- Iklan -
Berita

Azam terpalit, tak layak siasat, kata peguam selepas tular video kedua skandal PMO

Ia selepas kemunculan video kedua menunjukkan wanita dikaitkan kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa ketua SPRM itu sedia maklum rancangan perdana menteri merakam video ahli politik Sabah berbincang rasuah.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.
Pendedahan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam skandal rasuah terbesar sejak beberapa tahun.

Peguam mewakili lelaki di sebalik pendedahan mengejutkan mengenai rasuah dan percubaan memeras yang turut mengaitkan nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini memberi amaran bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai apa-apa kredibiliti melainkan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, meletak jawatan.

Ia susulan satu lagi klip muncul mendakwa Azam mengetahui wujudnya sebuah konspirasi yang dikatakan dirancang Anwar bersama orang kuatnya Shamsul Iskandar Mohd Akin, di mana ahli perniagaan Albert Tei diminta merakamkan secara rahsia beberapa video menunjukkan ahli politik Sabah membuat pengakuan menerima rasuah sebagai habuan meluluskan lesen mineral dan projek kerajaan negeri.

"Selagi Azam Baki masih memegang jawatan, SPRM tidak boleh menyiasat dakwaan ini secara sah atau secara kredibel. Sebarang siasatan akan tercemar dari segi asasnya, dipersoalkan dari segi undang-undang, dan bertentangan dengan matlamat keadilan dan kepercayaan awam," kata peguam Tei, Mahajoth Singh.

Katanya, Azam harus sama ada "meletak jawatan, menarik diri atau bercuti serta-merta", sambil menambah bahawa sebuah pasukan yang bebas dan tidak berat sebelah perlu dilantik menyiasat dakwaan Tei.

"Ini bukan soal pendapat atau politik. Ini soal undang-undang," kata Mahajoth.

Pada Selasa, Tei, lelaki di sebalik himpunan klip video yang memalit Ketua Menteri Sabah dan pengerusi GRS, Hajiji Noor di samping 14 ahli politik pemerintah lain dengan amalan rasuah, mendakwa dia telah membelanjakan hampir RM630,000 untuk Shamsul dengan harapan setiausaha politik Anwar itu akan berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayarnya kepada beberapa ahli politik GRS.

Tei berkata antara yang dibelanjakan untuk Shamsul termasuk kos pengubahsuaian rumah, hadiah mewah, tempahan sut, kelengkapan dan perabot untuk dua rumah serta wang tunai berjumlah kira-kira RM350,000.

Tei turut menyertakan bukti untuk menyokong dakwaannya, termasuk video perbualan yang dirakam secara rahsia minggu lalu dengan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang dikenal pasti sebagai proksi Shamsul.

Dalam  video tersebut, Sofia bersetuju dengan cadangan Tei bahawa wang dan hadiah yang dibelanjakannya untuk Shamsul adalah sebagai habuan meminta bantuannya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayar kepada ahli politik dan Adun kerajaan Sabah.

Sofia berkata idea supaya Tei merakam video perbualan bersama 14 ahli politik kerajaan Sabah merupakan ilham Shamsul dan Anwar, sambil berkata ia sebagai jaminan kepada perdana menteri bagi memastikan mereka akan kekal setia kepadanya.

Semalam, bahagian kedua daripada video Sofia menunjukkan wanita itu mengaku bahawa Azam turut mengetahui rancangan tersebut, di samping berkata Shamsul telah berbincang dengan Azam mengenainya.

Bagaimanapun, Sofia muncul sekali lagi dalam sebuah video baharu untuk menafikan semua yang diucapkan dalam klip yang dirakam Tei, sambil mendakwa ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Mahajoth Singh.
Mahajoth Singh.

Mahajoth berkata video kedua yang mendakwa penglibatan Azam dalam skandal tersebut bermakna siasatan SPRM "tercemar" dan akan "dipersoalkan dari segi undang-undang".

"Apabila ketua agensi penyiasatan sendiri terlibat secara peribadi dalam dakwaan yang disiasat, agensi tersebut tidak lagi boleh menjalankan siasatan yang boleh dipercayai, yang tidak berat sebelah atau yang sah, selagi individu tersebut masih memegang jawatan," tambahnya.

Semalam, Azam, yang tempoh perkhidmatannya di SPRM dilanjutkan tiga kali di bawah pentadbiran Anwar, menjadi sasaran kritikan selepas beliau menyifatkan dakwaan Tei adalah "tohmahan".

Sejak Disember tahun lalu, Tei mula mendedahkan beberapa klip video melalui portal Malaysiakini, melibatkan Adun dan menteri kanan Sabah serta seorang speaker Dewan Undangan Negeri.

Susulan itu, aktivis anti-rasuah menggesa Azam dan SPRM memulakan siasatan, sambil berkata Tei perlu diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat atas kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.

Bagaimanapun, Anwar menolak permohonan Tei untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Azam yang pada mulanya enggan menyiasat dakwaan Tei dengan alasan video tersebut disunting, kemudian dicabar memulakan siasatan selepas fail video asal diserahkan kepada SPRM.

Pada Jun, SPRM akhirnya mendakwa Tei dan dua Adun Sabah dengan tuduhan menerima dan menawarkan rasuah.

Aktivis dan peguam bagaimanapun membidas SPRM kerana menyasarkan "ikan bilis" dan bukan "jerung" lain dilihat dalam video-video yang didedahkannya.