- Iklan -
Berita

Azam Baki anggap pendedahan rasuah libatkan orang kuat Anwar sebagai 'tohmahan'

Ia mengundang kritikan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu yang tempoh jawatannya dilanjutkan tiga kali oleh pentadbiran Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Selepas pelbagai tekanan dan gesaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata ia akan menyiasat Shamsul Iskandar Md Akin, bekas setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim yang kini terpalit antara skandal rasuah paling serius melibatkan Pejabat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhajaya SPRM Azam Baki menggunakan istilah "tohmahan" dalam kenyataannya, mengundang pelbagai kritikan awam.

SPRM_shamsuliskandar"Tohmahan? Macam pelik je ayat tu," tulis Mohd Asri Zaidan, antara ratusan komen yang melahirkan rasa terkilan dengan penggunaan istilah tersebut.

Sebelum ini, istilah "tohmahan" turut digunakan Azam ketika merujuk dakwaan membabitkan seorang lagi bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador, yang dilaporkan MalaysiaNow menerima kelulusan lesen cari gali mineral di Sabah di sebuah kawasan tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya hari ini, Azam yang tempoh jawatannya di SPRM dilanjutkan tiga kali oleh pentadbiran Anwar, mengingatkan orang ramai supaya "tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini".

Semalam, ahli perniagaan Albert Tei, yang sebelum ini membongkar skandal rasuah melibatkan 14 wakil rakyat kerajaan Sabah melalui bukti video, melakukan kejutan apabila mendedahkan beliau membelanjakan hampir RM630,000 untuk Shamsul dengan harapan orang kuat Anwar itu akan membantunya berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar Tei kepada beberapa ahli politik GRS.

Tei mendakwa beliau membayar kos pengubahsuaian dan pelbagai kelengkapan untuk dua buah rumah, satu di Bangsar dan satu lagi di kediaman rasmi Shamsul di Putrajaya.

Antara barangan yang dihadiahkan Tei kepada Shamsul ialah cerut mahal dan  tempahan beberapa sut.

Laporan itu menambah, antara November 2023 dan Oktober 2024, Tei mendakwa telah memberikan wang tunai berjumlah RM350,000 kepada Shamsul.

Dipercayai Tei turut menyertakan kesemua pembelian dan transaksi tunai dengan bukti dokumen dan gambar.

Dakwaan Tei itu dipersetujui oleh seorang wanita yang dipercayai pembantu kepada Shamsul.

Dalam video yang dirakamkan secara rahsia dan kini tular, wanita itu bersetuju dengan cadangan Tei bahawa beliau beberapa kali menyalurkan wang tunai kepada Shamsul, dengan menyebut amaun, masa dan tempat ia diserahkan.

Shamsul Iskandar Md Akin bersama bosnya Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar Md Akin bersama bosnya Anwar Ibrahim.

Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya semalam.

Tei merupakan orang yang mengeluarkan beberapa klip video melalui portal Malaysiakini sejak Disember tahun lepas, melibatkan ahli dewan undangan negeri, menteri kanan Sabah, dan seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Susulan itu, aktivis anti-rasuah menggesa Azam dan SPRM memulakan siasatan, sambil berkata Tei perlu diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat atas kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.

Berikutan pendedahan video-video tersebut, Anwar menolak permohonan Tei untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Azam yang pada mulanya enggan menyiasat dakwaan Tei dengan alasan video tersebut disunting, kemudian dicabar memulakan siasatan selepas fail video asal diserahkan kepada SPRM.

Pada Jun, SPRM akhirnya mendakwa Tei dan dua Adun Sabah dengan tuduhan menerima dan menawarkan rasuah.

Aktivis dan peguam bagaimanapun membidas SPRM kerana menyasarkan "ikan bilis" dan bukan "jerung" lain dilihat dalam video-video yang didedahkannya.