- Iklan -
Berita

Selepas UM sekat himpunan bantah Israel, pelajar berkumpul di PMO gesa Anwar batal jemputan Trump

Ia di sebalik percubaan kerajaan mempertahankan jemputan kepada presiden AS itu yang mengundang kemarahan orang ramai.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar berarak di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membantah jemputan kepada Donald Trump, pada 7 Oktober 2025.
Pelajar berarak di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membantah jemputan kepada Donald Trump, pada 7 Oktober 2025.

Sekumpulan pelajar hari ini berarak sambil melaungkan pelbagai slogan di perkarangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya, menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump.

Ia menyaksikan penyertaan pelajar berbilang kaum mewakili beberapa universiti tempatan, dianjurkan oleh Sekretariat Bantah Trump, sebuah gabungan pro-Palestin yang menganjurkan siri protes dan flash mob di luar kedutaan Amerika Syarikat dan beberapa tempat lain di Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu.

Protes hari ini diadakan sehari selepas Universiti Malaya (UM) menyekat sekumpulan pelajar mengadakan himpunan bantah Israel di dalam kampus, mencetuskan kemarahan kepada pihak pentadbiran universiti yang sebelum ini pernah dikecam kerana menjemput seorang penceramah pro-Zionis ke sebuah forum anjuran UM tahun lepas.

Pelajar hari ini berarak di luar kompleks PMO sambil memukul gendang dan melaungkan slogan, serta membawa pelbagai sepanduk mengutuk Trump dan Israel.

Beberapa wakil kemudian memasuki bangunan untuk menyerahkan memorandum yang antara lain menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan jemputan kepada Trump, dan juga agar kerajaan Malaysia menolak sebarang pelaburan yang dikaitkan dengan Israel.

Kumpulan itu merancang beberapa protes dalam beberapa hari akan datang, termasuk konvoi, flash mob, dan perhimpunan "Dump Trump" yang dijadualkan di Ampark Park, Kuala Lumpur pada 26 Oktober, iaitu hari Trump dijangka tiba.

Anwar kini berdepan tekanan membatalkan jemputan kepada presiden AS itu menghadiri Sidang Kemuncak Asean akhir bulan ini.

Pentadbirannya bagaimanapun dilihat cuba menggunakan ahli politik, kumpulan perniagaan malah agamawan lantikan kerajaan untuk mewajarkan langkah menjemput Trump.

Minggu lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menjadi sasaran kecaman umat Islam dan penyokong Palestin selepas menuduh mereka yang membantah kehadiran Trump dipengaruhi "emosi dan sentimen radikal".

Kenyataan itu mendapat kecaman serta-merta sebuah pertubuhan Islam.

"Tiada pengkhianatan yang lebih besar kepada perjuangan Palestin daripada menyambut sekutu terbesar penindas mereka ke negara kita," kata pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa, yang menyifatkan Trump sebagai "watak syaitan" dan sekutu terbesar Israel.

Kerajaan berkata kehadiran Trump tidak dapat dielakkan memandangkan Washington adalah rakan dialog Asean, blok yang kini dipengerusikan oleh Malaysia.

Bagaimanapun, tokoh pemikir Chandra Muzaffar berkata walaupun beliau memahami "situasi sukar" dihadapi Anwar, perdana menteri tidak mempunyai pilihan selain "mengutus surat memaklumkan Trump dengan sopan dan hemah bahawa jemputan untuk hadir Sidang Kemuncak Asean ditarik balik".

"Presiden Trump sangat terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang berterusan, sehinggakan apa-apa sikap positif yang ditunjukkan kepadanya, walaupun cuma simbolik, akan dianggap sesuatu yang jijik oleh sebahagian besar rakyat Malaysia," katanya kepada MalaysiaNow.