- Iklan -
Berita

Jangan perlekeh usaha wartawan bongkar skandal, kata balu Daim selepas dituduh guna Bloomberg guling kerajaan

Na'imah Abdul Khalid berkata laporan polis terhadapnya adalah tindakan seorang lelaki yang kecewa kerana dipecat daripada pasukan komunikasinya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Na'imah Abdul Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Na'imah Abdul Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menolak dakwaan sebuah laporan polis kononnya beliau terlibat dalam konspirasi menggulingkan kerajaan dengan menggunakan Bloomberg, agensi berita antarabangsa yang baru-baru ini menerbitkan laporan mengejutkan mengenai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Na'imah Abdul Khalid berkata tuduhan itu bukan sahaja "palsu dan tidak masuk akal", tetapi juga seolah-olah menafikan usaha keras wartawan Bloomberg dalam mendedahkan skandal kembar pegangan saham Azam dan mafia korporat, seperti dilaporkan baru-baru ini.

"Walaupun saya terharu dengan dakwaan yang sayalah di sebalik laporan siasatan oleh Bloomberg itu, saya tidak mahu mengambil kredit sedangkan merekalah yang benar-benar menunjukkan bakat kewartawanan mereka apabila mendedahkan dakwaan mengejutkan menyelubungi ketua SPRM," kata Na'imah.

"Oleh itu, sebarang percubaan untuk mencadangkan bahawa saya merupakan orang di sebalik laporan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi juga satu penghinaan kepada wartawan berkenaan."

Na'imah berkata tuduhan tuduhan terhadapnya mengingatkannya kepada percubaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kuasa dengan mengaku mempunyai "bilangan yang cukup".

"Tidak seperti beliau, saya tidak pernah terlibat, merancang mahupun menyokong sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih."

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengumumkan siasatan terhadap sebuah "agensi media antarabangsa" dan seorang "individu berpengaruh" atas dakwaan terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan.

Siasatan itu berdasarkan laporan polis dipercayai difailkan oleh seorang bekas wartawan, yang menurut Na'imah pernah bertugas dalam pasukan komunikasinya.

Na'imah mempersoalkan mengapa laporan polis itu dibuat sekarang, kira-kira tujuh bulan selepas lelaki itu dipecat kerana prestasi kerja yang lemah.

"Selepas pemecatannya, dia turut menuntut bayaran. Jelas sekali, ini merupakan tindakan seorang lelaki yang kecewa," katanya.

Menurutnya, tuduhan terbaru terhadapnya menyerlahkan sikap terdesak Anwar untuk mengalihkan perhatian daripada gesaan yang semakin lantang supaya Azam dilucutkan daripada SPRM.

"Dengan menggunakan agensi penguatkuasaan dalam situasi yang berunsur politik, kerajaan hanya mengesahkan intipati laporan Bloomberg, bahawa institusi negara dijadikan senjata," tambahnya.

Na'imah berkata beliau berhak mempertahankan dirinya dengan mendapatkan nasihat pakar perhubungan awam, lebih-lebih lagi apabila berdepan "kuasa tidak terkawal sebuah agensi yang dipimpin oleh individu yang terpalit skandal yang terus disokong penuh perdana menteri".

"Lagipun, bagaimana seseorang boleh mengguling kerajaan dengan bantuan media antarabangsa, atau dalam perkara ini, sebuah firma perhubungan awam? Jika benar, sudah tentu kerajaan Malaysia pada masa lampau asyik bersilih ganti sepanjang masa," kata Na'imah.

Pada 12 Februari, Bloomberg menerbitkan laporan penyiasatan mengenai Azam, di mana saksi dan mangsa menceritakan bagaimana pegawai SPRM bersekongkol dengan "mafia korporat" untuk mengambil alih secara paksa pemilikan syarikat awam tersenarai.

Laporan itu menyusuli pendedahan sebelumnya bahawa Azam memiliki berjuta-juta saham syarikat tersenarai bernilai kira-kira RM800,000, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Di sebalik kemarahan awam, Anwar mempertahankan Azam, yang tempoh jawatannya di SPRM dilanjutkan tiga kali sejak mengambil alih kuasa.