- Iklan -
Berita

Himpunan 26 Okt gesa halau Trump diteruskan di sebalik kemarahan 'ucapan genosida' di Knesset

Sekumpulan aktivis muda menegaskan hak berhimpun sambil berkata tiada keperluan memberikan notis kepada polis.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Aktivis berucap membantah kehadiran Donald Trump dalam sebuah konvoi pada 11 Oktober untuk mempromosi himpunan 26 Oktober anjuran Sekretariat Bantah Trump.
Aktivis berucap membantah kehadiran Donald Trump dalam sebuah konvoi pada 11 Oktober untuk mempromosi himpunan 26 Oktober anjuran Sekretariat Bantah Trump.

Sekumpulan aktivis muda dan pelajar universiti tempatan berikrar meneruskan himpunan besar-besaran membantah kehadiran Donald Trump di Malaysia, di sebalik kemarahan semakin memuncak terhadap presiden Amerika Syarikat selepas ucapannya baru-baru ini memuji tentera Israel kerana menggunakan "dengan baik" senjata yang dibekalkan Washington kepada regim itu sepanjang kempen pembunuhan di Gaza.

Sekretariat Bantah Trump yang merancang perhimpunan pada 26 Oktober turut menegaskan pihaknya tidak perlu berurusan dengan polis mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mendapatkan kebenaran atau menyelaras keselamatan yang dirancang sempena Sidang Kemuncak Asean dan lawatan Trump, yang menyaksikan penutupan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.

Peserta mengibarkan bendera Palestin ketika menyertai konvoi pada 11 Oktober bagi mempromosikan himpunan bantah Trump di Kuala Lumpur pada 26 Oktober.
Peserta mengibarkan bendera Palestin ketika menyertai konvoi pada 11 Oktober bagi mempromosikan himpunan bantah Trump di Kuala Lumpur pada 26 Oktober.

Ia selepas beberapa protes membantah Israel mengundang tindakan keras polis menghalang peserta behimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, mengundang kecaman orang ramai dan ledakan kritikan di media sosial.

"Berdasarkan pengalaman kami, pihak polis sering mengekang kebebasan berhimpun walaupun ia dijamin undang-undang," kata Sharifah Haura Uzzahra Syed Abdul Rahman, jurucakap sekretariat yang kini aktif menganjurkan pelbagai himpunan dan aktiviti menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik balik jemputan kepada Trump.

Sharifah mengakui pihak berkuasa akan cuba menyekat perjalanan perhimpunan dengan alasan langkah keselamatan sempena Sidang Kemuncak Asean.

Bagaimanapun, beliau bertegas tiada keperluan meminta kebenaran pihak berkuasa untuk hak berhimpun yang telah pun dijamin perlembagaan, sambil memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan pemimpin Parti MUDA, Amir Hadi, di mana hakim sebulat suara berkata peruntukan Akta Perhimpunan Aman yang memerlukan notis kepada polis dianggap tidak berperlembagaan.

Tambahnya, penganjur mempunyai pasukan sendiri mengawal keselamatan sepanjang perhimpunan yang akan diadakan pada 26 Oktober di Ampang Park, tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat yang kini antara bangunan paling dikawal di ibu kota.

"Kami akan memastikan segala atur cara berjalan dengan lancar. Sama ada akan berlaku kekerasan atau sekatan terhadap masyarakat awam, itu bergantung kepada bagaimana pihak berkuasa bertindak pada hari itu," kata Sharifah kepada MalaysiaNow.

Perhimpunan yang dijangka bermula pada jam 5.00 petang itu bakal menjadi antara protes awam terbesar di Malaysia membantah bantuan AS kepada Israel sepanjang kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang bermula dua tahun lalu.

Ia dijangka mengumpulkan pelbagai kumpulan aktivis, persatuan mahasiswa dan NGO yang menolak campur tangan serta pengaruh ekonomi dan ketenteraan AS di rantau ini.

“Penentangan kami tidak hanya terhadap Trump, tetapi terhadap seluruh sistem yang menjadikan rakyat dunia selatan sebagai mangsa penindasan ekonomi, ras, dan ketenteraan,” kata Sharifah.

Anwar sehingga kini menolak desakan pelbagai pihak termasuk tokoh pemikir, aktivis pro-Palestin dan beberapa suara terpencil dari gabungan kerajaan sendiri supaya membatalkan jemputan kepada Trump.

Selain memberikan alasan jemputan itu disampaikan oleh Asean, Anwar berkata lawatan Trump dapat dimanfaatkan untuk "berunding" mengenai penindasan yang dilakukan rejim Israel.

