- Iklan -
Berita

Albert Tei dedah gambar sebagai bukti pegawai SPRM acu senjata ketika serbuan rumah

Gambar itu bercanggah dengan dakwaan bos SPRM Azam Baki bahawa pegawainya tidak mengacukan senjata ketika serbuan di rumah ahli perniagaan itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar dipercayai daripada rakaman video (kiri) yang dihantar kepada Albert Tei, menunjukkan dua lelaki kelihatan mengacukan senjata di luar rumahnya pada 28 November 2025.
Gambar dipercayai daripada rakaman video (kiri) yang dihantar kepada Albert Tei, menunjukkan dua lelaki kelihatan mengacukan senjata di luar rumahnya pada 28 November 2025.

Ahli perniagaan dan pemberi maklumat, Albert Tei, hari ini mendedahkan imej yang kelihatan seperti tangkap layar daripada rakaman video, menunjukkan dua lelaki bersenjata dipercayai menghalakan senjata semasa serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih tiga bulan lalu.

Tei berkata imej kabur itu dihantar melalui WhatsApp oleh seseorang yang tidak dikenali pada Isnin lalu.

Albert Tei, ditemani peguam Zaid Malek (kiri) dan Mahajoth Singh, menunjukkan gambar yang dihantar kepadanya melalui nombor telefon luar negara yang tidak dikenali.
Albert Tei, ditemani peguam Zaid Malek (kiri) dan Mahajoth Singh, menunjukkan gambar yang dihantar kepadanya melalui nombor telefon luar negara yang tidak dikenali.

Ia menunjukkan kedua-dua lelaki tersebut berada di atas tangga di luar rumahnya. Tei percaya imej itu diambil daripada kamera badan yang dipakai oleh salah seorang pegawai yang menyerbu rumahnya pada 28 November.

Tei sebelum ini menuduh pegawai SPRM mengacukan pistol ke arahnya dan ahli keluarganya, dakwaan yang dinafikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Sejak serbuan itu, Tei menuntut peralatan CCTV yang dirampas oleh SPRM dikembalikan kerana menyimpan rakaman yang boleh membuktikan dakwaannya.

Sebelum ini, isteri Tei, Lee Pei Rie, dalam laporan polis pada hari serbuan turut mendakwa pegawai merampas dekoder CCTV dan memadamkan kandungan telefon bimbit milik suami dan ahli keluarganya.

Lee berkata dia sedang merakam pegawai di dalam rumahnya apabila mendapati suaminya dipaksa berbaring di atas lantai sambil dikelilingi sekumpulan lelaki bersenjata.

Menurutnya, salah seorang pegawai mengacukan pistol ke arahnya dan memaksanya menyerahkan telefon bimbitnya.

Pada 28 November, peguam Tei, Mahajoth Singh dan Zaid Malek, memberi amaran bahawa SPRM melakukan kesalahan memusnahkan bukti penting mengenai tindakan pegawainya.

"Terdapat CCTV yang menghala terus ke ruang tamu apabila semua ini berlaku. Jadi, akan wujud rakaman yang boleh menunjukkan sama ada senjata diacukan ke arahnya dan isterinya atau tidak. Bukti itu telah diambil oleh SPRM. Jelas sekali, mereka cuba menyembunyikan sesuatu," kata Zaid pada 28 November.

Pada 25 November, Tei – yang mendedahkan beberapa klip video memalitkan Ketua Menteri Sabah dan pengerusi GRS, Hajiji Noor, serta 14 ahli politik pemerintah dengan amalan rasuah – berkata beliau telah membelanjakan hampir RM630,000 untuk setiausaha politik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dengan harapan orang kuat Anwar itu membantunya berunding dengan Hajiji bagi mendapatkan semula wang yang dibayarnya kepada beberapa ahli politik GRS. Shamsul meletakkan jawatan pada hari sama.

Dua hari selepas pendedahannya, sekumpulan pegawai SPRM bertopeng dan lengkap bersenjata menyerbu  kediaman Tei di Puchong, sebelum merampas peralatan CCTV yang dapat membuktikan dakwaan bahawa senjata diacukan terhadap ahli keluarganya ketika rumahnya digeledah.

Tei dan Shamsul telah dihadapkan pertuduhan memberi dan menerima RM176,829.03 sebagai suapan.