- Iklan -
Berita

Peguam Tei pula dipanggil SPRM untuk soal siasat, Azam diingatkan jangan langgar undang-undang

Mahajoth Singh diarahkan hadir di SPRM pada pagi Ahad, tindakan yang dikecam kumpulan peguam sebagai melanggar undang-undang menjamin kerahsiaan berkait anak guam.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Mahajoth Singh sebelum ini meminta Azam Baki menarik diri daripada siasatan selepas dakwaan ketua SPRM itu turut terpalit dalam konspirasi melibatkan ahli perniagaan Albert Tei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan pembantunya Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Mahajoth Singh sebelum ini meminta Azam Baki menarik diri daripada siasatan selepas dakwaan ketua SPRM itu turut terpalit dalam konspirasi melibatkan ahli perniagaan Albert Tei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan pembantunya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencetuskan kontroversi baru apabila mengarahkan peguam kepada Albert Tei untuk hadir disoal siasat, dua hari selepas pegawai bertopeng dan bersenjata menyerbu rumah ahli pernigaan itu susulan pendedahan yang turut mendakwa ketua pesuruhjaya agensi itu terpalit dalam skandal rasuah dan konspirasi melibatkan Pejabat Perdana Menteri.

Malam tadi, Mahajoth Singh menerima notis mengarahkannya hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi hari ini untuk disoal siasat, tindakan yang dikecam oleh kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) sebagai menyalahi undang-undang.

"Apabila peguam boleh dipanggil, disoal siasat, dan dinafikan akses kepada pelanggan mereka sendiri tanpa alasan yang munasabah, maka perlindungan asas yang diberikan kepada setiap rakyat Malaysia akan terancam," kata pengarah LFL, Zaid Malek.

Mahajoth_MACC_NoticeLFL sebaliknya menggesa SPRM membatalkan notisnya kepada Mahajoth, dan menuntut penjelasan daripada Azam "atas percubaan tidak sah menyoal siasat dan menakut-nakutkan peguam Albert Tei".

Difahamkan Mahajoth tidak mematuhi notis tersebut.

Zaid, yang bergegas ke rumah Tei pada Jumaat lalu ketika sekumpulan pegawai SPRM yang lengkap bersenjata dan bertopeng memecah masuk dan menggari ahli perniagaan itu di hadapan isteri dan anak-anaknya, berkata Mahajoth tidak perlu mematuhi notis tersebut.

"Jika dia berbuat demikian, dia melanggar keistimewaan peguam dan anak guam. Oleh itu, dia tidak boleh menghadiri soal siasat," kata Zaid kepada MalaysiaNow.

Dalam kenyataannya, Zaid menyifatkan langkah menyoal siasat peguam Tei menunjukkan SPRM menjurus kepada tindakan tanpa kawalan undang-undang.

"Tindakan ini merupakan tekanan, intimidasi dan gangguan yang jelas terhadap peguam yang mewakili anak guamnya dalam kes jenayah.

"Seorang peguam mesti dibenarkan menasihati dan mewakili anak guamnya secara bebas dan tanpa rasa takut terhadap halangan atau intimidasi," katanya, sambil menambah tindakan memanggil Mahajoth merupakan pelanggaran hak kerahsiaan seperti yang termaktub dalam Akta SPRM 2009 dan Akta Keterangan.

Zaid Malek.
Zaid Malek.

Zaid mengingatkan SPRM bahawa mandatnya adalah untuk menyiasat kesalahan rasuah.

"Ia bukan untuk menyoal siasat peguam tentang perkara yang berada dalam lingkungan hak keistimewaan undang-undang. Perbuatan itu menjejaskan integriti proses penyiasatan dan melanggar prinsip asas kerahsiaan peguam dan anak guamnya, iaitu perlindungan asas dalam pengurusan keadilan.

"Tiada agensi penguatkuasaan mempunyai kuasa memaksa, atau cuba memaksa, peguam untuk mendedahkan perkara yang mereka dilarang mendedahkannya, baik dari segi undang-undang mahupun etika."

Pada 25 November, Tei – yang mendedahkan beberapa klip video memalitkan Ketua Menteri Sabah dan pengerusi GRS Hajiji Noor serta 14 ahli politik pemerintah dengan amalan rasuah – berkata beliau telah membelanjakan hampir RM630,000 untuk setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan harapan orang kuat Anwar itu membantunya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayarnya kepada beberapa ahli politik GRS. Pada hari sama, Shamsul meletakkan jawatan.

Tei turut menyertakan bukti untuk menyokong dakwaannya, termasuk video perbualan yang dirakam secara rahsia minggu lalu dengan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang dikenal pasti sebagai proksi Shamsul.

Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.
Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.

Dalam  video tersebut, Sofia bersetuju dengan cadangan Tei bahawa wang dan hadiah yang dibelanjakannya untuk Shamsul adalah sebagai habuan meminta bantuannya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayar kepada ahli politik dan Adun kerajaan Sabah.

Sofia berkata idea supaya Tei merakam video perbualan bersama 14 ahli politik kerajaan Sabah merupakan ilham Shamsul dan Anwar, sambil berkata Azam turut mengetahui rancangan itu.

Azam belum mengulas dakwaan tersebut.

Sofia, yang kini berada dalam tahanan SPRM bersama Shamsul dan Tei, menafikan semua yang diucapkan dalam klip yang dirakam Tei, sambil mendakwa ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Susulan pendedahan tersebut, Mahajoth menggesa Azam sama ada "meletak jawatan, menarik diri atau bercuti serta-merta".

"Apabila ketua agensi penyiasatan sendiri terlibat secara peribadi dalam dakwaan yang disiasat, agensi tersebut tidak lagi boleh menjalankan siasatan yang boleh dipercayai, yang tidak berat sebelah atau yang sah, selagi individu tersebut masih memegang jawatan," tambahnya.