- Iklan -
Berita

Skandal Azam: Gilirannya bila, soal bekas menteri selepas polis UK tangkap adik Raja Charles

Persoalan kedaulatan undang-undang dibangkitkan ketika Azam Baki terus kekal di tampuk SPRM.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipangkah oleh peserta demonstrasi di Kuala Lumpur, 15 Feb 2026.
Gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipangkah oleh peserta demonstrasi di Kuala Lumpur, 15 Feb 2026.

Penahanan adik Raja Charles di United Kingdom semalam membangkitkan persoalan sejauh mana prinsip kedaulatan undang-undang memberi kesan kepada tokoh berpengaruh di Malaysia, ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mempertahankan Azam Baki susulan pendedahan Bloomberg yang mengaitkan ketua badan anti-rasuah itu dengan sekumpulan penyangak dikenali sebagai "mafia korporat".

Seorang bekas menteri membuat perbandingan dengan ketiadaan siasatan serius melibatkan agensi penguatkuasaan terhadap Azam, yang kekal menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan sokongan Anwar.

Peguam dan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, memberikan reaksinya selepas berita penangkapan adik Raja Charles, Andrew Mountbatten-Windsor, antara bakal pewaris takhta Britain, susulan pendedahan mengenai kaitannya dengan pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein.

Zaid Ibrahim.
Zaid Ibrahim.

Penangkapan salah seorang kerabat diraja paling kanan di Britain itu jarang berlaku dan disifatkan sebagai bukti kedaulatan undang-undang ditegakkan, ketika tindakan serupa gagal diambil terhadap pemimpin politik dan hartawan yang pernah rapat dengan pesalah pedofilia itu seperti didedahkan oleh fail Epstein baru-baru ini.

Zaid melahirkan harapan Malaysia juga akan ditadbir "suatu hari nanti" berlandaskan kedaulatan undang-undang.

"Ianya apabila anggota keluarga diraja boleh ditangkap dan disiasat kerana salah guna jawatan awam," katanya.

"Setakat ini, kita masih tertanya-tanya sama ada sebuah badan bebas boleh menyiasat ketua sebuah agensi penyiasatan yang paling berkuasa."

Minggu lalu, Bloomberg melaporkan dua pendedahan mengenai kekayaan luar biasa Azam di samping butiran mengejutkan yang mengaitkan beliau dengan sekumpulan individu penyangak.

Laporan Bloomberg bertarikh 12 Feb 2026.
Laporan Bloomberg bertarikh 12 Feb 2026.

Pada 12 Februari, ia menerbitkan laporan penyiasatan mengenai Azam, di mana saksi dan mangsa menceritakan bagaimana pegawai SPRM bersekongkol dengan "mafia korporat" untuk mengambil alih secara paksa pemilikan syarikat awam tersenarai.

Laporan itu menyusuli pendedahan sebelumnya bahawa Azam memiliki berjuta-juta saham syarikat tersenarai bernilai kira-kira RM800,000, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Sehingga kini, Anwar dan Azam menolak gesaan supaya Azam melepaskan jawatannya dan disiasat melalui saluran biasa.

Sebaliknya, polis mengumumkan siasatan dibuka ke atas Bloomberg atas dakwaan fitnah.

Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar untuk menyiasat dakwaan mengenai Azam – langkah yang hanya mengundang lebih banyak kritikan terhadap cara Anwar menguruskan isu tersebut.

'Maharaja dah bogel'

Semalam, seorang lagi bekas menteri melancarkan serangan tajam terhadap cara Anwar menangani skandal melibatkan Azam, selepas tular klip perdana menteri memarahi seorang wartawan yang bertanyakan mengenai jawatan Azam di SPRM susulan pendedahan Bloomberg.

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

"Orang yang buat kerja, nak pecah pasal apa? Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah," kata Anwar, yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali.

"Apakah jenis respons itu?" kata Khairy Jamaluddin dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.

"Seorang perdana menteri tak boleh jawab begitu. Isu ini, sama ada betul atau tidak, tuduhannya adalah serius. Tuduhannya berkaitan integriti agensi yang menjaga integriti negara. Jadi kamu tak boleh tolak macam itu."

Khairy berkata ia seolah-olah perdana menteri mencadangkan seseorang bebas melakukan jenayah asalkan "rajin buat kerja".

Beliau turut bersetuju dengan cadangan rakannya Shahril Hamdan yang mengingatkan perdana menteri dan penyokongnya supaya tidak terus membutakan mata terhadap pengkritik, menyifatkannya seperti apa yang berlaku dalam kisah maharaja tanpa pakaian.

Tun Faisal Ismail.
Tun Faisal Ismail.

"Dalam hal ini, dia beginilah, 'maharaja dah bogel'. Maharaja dah bogel, tetapi pengampu di sekeliling maharaja terlalu takut untuk sebut bahawa 'tuanku sedang bogel'," kata Khairy.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail mempersoalkan sama ada wujud "konflik kepentingan atau jaringan pengaruh korporat" melibatkan mereka yang berkuasa seperti dilaporkan Bloomberg.

"Isu ini bukan soal politik. Ini soal maruah institusi dan integriti negara. Rakyat Malaysia mengetahui kebenaran," tambahnya.