Skandal kembar saham-mafia: 'Anwar penipu!' bergema di KL, ribuan tuntut Azam Baki ditangkap
Himpunan itu berlangsung ketika ketua pesuruhjaya SPRM enggan meletak jawatan susulan dua pendedahan mengejutkan mengenai kekayaan luar biasa dan dakwaan bersekongkol dengan penyangak korporat.
Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Kuala Lumpur hari ini menuntut Azam Baki ditangkap, ketika tekanan semakin meningkat untuk memecat ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, yang kontraknya berulang kali dilanjutkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Himpunan berlaku pada hujung minggu yang telah menggegarkan pentadbiran Anwar susulan dua pendedahan mengejutkan oleh Bloomberg berhubung kekayaan luar biasa Azam, serta butiran yang mendakwa kaitannya dengan individu penyangak yang menggunakan ancaman dan ugutan untuk mengambil alih syarikat tersenarai awam secara paksa.
Notis dan poster himpunan dipromosikan secara meluas di media sosial, seiring dengan kritikan yang semakin meningkat terhadap cara Anwar menangani krisis keyakinan terbesar dihadapi SPRM sejak skandal 1MDB kira-kira sedekad lalu.
Protes hari ini mendapat sokongan pelbagai pihak merentas parti politik, termasuk ahli Parlimen kerajaan Rafizi Ramli, Zahir Hassan, Wong Chen dan Nik Nazmi Nik Ahmad, antara pemimpin Pakatan Harapan yang kini secara terbuka mengkritik Anwar kerana mempertahankan Azam di sebalik kemarahan awam.
Himpunan menyaksikan beberapa pemimpin aktivis pelajar dan belia melaungkan slogan "Tangkap Azam" dan "Anwar penipu", di samping pelbagai sepanduk dan kain rentang mengutuk bos SPRM dan perdana menteri.
Ia mengingatkan kembali himpunan empat tahun lalu ketika Azam terlibat dalam kontroversi serupa melibatkan pegangan saham yang melanggar peraturan pemilikan aset penjawat awam.
Dalam ucapannya, Rafizi berkata sikap kerajaan yang terus mempertahankan Azam menyebabkan rakyat tiada pilihan selain turun ke jalanan untuk menuntut beliau dilucutkan.
“Kalau kerajaan Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim mempertahankan Azam Baki, lama-lama kami tak boleh pertahankan pendirian itu. Mana kita nak letak muka?” kata Rafizi.
Dalam serangan paling keras terhadap presiden partinya, bekas menteri ekonomi itu mengecam Anwar kerana melabelkan pengkritik kerajaan sebagai golongan yang suka "merengek".
"Kami sudah belajar bahawa, sebab Anwar merengek kepada rakyat 20 tahun lebih lah, kamu boleh jadi perdana menteri. Jadi kami tahu kuasa merengek ini. Kalau kamu masih lagi mempertahankan Azam Baki, ini bukan cinta Azam Baki semata-mata, ini adalah kerana ia berkait dengan Anwar Ibrahim," kata Rafizi.
'Kalau DAP, Anwar fikir dua kali'
Menghalakan kritikannya kepada DAP, Rafizi berkata parti itu perlu bersuara segera dan bukannya menunggu sehingga bulan Jun, iaitu tarikh akhir kata putus yang dikeluarkan kepada Anwar untuk melaksanakan janji reformasi.
"Yang Anwar paling bimbang ialah DAP. Dia tak kisah Amanah atau PKR, kalau DAP bersuara, dia fikir dua kali," tambahnya.
Sementara itu, Wong Chen mengecam Anwar berhubung keahlian pasukan siasatan khas untuk menyiasat Azam, sambil mengulangi saranannya supaya bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dilantik mengetuai panel tersebut.
"Saya dulu nasihat dia (Anwar) banyak, tetapi dalam dua tahun ini tidak dinasihati," katanya. "Saya berasa malu. Kamu pilih tiga orang, semuanya penjawat awam."
Beberapa jurucakap himpunan turut mempersoalkan sokongan kuat Anwar kepada Azam, yang sebelum ini dipuji perdana menteri sebagai "kerja kuat" dan "berani" dalam usaha melawan rasuah.
“Tak masuk akal. Sampai bila PM Anwar Ibrahim nak layan kita rakyat Malaysia macam kita ni bodoh, nak layan kita macam kita ni tak tahu apa-apa," kata pemangku presiden Parti Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.
"Orang muda rakyat Malaysia tidak akan diam, tidak akan tutup mata, dan tidak akan berhenti menuntut agar Azam Baki ditangkap."
Beberapa peserta kemudian melakonkan tangkapan olok-olok terhadap Azam, sebelum orang ramai berarak ke Dataran Merdeka diiringi nyanyian dan paluan gendang.
Pada 12 Februari, berita kewangan Bloomberg dalam pendedahannya mengenai Azam menyiarkan temu bual dengan saksi dan mangsa penyangak perniagaan yang dikenali sebagai "mafia korporat", yang didakwa bersekongkol dengan pegawai SPRM untuk merampas syarikat tersenarai awam secara paksa daripada pemiliknya.
Laporan tersebut menyusuli pendedahan sebelum ini bahawa Azam memiliki berjuta-juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai dengan anggaran nilai RM800,000, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Kerajaan mengumumkan sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar untuk menyiasat pendedahan tersebut. Bagaimanapun, ia hanya mengundang lebih banyak kritikan terhadap Anwar, di mana perbandingan dibuat dengan panel siasatan skandal 1MDB oleh pentadbiran Najib Razak pada 2015.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
