Tunku, Trump dan alasan Anwar normalisasi pemikiran rakyat
Jauh panggang dari api apabila membuat perbandingan Tunku Abdul Rahman berunding kemerdekaan dengan langkah menjemput Donald Trump.
Terkini
Terkini alasan keperluan menjemput Donald Trump dikaitkan dengan kemerdekaan negara.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merangkap pengerusi Asean, menekankan keperluan rundingan dengan Trump sebagai langkah terbaik mencapai penyelesaian konflik Palestin-Israel.
Diselitkan bahawa kita perlu belajar dari Tunku Abdul Rahman yang berunding dengan penjajah British hingga berjaya capai status negara merdeka. Jauh panggang dari api. Apples and oranges. Perbandingan yang tidak sesuai.
Rundingan pada waktu itu adalah satu kewajipan. Itu cara kita capai kedaulatan, bukan melalui senjata, tetapi dengan langkah bijaksana meja bulat. Lagipun, Tanah Melayu milik orangnya.
Trump pula adalah ketua negara yang mana kerajaannya bersekongkol dengan Zionis Israel, dengan peruntukan diluluskan oleh Amerika Syarikat bagi membantu aset ketenteraan (baca sebagai penaja genosida) kepada Israel.
Kuasa veto digunakan Amerika Syarikat hampir setiap kali mematahkan resolusi gencatan senjata yang ingin dicapai di PBB.
Syarikat-syarikat konglomerat serta kapitalis Amerika Syarikat menjadi pembekal utama mesin-mesin perang kepada Zionis Israel.
Rakyat Amerika sendiri mencemuh presiden mereka kerana terlibat dalam membantu menjaga kepentingan rejim Zionis Israel.
Memberi alasan demi alasan mengapa jemputan pada Trump mesti diteruskan adalah cubaan normalisasi pemikiran rakyat Malaysia.
Malaysia negara berdaulat yang mesti berani mempertahankan hak negara lain yang ditindas. Kalau alasan utama adalah keperluan rundingan, maka kini nampaknya telah ada usaha damai yang dipersetujui antara semua pihak, maka tiada lagi keperluan untuk menyatakan pendirian Malaysia.
Lagipun, bukankah pendirian Malaysia sentiasa jelas: Palestin berhak merdeka dan Israel tidak diperakui kewujudannya.
Oleh itu, beranikah perdana menteri merangkap pengerusi Asean gulung balik tikar merah untuk sesi pujian berikutnya pula? Maklumlah, Axiata Arena sentiasa menanti bagi upacara-upacara sebegitu.
Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
