Anwar digesa tunaikan janji, dedah laporan siasatan skandal saham Azam
Putrajaya arahkan KSN ambil tindakan tetapi tidak mengumumkan hasil siasatan skandal pegangan saham ketua SPRM itu.
Terkini
Sebuah badan pemantau anti-rasuah mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menunaikan janjinya memastikan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dijalankan secara telus.
Malaysians Against Government and Institutional Corruption (Magic) memberi amaran bahawa dengan tidak mengumumkan penemuan laporan itu, Putrajaya memungkiri janji bahawa siasatan terhadap Azam akan dijalankan dengan telus.
"Pada 3 Mac, Anwar memberi jaminan di Parlimen bahawa perkara itu akan ditangani dengan telus dan proses yang sewajarnya akan diguna pakai.
"Namun kini, walaupun selepas pengesahan laporan siasatan sudah siap dan disemak di peringkat Kabinet, orang ramai masih tidak tahu penemuannya," kata pengasas Magic, Mahajoth Singh.
Semalam, kerajaan mengesahkan menerima laporan daripada jawatankuasa siasatan dipengerusikan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokthar, tetapi tidak mengumumkan penemuannya mengenai pendedahan bahawa Azam melanggar pekeliling kerajaan kepada penjawat awam dengan pembelian berjuta-juta saham.
Sebaliknya, kerajaan berkata ia telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mengambil tindakan susulan.
"Saya tidak akan menyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang akan dilaksanakan oleh KSN," kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mahajoth berkata jaminan yang diberikan perdana menteri di Parlimen sebelum ini merupakan komitmen yang berhak dituntut oleh rakyat Malaysia.
"Perdana menteri mesti berpegang kepada jaminan yang diberikannya di Parlimen dan tanpa berlengah memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai hasil siasatan itu," katanya.
Bulan lalu, Bloomberg menerbitkan dua laporan mengenai Azam di samping pendedahan mendakwa kaitannya dengan sekumpulan individu penyangak.
Bloomberg melaporkan Azam memiliki berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, yang melanggar pekeliling kerajaan melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Azam berkata saham tersebut dibeli tahun lalu, ketika beliau masih menjadi ketua SPRM.
Pada 12 Februari, satu lagi laporan Bloomberg mengaitkan Azam dengan kumpulan dikenali sebagai "mafia korporat", yang dikatakan berpakat dengan SPRM untuk memaksa ahli perniagaan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat awam tersenarai secara paksa.
Pendedahan itu mencetuskan gesaan agar Azam disingkirkan daripada SPRM dan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.
Anwar, yang sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali, setakat ini enggan menggantikan Azam.
"Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa? Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah," kata Anwar ketika menjawab soalan wartawan.
Sementara itu, Mahajoth berkata kerajaan perlu memberikan butiran "jelas dan terus terang" mengenai hasil siasatan.
"Tidak ada justifikasi yang sah untuk merahsiakan maklumat yang begitu penting daripada rakyat," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
