- Iklan -
Berita

Kebimbangan 'normalisasi' di Asean selepas Indonesia raikan atlet Israel, Anwar pertahan lawatan Trump

Kedua-dua negara merupakan antara sasaran Israel mengembangkan pengaruhnya selepas diabaikan sekutu tradisional di Barat.

Abdar Rahman Koya
5 minit bacaan
Kongsi
Papan iklan di Tel Aviv menampilkan Prabowo yang dinaikkan pada masa sama presiden Indonesia itu menggesa jaminan keselamatan kepada Israel ketika berucap di PBB bulan lalu.
Papan iklan di Tel Aviv menampilkan Prabowo yang dinaikkan pada masa sama presiden Indonesia itu menggesa jaminan keselamatan kepada Israel ketika berucap di PBB bulan lalu.

Kebimbangan semakin wujud bahawa Israel, yang berdepan penolakan di Eropah, Amerika Selatan dan Afrika, kini memberikan perhatian kepada Asia Tenggara sebagai tapak yang lebih subur mengembangkan pengaruhnya, di sebalik usaha kerajaan Indonesia dan Malaysia yang cuba mempertahankan beberapa tindakan yang dilihat tidak selari dengan dasar bermusuhan dengan negara Zionis itu.

Perkembangan itu ketika kerajaan Indonesia meluluskan tanpa syarat kehadiran pasukan gimnastik Israel untuk bertanding dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Jakarta pada 19 Oktober, iaitu seminggu sebelum Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka meraikan Donald Trump di sebalik bantahan pelajar, aktivis dan tokoh pemikir terhadap kehadiran presiden AS yang pro-Zionis itu di Malaysia.

Kehadiran atlet Israel di Indonesia selari dengan ucapan Presiden Prabowo Subianto baru-baru ini di PBB yang menggesa jaminan keselamatan kepada Israel.

Prabowo dianggap sebagai pemimpin Indonesia paling mesra dengan Israel sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Sebelum ini, Indonesia secara konsisten menolak sebarang penyertaan Israel dalam acara global yang dianjurkannya.

Pada 2023, ia melucutkan hak menganjurkan Piala Dunia Bawah-20 FIFA, apabila Wayan Koster, gabenor Bali yang beragama Hindu, bertegas tidak mahu membenarkan pemain Israel mengambil bahagian.

Indonesia juga memilih untuk menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Pantai Dunia 2023 berikutan syarat ia perlu membenarkan atlet Israel.

"Walaupun keputusan itu dibayar dengan harga yang mahal, ia menandakan moral yang jelas, iaitu mempertahankan hak Palestin mengatasi prestij menganjurkan sukan antarabangsa. Mengapa sekarang mengabaikan sikap itu?" soal penganalisis Indonesia, Muhammad Zulfikar Rakhmat, penyelidik dari Institut Timur Tengah di National University of Singapore.

Sementara itu di Malaysia, Anwar dalam keadaan defensif berdepan penentangan terhadap lawatan Trump.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada perhimpunan pro-Palestin anjuran kerajaan di Axiata Arena, 8 Oktober 2025.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada perhimpunan pro-Palestin anjuran kerajaan di Axiata Arena, 8 Oktober 2025.

Malam tadi, kerajaan tergesa-gesa mengadakan sebuah lagi himpunan solidariti Palestin.

Acara seperti itu menjadi kebiasaan setiap kali Anwar menjadi sasaran penyokong Palestin yang tidak senang dengan apa yang dianggap sebagai dasar yang semakin lunak terhadap Israel.

Perhimpunan serupa diadakan pada Ogos 2024, di mana ribuan penjawat awam dikerah untuk memenuhi stadium mendengar ucapan pemimpin kerajaan, ketika bantahan memuncak terhadap langkah Anwar membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock - firma AS yang dituduh terpalit dengan jenayah perang Israel - untuk menyertai sebuah konsortium menyelenggara lapangan terbang di seluruh negara.

Perhimpunan itu turut menyaksikan episod lucu apabila timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, tersasul melaungkan slogan "Hidup Israel". Dalam permohonan maafnya, Zahid berkata kata-kata itu terkeluar "dalam keghairahan dan rasa penuh semangat".

Himpunan semalam pula diadakan ketika pelbagai pihak, termasuk segelintir pemimpin dari Pakatan Harapan, mempersoalkan langkah menjemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.

Kerajaan dilihat menggerakkan sebuah kempen propaganda yang turut menyaksikan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, yang mengundang kecaman hebat umat Islam apabila cuba menggunakan hujah agama menghalalkan kedatangan presiden Trump. 

"Presiden Trump sangat terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang berterusan, sehinggakan apa-apa sikap positif yang ditunjukkan kepadanya, walaupun cuma simbolik, akan dianggap sesuatu yang jijik oleh sebahagian besar rakyat Malaysia," kata tokoh pemikir Chandra Muzaffar baru-baru ini, yang menasihatkan Anwar supaya mengutus "surat sopan" kepada Trump untuk membatalkan jemputan itu.

Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusan menjemput Trump, Anwar dan pentadbirannya mengeluarkan beberapa kenyataan bercanggah.

Beliau berkata jemputan Trump bukan oleh kerajaan Malaysia, tetapi atas kapasitinya sebagai pengerusi Asean, yang mana Washington merupakan salah satu rakan dialog.

Sebaliknya, Anwar turut berkata bahawa Malaysia sebagai sebuah "negara kecil" tidak mampu mengambil risiko tindak balas ekonomi sekiranya tidak menjemput presiden AS itu.