"Harus ada kebijaksanaan yang saya dan rakan-rakan mahu (adalah) damai, jangan dibunuh lagi anak-anak kita, jangan di apa-apakan lagi wanita di Gaza.

"Ini bermakna atas nama Asean mengundang Trump, apa salahnya runding, saya bukan menyerah saya nak runding,” katanya dalam himpunan pro-Palestine anjuran kerajaan di Bukit Jalil minggu lepas.

'Ucapan genosida di Knesset'

Pada 13 Oktober, berucap di hadapan kepimpinan Israel di Knesset, Trump  memuji penggunaan senjata dibekalkan AS kepada regim Zionis sepanjang peperangan Gaza.

Trump_Netanyahu"Jujur saya katakan, sejumlah besar (senjata) kami bekalkan kepada Israel. Bibi (Netanyahu) berkali-kali panggil dan bertanya, 'Bolehkah beri senjata itu senjata ini? Ada yang saya tak pernah dengar pun, tetapi Bibi, kami mendapatkannya dan tetap membekalkannya, betul tak?" kata Trump disambut tepukan gemuruh dari semua yang hadir di Knesset termasuk Netanyahu yang dilihat bangun memberikan penghormatan.

"Senjata yang terbaik, yang terbaik, dan anda gunakannya dengan baik. Ya, ia memerlukan orang yang tahu cara menggunakannya, dan jelas anda menggunakannya dengan baik, sehingga Israel menjadi kuat dan berkuasa, akhirnya membawa kepada keamanan," kata Trump dalam ucapan yang dikecam sebagai "ucapan genocida".

"Lepas tu, iblis ni bakal dijemput dengan segala hormatnya ke Malaysia?" tanya Norizan Othman dalam reaksi di Facebook.

"Trump bangga bekal senjata ke Israel. PMX bangga dapat telefon Trump," tulis Zack Ganu, antara ribuan komen di media sosial yang memberikan reaksi terhadap ucapan Trump.

Ramai menganggap perjanjian gencatan senjata di Gaza yang ditandatangani minggu ini tidak membersihkan jenayah perang Trump.

Seorang lagi berkata Anwar tidak boleh lagi menggunakan alasan mahu berunding dengan Trump untuk mewujudkan gencatan senjata.

"Yang ni PMX nak jemput mai. Dulu beria yakinkan sebab nak jemput Trump nak selesai isu Gaza. Belum datang dah selesai. Boleh ja batalkan jemputan. Jangan jemput Iblis datang negara Malaysia," kata Rosmaini Saait.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Amanah mengakui dilema dihadapi parti dipimpin Mohamad Sabu itu dalam menyokong pendirian Anwar menjemput Trump.

Sumber yang rapat dengan Amanah berkata bantahan dari Mohamad, yang sebelum ini lantang menentang dasar Washington di Timur Tengah, turut tidak diendahkan perdana menteri.

"Disebabkan tiada jalan lain, Amanah kini menerima jemputan itu, dan terpaksa memuaskan hati penyokong Palestin dengan meminta pihak polis supaya membenarkan perhimpunan bantah Trump kelak," kata seorang bekas pemimpin Amanah yang rapat dengan pimpinan tertinggi.

Ia dicerminkan Ketua Pemuda Amanah Cawangan Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah, yang ketika dihubungi MalaysiaNow berkata parti itu berharap perhimpinan membantah Trump dibenarkan.

"Kerajaan boleh benarkan perhimpunan aman dengan mengatur lokasi yang sesuai, pada masa sama sambut ketibaan Trump secara rasmi. Kalau sambut tetapi halang demonstrasi, ia memberi imej seolah-olah kita menyokong Trump ia tidak betul," katanya.

Sementara itu, aktivis terkenal Hishamuddin Rais mempersoalkan rasional pemimpin kerajaan dalam mewajarkan jemputan kepada Trump sebagai realiti ekonomi.

"Kita memang ada hubungan ekonomi dengan AS, itu benar. Tetapi Sepanyol juga ada hubungan ekonomi, begitu juga Colombia, malah China. Namun mereka tidak menjemput Donald Trump datang ke negara mereka," kata Hishamuddin.

"Hakikatnya, Palestin kini menjadi agenda dunia pertama dan kita tahu sokongan AS kepada Israel dalam konflik ini, termasuk dengan membekalkan senjata. Bom seberat 20,000kg yang meledak di Gaza datang dari Amerika."