Lagi video muncul, wanita dakwa Shamsul tandatangani surat sokongan 'atas arahan Anwar'
Ia merupakan video ketiga dalam siri rakaman perjumpaan ahli perniagaan Albert Tei bersama wanita bernama Sofia Rini Buyong.
Terkini
Sebuah lagi bahagian daripada rakaman video di tengah-tengah pendedahan skandal rasuah melibatkan peringkat tertinggi kerajaan kini muncul, kali ini mengandungi satu lagi dakwaan mengejutkan yang menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai orang yang mengarahkan setiausaha politiknya mengeluarkan surat sokongan kepada enam kontraktor untuk pembinaan sebuah projek hospital kerajaan.
Klip berdurasi dua minit itu dipercayai sebahagian daripada perbualan antara ahli perniagaan Albert Tei dan seorang wanita yang sebelum ini dikenal pasti sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang minggu lalu meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar dengan memberikan alasan terpalit dengan kontroversi surat sokongan itu.
Dalam klip yang mula tersebar tengah hari tadi, Sofia Rini Buyong kelihatan mempertahankan Shamsul, apabila mendakwa beliau diarahkan menandatangani pelbagai surat sokongan bagi pihak perdana menteri sejak Anwar mengambil alih kuasa.
Sofia: Masa first and second year Anwar naik, kan ramai minta surat sokongan daripada dia. Dia tak nak sign, dia suruh Shamsul sign. Meaning that 2023 dan 2024, semua Shamsul sign atas arahan boss.
Tei: Anwar arahkan dia sign?
Sofia: Ya.
Tei: Siapa yang bagitahu? Shamsul?
Sofia: Memang pun.
Tei: Shamsul sendiri bagitahu?
Sofia: Ya. Dia sendiri cerita dengan I. Dia cakap, masa first and second year, setiap kali orang minta surat (sokongan), dia akan panggil. 'Shamsul, you buat satu surat proper, untuk projek ini ni ni...
Tei: Anwar panggil dia?
Sofia: Yalah, panggil. Lepas tu dia suruh dia sign.
Bagaimanapun, Sofia mendakwa mengeluarkan surat seperti itu bukan satu kesalahan kerana merupakan "prosedur standard".
Tei kemudian mencadangkan bahawa tindakan itu pasti menjadikan Shamsul "kaya raya".
"Mana ada? Saya tanya dia, dia kata benda atas arahan bos. Bos yang suruh. Dia tak dapat apa-apa pun," jawab Sofia dalam video bertarikh 21 November itu.
Petikan rakaman itu merupakan klip pertama didedahkan sejak Tei diberkas dengan penuh drama pada 28 November oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lengkap bersenjata dan bertopeng.
Sebelum ini, dua klip dinaikkan minggu lalu tertumpu pada dakwaan Sofia yang mengesahkan kepada Tei mengenai pemberian hadiah dan wang tunai bernilai RM630,000 kepada Shamsul, di samping menamakan Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai individu yang terpalit dalam rancangan merakam secara rahsia beberapa ahli politik kerajaan Sabah mengaku menerima sogokan sebagai pertukaran meluluskan lesen mineral.
Video-video itu didedahkan Tei sejak akhir tahun lalu.
Pada 25 November, Tei tampil dengan dakwaan idea membuat rakaman itu datang daripada Shamsul dengan persetujuan Anwar.
Menurutnya, beliau menghubungi Shamsul dengan harapan dapat membantu berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayarnya kepada 15 ahli politik di negeri itu.
Sejak skandal terbaru menyelubungi Pejabat Perdana Menteri itu, Shamsul telah meletak jawatan, manakala Sofia pula menafikan semua kenyataan yang diakuinya dalam rakaman perjumpaannya bersama Tei.
Shamsul, Sofia dan Tei kini masih berada dalam tahanan berkait siasatan SPRM terhadap pendedahan itu.
Bagaimanapun, siasatan itu berdepan kritikan disebabkan tuduhan bahawa Azam turut terpalit dalam komplot merakam ahli politik Sabah, di mana peguam dan aktivis anti-rasuah menggesa beliau sama ada meletak jawatan daripada SPRM atau mengambil cuti untuk mengelak konflik kepentingan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
