi, di mana lebih separuh (51%) responden mengatakan mereka tidak berpuas hati.

Bilangan yang sama (50%) juga merasakan negara sedang menuju ke arah yang salah, dengan majoriti memberikan alasan kebimbangan ekonomi.

Di sebalik perbezaan besar dalam pilihan pemimpin, tinjauan tersebut mendapati ada persetujuan merentasi kaum dalam beberapa isu, seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, pengasingan kuasa peguam negara, dan cadangan mengadakan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Kaji selidik itu mengesahkan pandangan penganalisis selama ini bahawa kerajaan Anwar masih bergelut untuk meraih sokongan Melayu, seperti yang dilihat dalam pilihan raya umum 2022.

Dalam pilihan raya itu, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, kebanyakannya di kawasan dengan bilangan pengundi bukan Melayu yang ramai, manakala undi Melayu berpecah antara PN dan BN.

Sementara itu, PN memenangi 74 kerusi, kebanyakannya di kubu kuat Umno.

Anwar Ibrahim dilihat masih belum berjaya meraih sokongan Melayu selepas lebih tiga tahun mengambil alih kuasa. Gambar: Facebook
Anwar Ibrahim dilihat masih belum berjaya meraih sokongan Melayu selepas lebih tiga tahun mengambil alih kuasa. Gambar: Facebook

Corak serupa dilihat dalam enam pilihan raya negeri pada tahun berikutnya, di mana sebahagian besar kerusi majoriti Melayu dimenangi PN manakala pengundi bukan Melayu memberikan sokongan padu kepada PH.

Nasib Anwar dirumuskan oleh pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah, yang berpandangan pemimpin PKR itu akan terus berdepan defisit sokongan Melayu kerana teras gabungan PH adalah bukan Melayu.

"Base (teras) dia Cina, macam mana orang Melayu nak berharap pada pimpinan yang kepentingannya bukan Melayu?" kata Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, dalam temu bual bersama MalaysiaNow dua tahun lalu.

"Selagi Anwar tidak mempunyai base Melayu, selama itu orang Melayu tak akan sokong Pakatan Harapan yang dipimpinnya."