- Iklan -
Berita

Drama di Puchong: Pegawai bertopeng dan bersenjata serbu rumah, tangkap Tei, bawa balik

Ia ketika Pejabat Perdana Menteri terpalit skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Albert Tei melaungkan slogan 'lawan tetap lawan' ketika dibawa keluar oleh beberapa lelaki bertopeng dan bersenjata di luar rumahnya di Puchong, Selangor, 28 Nov 2025.
Albert Tei melaungkan slogan 'lawan tetap lawan' ketika dibawa keluar oleh beberapa lelaki bertopeng dan bersenjata di luar rumahnya di Puchong, Selangor, 28 Nov 2025.

Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lengkap bersenjata dan berpakaian balaclava hari ini bertindak menyerbu kediaman Albert Tei di Puchong, Selangor, sebelum membawanya keluar sambil tangannya bergari.

Bagaimanapun, sejurus selepas itu, Tei dibawa kembali ke rumahnya, diiringi pasukan sama.

Peguam Zaid Malek yang bergegas ke tempat kejadian mengutuk tindakan itu, sambil berkata ia seolah-olah orang yang ditangkap itu adalah seorang pengganas.

"Setiba saya di rumahnya dan meminta untuk bertemu dengan anak guam saya, pegawai SPRM dan pegawai polis melarang saya masuk rumah atau bertemu anak guam saya.

"Tiada pegawai yang memperkenalkan diri mereka. Kegagalan untuk memperkenalkan diri adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang. 

"Mereka hanya bercakap dengan saya selepas saya mengambil gambar kejadian itu, malah bertindak tidak sah apabila meminta mengambil telefon saya dan melihat gambar yang saya ambil," katanya.

Pada kira-kira jam 12.50 tengah hari, Tei dibawa keluar dari rumahnya. Bagaimanapun, pegawai tidak menjawab Zaid yang berulang kali bertanya ke mana anak guamnya dibawa.

Terdahulu, ketika Tei dibawa keluar dari rumahnya, ahli perniagaan itu menjerit "Lawan Tetap Lawan", slogan yang satu masa dulu dipopularkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika memimpin gerakan reformasi susulan pemecatan dan penangkapannya pada 1998.

Zaid berkata apa yang berlaku hari ini merupakan pelanggaran hak perlembagaan Tei dalam mendapatkan proses sewajarnya.

"Haknya untuk mendapatkan peguam juga dinafikan.

"Amat mengejutkan seorang pemberi maklumat atau pemberi maklumat rasuah ditangkap," katanya.

"Apakah ini siasatan yang adil dan saksama seperti dijanjikan oleh Anwar Ibrahim dari pentas ceramah?"

Kekecohan hari ini berlaku ketika Anwar berdepan cabaran terbesar sejak mengambil alih kuasa, susulan pendedahan mengejutkan oleh Tei minggu ini mengenai rasuah peringkat tinggi membabitkan pejabatnya.

Shamsul Iskandar Md Akin bersama bosnya Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar Md Akin bersama bosnya Anwar Ibrahim.

Pada Selasa, Tei - yang mendedahkan beberapa klip video memalitkan Ketua Menteri Sabah dan pengerusi GRS Hajiji Noor serta 14 ahli politik pemerintah dengan amalan rasuah - berkata beliau telah membelanjakan hampir RM630,000 untuk setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan harapan orang kuat Anwar itu membantunya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayarnya kepada beberapa ahli politik GRS.

Shamsul meletak jawatan pada hari sama.

Tei turut menyertakan bukti untuk menyokong dakwaannya, termasuk video perbualan yang dirakam secara rahsia minggu lalu dengan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang dikenal pasti sebagai proksi Shamsul.

Dalam  video tersebut, Sofia bersetuju dengan cadangan Tei bahawa wang dan hadiah yang dibelanjakannya untuk Shamsul adalah sebagai habuan meminta bantuannya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayar kepada ahli politik dan Adun kerajaan Sabah.

Sofia berkata idea supaya Tei merakam video perbualan bersama 14 ahli politik kerajaan Sabah merupakan ilham Shamsul dan Anwar, sambil berkata Azam turut mengetahui rancangan itu.

Bagaimanapun, Sofia kemudian menafikan semua yang diucapkan dalam klip yang dirakam Tei, sambil mendakwa ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Semalam, Sofia diambil keterangannya di ibu pejabat SPRM.