Benarkah siasatan mendapati Azam miliki saham RM14 juta dalam 9 syarikat, soal Rafizi
Bekas menteri itu menggesa penemuan siasatan oleh jawatankuasa kerajaan diumumkan untuk menepis spekulasi.
Terkini
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka hasil siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, sambil mempersoalkan sama ada benar spekulasi bahawa siasatan tersebut mendapati beliau memiliki saham bernilai RM14 juta meliputi sembilan syarikat, jauh melebihi jumlah yang dilaporkan Bloomberg bulan lalu.
Memetik "sumber-sumber kerajaan", bekas menteri ekonomi itu berkata terdapat dakwaan "yang kini berlegar" bahawa jawatankuasa siasatan dipengerusikan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokthar telah mendapati pegangan saham Azam bernilai RM14 juta dalam sembilan syarikat, sambil menambah pembelian saham itu tidak diisytiharkan atau mendapat kelulusan.
"Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang," kata Rafizi yang turut memberi amaran perkara itu akhirnya akan dibongkar oleh media.
"Rakyat berhak tahu perincian hasil siasatan kerana jika jumlah saham yang ditemui adalah RM14 juta seperti yang didakwa, isu ini tidak wajar ditangani semata-mata sebagai pelanggaran peraturan penjawat awam."
Kerajaan baru-baru ini mengesahkan menerima laporan daripada jawatankuasa siasatan itu tetapi enggan mengumumkan penemuannya.
Sebaliknya, Putrajaya berkata ia telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Azam.
Rafizi berkata jawapan kerajaan itu mencadangkan wujud salah laku di pihak Azam.
Menurutnya, SPRM lazimnya akan membekukan akaun bank milik mereka yang disyaki mempunyai punca kekayaan diragui.
"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam 9 syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam Baki akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Azam Baki.
"Oleh sebab itulah, saya menggesa kerajaan dengan segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan setakat ini untuk mengelakkan spekulasi, termasuklah jumlah saham yang dimiliki dan jumlah syarikat-syarikat yang terbabit," katanya.
Gesaan serupa dibuat semalam oleh kumpulan pendesak anti-rasuah, Malaysians Against Government and Institutional Corruption (Magic), yang memberi amaran bahawa dengan tidak mengumumkan penemuan laporan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memungkiri janjinya bahawa siasatan terhadap Azam akan dijalankan dengan telus.
"Tidak ada justifikasi yang sah untuk merahsiakan maklumat yang begitu penting daripada rakyat," kata peguam dan pengasas Magic, Mahajoth Singh.
Bulan lalu, Bloomberg menerbitkan dua laporan mengenai Azam di samping pendedahan mendakwa kaitannya dengan sekumpulan individu penyangak.
Bloomberg melaporkan Azam memiliki berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, yang melanggar pekeliling kerajaan melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Azam berkata saham tersebut dibeli tahun lalu, ketika beliau masih menjadi ketua SPRM.
Pada 12 Februari, satu lagi laporan Bloomberg mengaitkan Azam dengan kumpulan dikenali sebagai "mafia korporat", yang dikatakan berpakat dengan SPRM untuk memaksa ahli perniagaan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat awam tersenarai secara paksa.
Pendedahan itu mencetuskan gesaan agar Azam disingkirkan daripada SPRM dan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.
Anwar, yang sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali, setakat ini enggan menggantikan Azam.
"Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa? Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah," kata Anwar ketika menjawab soalan wartawan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
