Keluarkan jentolak, kami sedia runding cari keadilan, kata penduduk Kg Sungai Baru selepas dihalau pemaju
PM Anwar Ibrahim turut diingatkan janji reformasi, dan oleh itu perlu campur tangan memastikan rakyat bawahan dibela.
Terkini
Penduduk Kampung Sungai Baru di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang hilang tempat kediaman mereka semalam bersetuju dengan langkah kerajaan mencari jalan penyelesaian kemelut tersebut, dan bersedia mengadakan perbincangan serta-merta dengan mana-mana wakil yang dilantik.
Peguam mewakili penduduk, N Surendran, turut mengulangi pendiriannya sebelum ini supaya pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku semalam dan segera campur tangan bagi membela nasib penduduk.
"Campurtangan kerajaan adalah kritikal. Kerajaan tidak boleh kata ini antara pemaju dan penduduk. Tak boleh! Kerana kuasa kerajaan yang digunakan untuk mengambil tanah. Sebab itu kerajaan bertanggungjawab," kata Surendran pada sidang media yang diadakan di luar rumah milik Zainab Alias, salah seorang penduduk terkesan yang juga pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan wakil kerajaan akan dihantar membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Surendran yang juga penasihat jawatankuasa itu menyambut baik usaha itu, tetapi menegaskan apa-apa perbincangan dengan penduduk perlu dilakukan secara terus dengan kerajaan.
"Satu negara dah tengok semalam, masalah besar di Kampung Sungai Baru," katanya.
Surendran berkata sebarang rundingan akan hanya berkesan sekiranya operasi perobohan dihentikan.
"Kami sedia berbincang dengan wakil kerajaan seperti yang dinyatakan TPM. Tetapi bagaimana mungkin perbincangan yang baik boleh berlaku sedangkan dalam masa sama jentolak dikerah ke pintu rumah penduduk?"
Menurutnya, kerajaan tidak boleh melepaskan tangan dengan alasan ia melibatkan penduduk dan syarikat pemaju kerana tindakan pengusiran dilakukan berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang sekian lama dibantah pelbagai pihak sebagai zalim.
"Tanah milik tuan punya tanah telah diambil menggunakan undang-undang drastik dengan pampasan yang amat rendah yang tidak mencerminkan harga pasaran, walaupun tidak minta pampasan, dan mereka juga tidak menjadi sebahagian daripada pembangunan tersebut."
Surendran, yang juga bekas naib presiden PKR dan bekas peguam Anwar, mengingatkan kerajaan yang berkali-kali mengaku berpegang kepada konsep reformasi dan kebaikan kepada rakyat.
"Saya sendiri pernah bersama dengan PM hari ini, dalam penjara dan jalan raya dan sebagainya. Berkali-kali beliau kata tentang hak rakyat. Mana mungkin kerajaan ini tidak mendengar keluhan penduduk Sungai Baru? Ini saya tidak dapat terima."
'Akta bawa sengsara'
Surendran berkata Seksyen 13(1c) Akta Pengambilan Tanah telah menyebabkan "kesakitan dan kesengsaraan" kepada rakyat.
Katanya, pembangunan yang dicadangkan di tapak itu sebahagian besar adalah pusat beli belah dan bangunan komersial yang mewah.
"Hanya sebahagian daripada kawasan itu adalah kondo untuk rakyat Kampung Sungai Baru duduk sana.
"Jangan lupa, ramai penduduk di sini mempunyai landed property, rumah atas tanah. Jadi mereka sekarang akan dimasukkan ke dalam kondo. Adakah ini adil?"
Surendran berkata kerajaan tidak boleh menyalahkan penduduk kampung.
“Tanah ini diambil secara paksa dan prosedur yang salah dikenakan ke atas rakyat Malaysia. Apa yang kami kesal banyak tohmahan sedangkan penduduk dianiayai dengan akta tersebut. Jika tidak, masalah ini tidak akan timbul.
“Sebab itu saya ingin bertanya kepada menteri kabinet, adakah mereka rela jika tanah sendiri diambil menggunakan akta ini?"
Perobohan tak ikut undang-undang
Operasi pengosongan rumah teres dan unit flat di Kampung Sungai Baru semalam menyaksikan kehadiran luar biasa lebih 300 anggota polis lengkap dengan trak kawalan rusuhan.
Sejak awal pagi, penduduk cuba menghalang pekerja kontrak dan penguatkuasa memasuki rumah mereka.
Suasana bertukar tegang apabila berlaku tolak-menolak di hadapan rumah yang disasarkan. Dalam kekecohan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala manakala beberapa orang awam mengalami kecederaan ringan.
Surendran mempersoalkan dakwaan polis yang operasi semalam dijalankan mengikut undang-undang.
Ini kerana, polis sebagai penguatkuasa hanya bertugas sebagai pemantau, manakala pemaju bersama bailif mahkamah yang boleh melaksanakan pengosongan.
"Pihak berkuasa tidak boleh bertindak seolah-olah mereka jurucakap pemaju. Tugas mereka hanya memastikan ketenteraman awam, bukan menghalalkan operasi yang jelas menindas,” katanya.
'Wakil rakyat, anda semua di mana?'
Pada sidang media yang sama, penduduk Rafidah Ibrahim, antara aktivis yang lantang membantah usaha pengusiran, tidak dapat menahan emosi apabila menceritakan bagaimana ahli politik dan pihak berkuasa membiarkan penduduk berjuang bersendirian.
"Kita hantar laporan kepada Suhakam yang menjaga hak asasi manusia. Mana Suhakam?
"Mana wakil rakyat kami yang jaga Kampung Sungai Baru? Mana pihak berkuasa? Kau orang semua bersama rakyat atau tidak. Seolah-olah kami di Kampung Sungai Baru ini diasingkan.
"Sama ada pihak berkuasa, atau tidak ada kuasa, tak ada bersama kami. Anda semua di mana?" kata Rafidah.
Sementara itu, Zainab menolak dakwaan penduduk menerima pampasan berjuta-juta ringgit daripada pemaju.
Menjelaskan perkara itu, Zainab berkata unit flat hanya dibayar sekitar RM448,000, manakala pemilik rumah teres hanya menerima janji lisan kononnya akan diganti dengan beberapa unit kondominium tanpa sebarang tawaran hitam putih.
"Mereka janji, kalau rumah teres bahagian tengah, dapat tiga pintu. Kalau rumah teres bahagian tepi, terpulang kepada keluasan, 5-7 pintu. Secara lisan saja, hearsay saja," katanya.
"Saya pun tak dapat RM3.8 juta. Rumah saya dua tingkat, 4,000 kaki persegi. Kalau di Putrajaya, rumah yang tak sampai 4,000 kaki persegi pun, saya perlu bayar hampir RM1.7 juta.
Katanya penduduk sepertinya telah lama bertapak di Kampung Sungai Baru.
"Kampung saya sini, kampung kelahiran saya di sini. Datuk nenek moyang saya di sini. Kubur Ampang itu ialah kubur datuk nenek saya. Apa perlunya saya pindah ke tempat lain? Tanah tumpah darah saya, tali pusat saya ditanam di sini. Saya tak pandang duit yang pemaju bagi,” tambah Zainab.
Penduduk sebelum ini menampilkan dokumen dikeluarkan pada 1932 oleh Residen Selangor, yang jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu atau MAS, status di bawah pentadbiran kolonial British yang memberikannya perlindungan dan syarat ketat daripada sebarang pengambil alihan tanah.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
