Seruan pecat Azam Baki bukan cubaan guling kerajaan, kata kumpulan peguam
Kerajaan Anwar Ibrahim diingatkan bagaimana tuduhan sama pernah dihalakan terhadap mereka yang menggesa siasatan skandal 1MDB.
Kerajaan diberi amaran agar tidak menggunakan undang-undang drakonian dalam usaha menyekat gesaan yang semakin meningkat untuk memecat Azam Baki dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kini di tengah-tengah pendedahan mengejutkan seperti dilaporkan Bloomberg.
Ia susulan pengumuman Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail hari ini bahawa polis sedang menyiasat sebuah "agensi media antarabangsa" dan seorang individu "berpengaruh" atas dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara.
Lawyers for Liberty (LFL), yang berkata sasaran kerajaan sudah semestinya Bloomberg, mempersoalkan penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan ketika tekanan semakin meningkat untuk menyiasat dakwaan melibatkan Azam dan SPRM.
"Benar bahawa Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak berpelembagaan, tetapi penting juga untuk menekankan bahawa Azam Baki dan SPRM bukanlah sebahagian daripada 'demokrasi berparlimen' dalam apa jua erti kata, maka siasatan ini sama sekali tidak berasas walaupun dalam lingkungan penggunaan yang dimaksudkan," kata pengarah LFL, Zaid Malek.
Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang digubal tidak lama sebelum Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma diperkenalkan pada 2012, merujuk kepada kesalahan terlibat dalam aktiviti "yang memudaratkan demokrasi berparlimen", yang ditakrifkan sebagai aktiviti untuk menggulingkan atau menjatuhkan demokrasi berparlimen dengan cara ganas atau tidak berperlembagaan.
Zaid berkata kedua-dua Seksyen 124B dan Sosma saling melengkapi, dan digunakan terhadap pengkritik kerajaan pada masa lampau termasuk mereka yang menggesa siasatan skandal 1MDB.
"Tidak syak lagi bahawa Seksyen 124B telah digubal sebagai kaedah kejam menakut-nakutkan dan menyekat perbezaan pendapat. Orang ramai diingatkan mengenai DNA kejamnya apabila ia digunakan secara proaktif terhadap pengkritik kerajaan; hampir sedekad yang lalu sahaja ia digunakan secara aktif untuk tujuan itu."
Zaid berkata Tony Pua dari DAP, serta Rafizi Ramli dan Adam Adli dari PKR, merupakan antara mereka yang disiasat di bawah undang-undang sama, sambil mempersoalkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membenarkan penggunaannya pada masa ini.
"Sudah tentu Anwar tidak hilang ingatan tentang sifat menindas undang-undang ini," katanya.
"Di sebalik Anwar menampakkan ketegasannya mengecam rasuah, semuanya seolah-olah terhenti apabila melibatkan Azam Baki."
Pada 12 Februari, Bloomberg menerbitkan laporan penyiasatan mengenai Azam, di mana saksi dan mangsa menceritakan bagaimana pegawai SPRM bersekongkol dengan "mafia korporat" untuk mengambil alih secara paksa pemilikan syarikat awam tersenarai.
Laporan itu menyusuli pendedahan sebelumnya bahawa Azam memiliki berjuta-juta saham syarikat tersenarai bernilai kira-kira RM800,000, sekaligus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Di sebalik kemarahan awam, Anwar mempertahankan Azam, yang tempoh jawatannya di SPRM dilanjutkan tiga kali sejak mengambil alih kuasa.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
