Wanita dikaitkan dengan setpol PM dakwa Anwar dalang rakam video skandal rasuah Sabah
Klip menunjukkan individu dikenal pasti sebagai 'proksi' kepada Shamsul Iskandar Md Akin dalam sebuah perbualan dengan ahli perniagaan yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah.
Terkini
Sebuah klip mula tersebar menunjukkan seorang wanita yang dikenal pasti sebagai "proksi" kepada setiausaha politik Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin, membuat beberapa pengakuan mengejutkan, termasuk dakwaan bahawa perdana menteri sendiri merestui tindakan merakam beberapa ahli politik Sabah berbincang sogokan wang untuk mengeluarkan lesen perlombongan di mineral di negeri itu.
Klip bertarikh 21 Nov itu dirakam Albert Tei, ahli perniagaan di sebalik siri rakaman video yang melibatkan 14 ahli politik kerajaan Sabah, yang memalitkan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri Hajiji Noor dengan skandal rasuah terbesar di negeri itu.
Dalam klip berdurasi enam minit itu, wanita itu kedengaran mengesahkan kepada Tei, sambil mengakui idea merakam secara rahsia beberapa video yang didedahkannya tahun lalu datangnya dari Shamsul dan direstui Anwar.
Wanita tersebut turut bersetuju dengan cadangan Tei bahawa Anwar adalah "pemenang terbesar" daripada pendedahan video-video tersebut.
Klip video perbualan wanita itu dengan Tei mula dinaikkan tidak lama selepas Shamsul mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar hari ini, dengan mendakwa keputusan itu dibuat kerana "ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani".
Pada masa sama, portal Malaysiakini menerbitkan beberapa pendedahan terbaru Tei, termasuk dakwaan beliau membelanjakan hampir RM630,000 untuk Shamsul dengan harapan orang kuat Anwar itu akan membantunya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar Tei kepada beberapa ahli politik GRS.
Menurut laporan itu, Tei mendakwa beliau membayar kos pengubahsuaian dan pelbagai kelengkapan untuk dua buah rumah, satu di Bangsar dan satu lagi di kediaman rasmi Shamsul di Putrajaya.
Antara barangan yang dihadiahkan Tei kepada Shamsul ialah cerut mahal dan tempahan beberapa sut.
Laporan itu menambah, antara November 2023 dan Oktober 2024, Tei mendakwa telah memberikan wang tunai berjumlah RM350,000 kepada Shamsul.
Dakwaan itu sekali lagi timbul dalam video memaparkan wanita itu, yang bersetuju dengan cadangan Tei bahawa wang tunai RM20,000 telah diserahkan di sebuah kafe cerut di Kota Kinabalu, RM100,000 lagi di Hotel Majestic di Kuala Lumpur, di samping beberapa hantaran tunai lain.
Sementara itu, dalam mengumumkan peletakan jawatannya hari ini, Shamsul berikrar untuk mempertahankan dirinya.
MalaysiaNow telah menghubungi Shamsul dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan reaksi mereka.
Tei mula mengeluarkan beberapa klip video melalui Malaysiakini sejak Disember tahun lepas, melibatkan ahli dewan undangan negeri, menteri kanan Sabah, dan seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
Susulan itu, aktivis anti-rasuah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan, sambil berkata Tei perlu diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat atas kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.
Berikutan pendedahan video-video tersebut, Anwar menolak permohonan Tei untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Pada Jun, SPRM akhirnya mendakwa Tei dan dua Adun Sabah dengan tuduhan menerima dan menawarkan rasuah.
Tei, aktivis dan peguam telah membidas SPRM kerana menyasarkan "ikan bilis" dan bukan "jerung" lain dilihat dalam video-video yang didedahkannya.
Pendedahan terbaru Tei hari ini berlaku selang beberapa hari kontroversi Shamsul menulis surat sokongan kepada syarikat yang membida projek pembinaan hospital.
Bagaimanapun, Anwar menolak gesaan menyiasat pembantunya, sebaliknya berkata beliau telah memberikan "teguran keras" kepada Shamsul.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
