Amaran Albert Tei kepada Anwar: Saya tak takut kamu, tapi jangan sentuh keluarga saya
Lelaki di sebalik pendedahan rasuah melibatkan jawatan tertinggi negara berikrar tidak berdiam diri walaupun berdepan ancaman.
Terkini
Ahli perniagaan Albert Tei yang baru-baru ini menggemparkan negara dengan pendedahan dakwaan rasuah melibatkan Pejabat Perdana Menteri hari ini berazam meneruskan perjuangan membongkar salah laku, sambil berkata dirinya tidak gentar dengan pelbagai tindakan pihak berkuasa terhadapnya.
Tei, yang dibebaskan hari ini selepas penangkapan penuh drama oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lengkap bersenjata dan bertopeng pada Jumaat lalu, berkata dia tidak akan berdiam diri walaupun selepas rumahnya diserbu dan senjata diacukan ke arahnya.
"Saya tidak kisah kalau pistol itu diacukan kepada saya. Saya sedia menanggung akibatnya," kata Tei, yang minggu lalu mendedahkan bukti rasuah membabitkan setiausaha politik Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dakwaan mengejutkan Tei pada 25 November disokong dengan bukti tangkap layar WhatsApp, resit dan video perbualan yang dirakam secara rahsia melibatkan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang dikenal pasti oleh Tei sebagai proksi Shamsul.
Tei dan Shamsul hari ini masing-masing dihadapkan empat pertuduhan memberi dan menerima suapan berjumlah RM176,829.03, sementara Sofia pula akan ditampilkan sebagai saksi pendakwaan.
Sejak lewat tahun lalu, Tei mendedahkan beberapa klip video yang dirakamnya secara rahsia, menunjukkan ahli politik kerajaan Sabah membuat pengakuan menerima wang sebagai balasan meluluskan lesen mineral.
Dalam video perbualannya dengan Sofia baru-baru ini, wanita itu memberitahu bahawa dalang di sebalik tindakan Tei merakam secara rahsia beberapa ahli politik Sabah adalah Shamsul dan Anwar, sambil mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga sedia maklum mengenai rancangan itu.
Tei berkata dia diarahkan membuat rakaman rahsia itu selepas menghubungi Shamsul bagi mendapatkan bantuannya berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor supaya wang yang dibayar oleh Tei kepada beberapa Adun dari GRS dikembalikan.
Tei berkata dalam usaha mendapatkan kerjasama Shamsul, dia membelanjakan hampir RM630,000 untuk orang kuat Anwar itu.
Tei percaya Anwar mahu Tei merakam video beberapa ahli politik Sabah kerana mahu mengugut mereka supaya terus setia kepada kerajaannya.
Tiga hari selepas pendedahan itu, sepasukan pegawai SPRM membuat serbuan di rumah Tei di Puchong.
Tei mendakwa sekurang-kurangnya enam pistol diacukan di kepalanya.
'Jangan sentuh keluarga saya'
Tei hari ini berkata dia bersedia menanggung akibatnya kerana mendedahkan rasuah di peringkat tinggi.
"Saya yang mendedahkan skandal ini kepada umum. Dari Sabah ke Putrajaya. Dari Sabah ke Anwar. Tetapi jangan salahkan keluarga saya. Mereka juga halakan pistol ke arah isteri saya. Saya benar-benar tidak boleh terima," kata Tei kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, memberikan ulasan panjang dalam bahasa Melayu dan Mandarin.
"Sebagai seorang ayah dan seorang suami, saya mempunyai tanggungjawab melindungi mereka. Mereka semua diancam."
Mengimbas kembali serbuan 28 November di rumahnya, Tei berkata dia yakin seorang lelaki bertopeng yang berdiri di luar pintu sudah bersedia menembaknya.
"Bila saya nampak mata dia, saya percaya dia akan tembak saya. Saya memang percaya dia akan tembak saya. Mereka kata SPRM, tapi saya tidak pernah tengok kad kuasa atau waran. Mereka kata mereka SPRM.
"Dalam otak saya fikir ini mesti Anwar yang suruh tembak mati saya. Jujur! Saya panik masa itu.
"Syukur, anak saya berumur 13 tahun lalu di belakang, dia sangat takut, baru pegawai itu tak berani tembak saya. Saya percaya dia akan tembak saya masa tu.
"Lepas tu mereka tendang pintu, mereka masuk, semua yang masuk tu, 7-8 orang, semua pegang pistol mengacu kepada saya," katanya.
Tei berkata tindakan terhadapnya merupakan amaran kepada mana-mana pihak yang mahu mendedahkan rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan.
"Saya beritahu Anwar Ibrahim, saya percaya dia sedang tengok, saya beritahu saya tak pernah takut kamu sebab dunia ini sudah berbeza. Ini era media sosial, bukan tahun 1998 di mana kamu boleh tutup lagi," kata Tei.
Dalam laporan polis pada malam tangkapannya, isteri Tei, Lee Pei Rie, berkata dia sedang merakam pegawai yang hadir di rumahnya apabila mendapati suaminya dipaksa berbaring di atas lantai sambil dikelilingi sekumpulan lelaki bersenjata.
Kata Lee, salah seorang daripada mereka kemudian mengacukan pistol ke arahnya dan memaksanya menyerahkan telefon bimbit.
Peguam Tei, Mahajoth Singh dan Zaid Malek, berkata tindakan itu memusnahkan bukti penting berhubung tindak tanduk pegawai SPRM.
"Terdapat CCTV yang menghala ke ruang tamu ketika semua ini berlaku. Jadi, pasti ada rakaman yang menunjukkan sama ada senjata diacukan ke arahnya dan juga isterinya. Bukti diambil oleh SPRM. Jelas sekali, mereka cuba mencari sesuatu," kata Zaid.
Dalam kenyataannya, Azam menafikan sebarang salah laku pegawai SPRM semasa serbuan.
Tei hari ini memberi amaran kepada SPRM supaya tidak cuba memadamkan rakaman CCTV.
"Saya di sini menegaskan dengan sekeras-kerasnya, jika dekoder CCTV itu dikembalikan dan didapati rosak terpadam, saya akan menuntut SPRM sampai lubang cacing," tambahnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