Alasan itu sukar diterima memandangkan kebangkitan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dari AS berlaku di bawah era Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang paling lantang mengkritik dasar AS di Timur Tengah sehingga mengundangkan kemarahan lobi Israel yang melabelkannya "anti-Yahudi".

Kemunculan Anwar sebagai perdana menteri dan Prabowo sebagai presiden dialu-alukan oleh beberapa pihak di Israel sebagai lembaran baharu hubungan negara Yahudi itu dengan Malaysia dan Indonesia, yang bukan sahaja membuka jalan memasuki pasaran yang luas tetapi juga pengiktirafan yang diidamkan daripada dua negara yang membentuk 15% populasi umat Islam dunia.

Sementara itu, di Indonesia, Prabowo tidak berdolak dalih dalam rancangannya mahu menjalin hubungan dengan Israel, dan ini jelas dilihat dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB bulan lalu.

Gesaan Prabowo menjamin keamanan dan keselamatan Israel menerima kecaman penyokong Palestin di Indonesia dan Malaysia.

Tidak kurang juga yang membuat perbandingan ucapan itu dengan kenyataan Anwar pada 2012, di mana beliau dilaporkan berkata akan "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".

Ada kalangan di Israel yang melihat kemunculan pentadbiran Anwar Ibrahim di Malaysia dan Prabowo Subianto di Indonesia sebagai peluang negara Yahudi itu menjalinkan hubungan dengan kedua-dua negara Islam itu.
Ada kalangan di Israel yang melihat kemunculan pentadbiran Anwar Ibrahim di Malaysia dan Prabowo Subianto di Indonesia sebagai peluang negara Yahudi itu menjalinkan hubungan dengan kedua-dua negara Islam itu.

Kemunculan Anwar sebagai perdana menteri dan Prabowo sebagai presiden dialu-alukan oleh beberapa pihak di Israel sebagai lembaran baharu hubungan negara Yahudi itu dengan Malaysia dan Indonesia, yang bukan sahaja membuka jalan memasuki pasaran yang luas tetapi juga pengiktirafan yang diidamkan daripada dua negara yang membentuk 15% populasi umat Islam dunia.

Sejurus selepas Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada 2022,  pengarang kanan sebuah akhbar berpengaruh di Israel yang menyifatkan beliau "sememangnya lebih terbuka kepada Israel berbanding Mahathir yang mengambil pendirian keras".

"Israel akan menyukai hubungan yang lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkin ini adalah peluang?" tulis Esther Solomon, ketua pengarang akhbar berbahasa Inggeris, Haaretz.

Pada masa sama, lobi Zionis di AS menyambut baik kebangkitan Prabowo sebagai presiden dengan harapan ia bakal memberikan Israel kejayaan diplomatik yang besar apabila dapat mewujudkan hubungan rasmi dengan negara yang memiliki populasi umat Islam paling ramai di dunia, terutama selepas ia diabaikan sekutu tradisinya.

Kempen kini giat dijalankan supaya Indonesia menyertai apa yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham, rancangan Trump yang dimulakan pada penggal pertama beliau di mana negara Arab dan Islam yang berjiran dengan Israel mewujudkan hubungan diplomatik rasmi dengan negara Zionis itu.

Seiring dengan ucapan Prabowo di PBB bulan lalu, papan iklan gergasi bagi mempromosikan Perjanjian Abraham muncul di Tel Aviv, memaparkan presiden Indonesia itu dengan beberapa pemimpin lain.

Antara slogan yang dipaparkan termasuk "Sudah tiba masanya untuk Timur Tengah baharu" dan "Sertai perjanjian".

Tahun lepas, MalaysiaNow memetik diplomat dan penganalisis yang berkata pentadbiran Trump akan memberi tekanan kepada Malaysia dan Indonesia supaya turut serta menandatangani Perjanjian Abraham.

Malah sebelum Trump, pentadbiran Biden menghantar pegawainya ke Kuala Lumpur untuk memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak melanggar sekatan Washington terhadap Iran, di samping menyekat aliran wang ke Hamas.

Anwar ketika itu cuba meredakan kebimbangan AS dengan mengatakan hubungannya dengan Hamas terhad kepada sayap politiknya.

"Saya tiada penglibatan, tiada perbincangan dengan aparatus tentera, itu amat jelas," katanya dalam forum anjuran Bloomberg di Qatar tahun lepas.

Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.
Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.

Wujud persepsi bahawa kerajaan Anwar semakin mengabaikan dasar Malaysia selama ini yang menolak sebarang pengiktirafan kepada Israel, pendirian yang diperkukuh ketika era Mahathir yang menyaksikan hubungan rasmi dijalinkan dengan Hamas.

Persepsi tersebut ditambah dengan layanan terhadap himpunan pro-Palestin baru-baru ini, termasuk tindakan polis menangkap dua peserta di luar kedutaan AS, dan tindakan menghalang sekumpulan pelajar Universiti Malaya mengadakan perhimpunan anti-Israel di dalam kampus.

Selasa lalu, sekumpulan pelajar berarak di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sebahagian daripada siri protes yang dirancang dengan sebuah perhimpunan kemuncak di Kuala Lumpur pada hari ketibaan Trump pada 26 Oktober.

Antara hujah penyokong Anwar ialah kehadiran Trump dapat memberi peluang kepada Malaysia menyampaikan sendiri pendiriannya mengenai isu Palestin.

Walaupun mesej itu akan didakwa telah disampaikan - tanpa sesiapa pun tahu bagaimana ia disampaikan - kehadiran Trump sudah cukup untuk merintis jalan kepada Israel dalam usahanya mencari tapak di sebuah bahagian penting dunia Islam.