- Iklan -
Berita

'Tulis surat sopan tarik balik jemputan': Tokoh pemikir beri 3 sebab Anwar perlu batal lawatan Trump

Antaranya, kata Chandra Muzaffar, ialah Donald Trump merupakan salah satu daripada dua pelaku utama genosid di Gaza.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Dr Chandra Muzaffar berkata biarpun Anwar Ibrahim berdepan situasi sukar, beliau tidak ada pilihan melainkan mengutus surat kepada Donald Trump untuk tidak melawat Malaysia.
Dr Chandra Muzaffar berkata biarpun Anwar Ibrahim berdepan situasi sukar, beliau tidak ada pilihan melainkan mengutus surat kepada Donald Trump untuk tidak melawat Malaysia.

Tokoh pemikir dan aktivis terkemuka Chandra Muzaffar telah menyertai desakan yang semakin lantang supaya Anwar Ibrahim membatalkan jemputan kepada Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean, sambil berkata terdapat alasan kukuh mengapa perdana menteri perlu mengutus sepucuk surat yang sopan untuk menarik balik pelawaan kepada presiden Amerika Syarikat itu.

Ia ketika Kuala Lumpur menyaksikan perhimpunan hampir setiap hari terhadap AS dan Israel, didorong bukan sahaja oleh kemarahan terhadap penahanan peserta Malaysia dalam Global Sumud Flotilla, tetapi juga oleh persediaan kerajaan membentangkan permaidani merah kepada Trump akhir bulan ini.

Kerajaan semenjak beberapa hari telah pun memulakan kempen menerusi media yang menampilkan pemimpin politik, kumpulan perniagaan malah agamawan rasmi cuba berhujah mempertahankan jemputan kepada presiden AS yang terkenal dengan pendirian pro-Israel itu.

Penyokong kerajaan mendakwa kehadiran Trump tidak dapat dielakkan kerana peranan Washington sebagai rakan dialog dalam Asean, blok yang kini dipengerusikan Malaysia.

Chandra, salah seorang arkitek utama gerakan reformasi Anwar dan pemimpin Pertubuhan Pergerakan Keadilan Sedunia (Just) yang selama berdekad menggerakkan solidariti menentang Israel, mengakui "situasi sukar" yang dihadapi perdana menteri.

"Namun begitu, Presiden Trump sangat terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang berterusan, sehinggakan apa-apa sikap positif yang ditunjukkan kepadanya, walaupun cuma simbolik, akan dianggap sesuatu yang jijik oleh sebahagian besar rakyat Malaysia," katanya kepada MalaysiaNow.

Chandra memberikan tiga sebab mengapa bantahan meluas terhadap lawatan Trump adalah wajar, bermula dengan penglibatan AS melalui sokongan ketenteraan, kewangan dan diplomatik dalam kempen genosid Israel di Gaza.

Katanya, di bawah Trump, Washington, selain Israel, merupakan pelaku utama "pembunuhan beramai-ramai yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan sejak awal Oktober 2023".

Netanyahu_Trump"Dalam kata lain, tanpa penglibatan Trump, tidak akan berlaku pembunuhan beramai-ramai. Perlu ditekankan bahawa daripada 66,000 nyawa yang terkorban, 20,000 adalah kanak-kanak.

"Apakah Malaysia patut menjadi tuan rumah kepada seorang manusia yang mempunyai rekod yang kejam dan tidak berhati perut?" soalnya.

Chandra berkata Trump tidak pernah menegur kerajaan Israel mahupun Benjamin Netanyahu secara terbuka atas kekejaman mereka terhadap rakyat Palestin.

"Seorang pemimpin yang sangat tidak mempunyai rasa belas kasihan tidak boleh diraikan di mana-mana pun di dunia!" katanya.

Chandra berkata selain daripada dua alasan itu, Trump jika dibandingkan dengan beberapa presiden lain "sama sekali jahil mengenai perjuangan rakyat Palestin menuntut keadilan".

“Beliau langsung tidak tahu hubungan mereka dengan tanah pusaka mereka, budaya mereka yang lama bertapak sebelum kedatangan Yahudi, Kristian dan Islam ke wilayah itu, dan sejarah masyarakat Yahudi, Kristian dan Islam yang hidup bersama pada masa silam, di samping bagaimana identiti Palestin berkembang dari semasa ke semasa.

"Mengapa Kuala Lumpur dan Asean perlu mendakap seorang pemimpin jahil yang pada masa sama tidak mempunyai sedikit pun rasa empati terhadap perjuangan Palestin?

"Berdasarkan semua alasan ini dan lain-lain, kami menggesa Anwar mengutus surat memaklumkan Trump dengan sopan dan hemah bahawa jemputan untuk hadir Sidang Kemuncak Asean ditarik balik," tambahnya.

Kerajaan berulang kali mempertahankan jemputan kepada Trump di sebalik bantahan aktivis dan penyokong pro-Palestin.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata jemputan kepada Trump bukan dalam konteks hubungan dua hala dengan Malaysia sebaliknya kerana AS merupakan rakan dialog Asean.

Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.
Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.

"Ini jemputan kepada semua ketua negara. Ini bukan jemputan dua hala biasa. Sebaliknya, ini jemputan Asean, bukan jemputan Malaysia. Kita sebagai pengerusi Asean tahun ini kita jemput Trump. Tak boleh tak jemput itu. Itu bukan politik yang baik. Kita kena uruskan Asean ini dengan mengamalkan dasar berkecuali," kata Mohamad.

Alasan itu ditolak peguam terkemuka Rafique Rashid, yang mengingatkan bahawa prinsip Asean adalah mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan hak untuk menentang penjajah.

"Kalau itulah (prinsip) Malaysia dan itulah Asean, tolak kehadiran Trump di Malaysia,” katanya pada perhimpunan menyokong Palestin semalam.

Rafique turut memberi amaran kerajaan akan menggerakkan kempen media dengan membawa naratif bahawa Trump dijemput Asean, ketika Kuala Lumpur terus menyaksikan siri perhimpunan anti-Trump dan anti-Israel sejak minggu lalu.

“Dalam masa satu dua hari ini, media dan propaganda kerajaan akan memainkan kononnya jemputan itu adalah atas semangat Asean,” tambahnya.

Minggu lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menjadi sasaran kecaman umat Islam dan penyokong Palestin selepas cuba mempertahankan rancangan Anwar meraikan Trump.

Fauwaz mendakwa mereka yang membantah kehadiran Trump dipengaruhi "emosi" dan "sentimen radikal", sambil menambah umat Islam seharusnya menyambutnya selaras dengan prinsip maqasid syariah untuk memelihara keamanan.

Kenyataan itu mendapat kecaman serta-merta sebuah pertubuhan Islam.

"Tiada pengkhianatan yang lebih besar kepada perjuangan Palestin daripada menyambut sekutu terbesar penindas mereka ke negara kita," kata pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa, yang menyifatkan Trump sebagai "watak syaitan" dan sekutu terbesar Israel.